ANAK SENI KAMPUNG BARU ZAINAL CUGAT

4/26/2009 01:32:00 PTG at 4/26/2009 01:32:00 PTG




ANTARA BERITA BERKAITAN ZAINAL CUGAT


Jarum Emas: Zainal bahan eksperimen

Oleh ADAM SALLEHadam@hmetro.com.my


Namun ia lebih baik daripada buat tidak reti dengan tidak melakar langsung untuk berkongsi dengan pembaca terlanjur hayat di kandung badan.Kalangan penyanyi veteran sedia maklum Zainal Cugat menghembuskan nafas terakhir pada 15 Mac lalu. Tidak banyak kupasan berita perihal kematiannya, lalu tidak hairan usahkan orang ramai, kalangan artis dan wartawan generasi baru pun ramai terlepas pandang di sebalik kematian Zainal.Lagipun siapa Zainal Cugat, ini pun satu persoalan jika berita mengenainya diperbesarkan. Apa juga difikirkan orang terhadap Zainal, bagi saya beliau sangat istimewa dalam kerjaya saya.Sebabnya, sejak diberi amanah menjadi Pengarang Hiburan Harian Metro (HM), wartawan selain pelatih dari universiti silih berganti ada di bawah pengurusan saya. Tugasan pertama saya beri kepada setiap mereka ialah mencari Zainal Cugat dan Shamsuddin Lamin. Bunyi seperti kelakar.Namun rasionalnya ada. Satu daripadanya, saya tidak beri wartawan baru atau pelatih universiti ini mudah ‘naik lemak’ bila ada di meja hiburan. Sekali gus ia bagi mengelak fikiran mereka bercelaru dan kalut lalu membayangkan dunia hiburan ini cuma glamor, festival dan anugerah.Pengisian hiburan itu luas, dan melalui tugasan pertama itu boleh kita tahu secekap atau selicik mana serta seluas mana pengetahuan wartawan baru dan pelatih terhadap artis veteran.Tidak dapat tidak, ramai gagal dalam tugasan ini, sebabnya saya pun faham kalau diminta mencari Stacy atau Mawi, kacang bagi mereka, ini Zainal Cugat dan Shamsuddin Lamin, tidak glamor langsung!Bagaimanapun, ada yang berjaya menjejaki Zainal, sebagaimana ditatap pembaca melalui sisipan RAP (Rentak Artis Popular) di HM pada 19 Mei 2007, dengan tajuk “Zainal Cugat Jaguh Lagu Latin.”Melalui Zainal, usahkan wartawan, artis generasi baru boleh belajar erti kesabaran menjadi anak seni. Sekarang ini, untuk muncul sebagai penyanyi rakaman cukup mudah, tetapi tidak Zainal.

Lebih setengah abad menyanyikan lagu latin, beliau kempunan muncul dengan album solo.
Hasrat muncul album solo disuarakan Zainal ketika saya bertemunya di Konsert Panorama Kotaraya pada Oktober 1991. Riak wajah Zainal begitu ceria apabila bercerita mengenai impiannya merakam suara kian hampir. Beliau terharu apabila Hang Mokhtar bersedia menjadi penerbit, di mana Zainal menyerahkan 12 lagu latin yang dialihbahasakan kepada Hang Mokhtar.Dalam usianya 56 tahun ketika itu, Zainal tidak berasa terlewat untuk muncul dengan album solo.“Setahu saya, belum pernah penyanyi tempatan merakam album sulung di usia lanjut begini. Namun usia tidak boleh dijadikan ukuran untuk menghasilkan album. Di Amerika Syarikat, ada penyanyi veteran seperti Frank Sinatra terus menghasilkan album walaupun usianya lanjut,” luah Zainal.Dari 1991 hingga 2009, saya tidak dengar adanya album solo Zainal. Sekalipun dia tidak seglamor penyanyi veteran lain, begitu juga saya tidak labelkan dia seperti Andrea Bocelli, namun Zainal glamor di hati saya dengan aksinya bila mengalunkan Besame Mucho, Eres Tu dan Historia De Amor.Kali pertama membuat liputan persembahannya, saya tertarik dengan lagu latin dinyanyikan sambil menari-nari yang saya nilai imejnya tiada pada penyanyi seangkatan dengannya.Sekitar 1990-an, waktu santai saya banyak masa, terutama sebelah petang, melilau di Pasar Budaya (Central Market). Lokasi itu dikira ‘port’ Zainal juga, lalu jika kami terserempak, boleh dikatakan acapkali kami berbual berjam-jam di restoran mamak di sana mengenai lagu latin.Dek kerana menyedari saya gemar mendengar lagu latin, satu ketika Zainal berjanji memberi koleksi peribadi lagu latin pada saya, malah acapkali juga dia mempelawa saya ke kelab tempatnya bekerja tetapi disebabkan hambatan kerja, sukar untuk saya memenuhi hasratnya.Paling tidak pun kami berbual-bual melalui telefon. Tanpa bersua tetapi jika ada perkembangan mengenai artis veteran, Zainal tidak lupa menelefon saya sebagaimana dia memaklumkan saya pada jam 3 pagi mengenai kematian primadona filem Melayu, Kasma Booty pada 1 Jun 2007.Sejak awal tahun ini, saya menukar nombor telefon dan barangkali Zainal mencari-cari saya tetapi sudah ditakdirkan hanya kenangan selama hayat dikandung badan yang tidak lekang di ingatan.Zainal Cugat atau nama sebenarnya Zainal Abidin Yassin menghadap Ilahi pada 15 Mac lalu selepas dirawat di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) akibat serangan angin ahmar.Allahyarham berasal dari Kampung Baru, Kuala Lumpur, dilahirkan pada 29 0gos 1935.Jika Allahyarham kempunan muncul dengan album solo, saya pula terkilan kerana pernah berjanji pada Allahyarham untuk mengadakan sesi fotografi khas, terutama Aidilfitri untuk beliau bersama anaknya Raizan Zainal Abidin atau Neves yang juga anggota kumpulan Pretty Ugly. Inilah yang dinamakan takdir.
ADAM: Salam takziah dan al-Fatihah buatmu, Raja Latin Malaysia, Allahyarham Zainal Abidin Yassin @ Zainal Cugat.


Bapa Saudara Aznil, Penyanyi Sepanyol Zainal Cugat, 74, Meninggal

Zainal Cugat, penyanyi lagu Sepanyol Malaysia yang pertama, meninggal dunia pada usia 74 tahun akibat strok pada Mac 15 yang lalu.Allahyarham adalah orang Malaysia pertama membawakan lagu Amor yang ditulis oleh Gabriel Ruiz, di tahun 1950an, lama sebelum ia dipopularkan oleh Julio Iglesias.Allahyarham yang bernama Zainal Abidin Abdul Hamid lahir di Kuala Lumpur dan memakai nama Cugat sempena idolanya Xavier Cugat, pemain biola Sepanyol yang melawat Malaysia pada tahun 1954.Zainal yang belajar menyanyi sendiri pandai membawakan lagu Bahasa Malaysia, Inggeris, Sepanyol, Itali, Portugis, Perancis, Jepun dan Tagalog. Zainal mula-mula mennjadi penyanyi latar Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada tahun 1950an.Dalam tahun 1954 dan 1955, beliau memenangi pertandingan Teletime yang dianjurkan oleh Radio Rediffusion (sekarang Red FM) di Stadium Chinwoo, Kuala Lumpur.Allahyarham membawakan lagu Volare (yang dipopularkan oleh Dean Martin) dan Come Closer To Me (yang dipopularkan oleh Nat King Cole).Zainal kemudian membentuk kumpulan The Saint yang menjadi band pertama muncul secara langsung di RTM pada tahun 1960an. Allahyarham menyanyi serta bermain gendang.The Saint adalah kumpulan pertama membuat persembahan atas kereta berhias pada sambutan Hari Kebangsaan (Merdeka) pertama tahun 1957.Dalam temubual bersama saya tahun lalu, Zainal berkata: "Kami membawakan lagu keroncong, asli dan pop moden.Saya kemudiannya menjadi ahli Gema Pesta dan Puteh Lima yang menjadi kumpulan sokongan untuk Datuk Ahmad Jais, Tan Sri P. Ramlee, Puan Sri Saloma dan Fazidah Joned."Allahyarham turut menjadi ahli kumpulan P. Ramlee iaitu Orkestra Ben Puteh dan membuat persembahan bersama raja biola Allahyarham Hamzah Dolmat di RTM.Anak bongsu empat beradik, Zainal "jatuh cinta" dengan lagu Sepanyol di zaman remajanya.Dalam tahun 1960an dan 1970an, Allahyarham menyanyi bersama penyanyi veteran Dahlan Zainuddin dan kumpulannya The Gypsies di Federal Hotel, Kuala Lumpur.Allahyarham kemudian membentuk kumpulan penyanyi lagu Latin (Sepanyol, Portugis dan Itali) The Muchachos yang kerap membuat persembahan di Hotel Crown Princess dan Flamingo Hotel di Kuala Lumpur serta Regency Hotel di Port Dickson.Allahyarham turut membuat persembahan dengan Orkestra Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.Zainal dijangka melancarkan album sulungnya tahun lalu, tetapi acara itu terpaksa ditunda sebab Allahyarham sakit.Allahyarham kemudian diserang strok dan meninggal dunia bulan lalu.Acara muzik besar-besaran yang terakhir buat Allahyarham ialah konsert RTM di Kota Kinabalu, Sabah, bersama anak saudaranya, bekas hos Akademi Fantasia Aznil Nawawi, dan penyanyi AF Aizat Amdan, Nubhan Ahamad dan Ebi Yaimal.Empat daripada anak lelaki Allahyarham ialah artis rakaman dan pemuzik yang dihormati.Anak lelaki keempatnya Raizan Zainal Abidin atau Neves ialah ketua kumpulan, penyanyi utama dan penulis lagu dalam kumpulan rock pemenang anugerah iaitu Pretty Ugly.Nama samaran Raizan ialah penghargaan buat ayahnya. Zainal dikurniakan tujuh cahaya mata dan "Neves" adalah "seven" (tujuh) ditulis secara terbalik.Anak lelaki ketiga Allahyarham, Razlan atau Ozone, adalah bekas ketua kumpulan Natures yang popular di tahun 1990an.Anak lelaki bongsu Allahyarham iaitu Razif ialah pemain gitar Pretty Ugly yang digelar J. A.Anak lelaki kelima Allahyarham iaitu Shahrizal pernah menjadi pemain gitar The Muchachos.Amylea Azizan, Anith Lim, Fify Ahmad, Ridzuan Sharifuddin, Tomok Ismail, Nine Jaafar dan Aweera Noriyissham hari ini mengirim salam takziah buat keluarga Allahyarham dan menyifatkan Allahyarham seorang ikon muzik yang sukar dicari ganti.


Read More

Najib solat Jumaat di Masjid Jamek Kampung Baru

4/25/2009 10:09:00 PTG at 4/25/2009 10:09:00 PTG

KUALA LUMPUR 24 April - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyertai kira-kira 1,500 jemaah menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Kampung Baru dekat sini.
Perdana Menteri yang tiba pada pukul 1.15 tengah hari disambut oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan ahli jawatankuasa masjid tersebut.
Khutbah Jumaat bertajuk Penghayatan Ilmu disampaikan oleh Imam Abdullah Awang.
Terdahulu, Najib yang juga Presiden UMNO dalam satu majlis berasingan di sebelah pagi disambut kira-kira 300 kakitangan ibu pejabat parti itu di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Beliau yang berpakaian baju Melayu berwarna merah jambu tiba pada pukul 9.45 pagi disambut oleh timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Wanita UMNO, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin.
Sebelum memasuki pejabat Presiden buat kali pertama di tingkat 39, Najib meluangkan masa selama 10 minit melawat Galeri UMNO di tingkat empat bangunan itu.
Pada sebelah petang, Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO buat kali pertama sejak dipilih memegang jawatan itu pada Perhimpunan Agung UMNO 28 Mac lalu.
Beliau menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang tidak mempertahankan jawatan.


Read More

INILAH NASIB PENIAGA MELAYU

4/22/2009 11:59:00 PG at 4/22/2009 11:59:00 PG

INILAH NASIB PENIAGA MELAYU YANG SUKAR UNTUK BERNIAGA. TELAH BANYAK RUNGUTAN YANG TELAH DIBUAT KEPADA PIHAK MEDIA SEMENJAK DIAWAL PEMBUKAAN MEDAN SELERA DAMAI, JALAN BATU BATA, PEKELILING. APAKAH SILAPNYA MEDAN SELERA INI YANG TELAH MEMBELANJAKAN BERJUTA-JUTA WANG INI. APAKAH DBKL MASIH TIDAK PEKA AKAN MASALAH PENIAGA SEKARANG DITAMBAH LAGI DENGAN KEGAWATAN EKONOMI YANG MELANDA DUNIA SEKARANG INI. SEBENARNYA PENIAGA DI MEDAN SELERA DAMAI ATAU JUGA DIKENALI DENGAN MEDAN SELERA BATU BATA ADALAH PEMINDAHAN MEREKA YANG DAHULUNYA BERNIAGA DI BAHU-BAHU JALAN SEKITAR JALAN RAJA MUDA MUSA DAN JALAN RAJA UDA DI SEKITAR KAWASAN DI KAMPUNG BARU. APABILA DBKL MELAKSANAKAN PENGINDAHAN JALAN-JALAN INI, PARA PENIAGA DIPINDAHKAN KETEMPAT BARU. APAKAH KAWASAN BARU INI SESUATU KAWASAN YANG STRATEGIK. PEMBACA BOLEH MELIHAT SENDIRI DAN MEMBUAT ANDAIAN.

JIKA DAHULU MEREKA MEWAH BERNIAGA DI KAMPUNG BARU YANG TERKENAL DENGAN SYURGA MAKANAN YANG MENYEDIAKAN PELBAGAI MENU MAKANAN TIDAK KIRA PAGI, PETANG, MALAN ATAU AWAL PAGI MENJADI TUMPUAN WARGA KOTA UNTUK MENIKMATI PELBAGAI HIDANG ISTIMEWA. TETAPI APABILA DIPINDAHKAN, HANYA RUNGUTAN YANG KEDENGARAN. RAMAI YANG TELAH GULUNG TIKAR. INI BUKAN KALI PERTAMA PENIAGA MEMBUAT RUNGUTAN TETAPI SUDAH BERKALI-KALI PENIAGA MELUAHKAN PERASAAN MEREKA.

DIAWAL PEMBUKAAN MEDAN SELERA DAMAI INI ANAK-ANAK MUDA DARI BELIA PASAR MINGGU JUGA ADA MEMBUKA GERAI DISANA. TETAPI TERPAKSA DITUTUP KERANA KURANGNYA SAMBUTAN DARI ORANG RAMAI.
MARI KITA LIHAT KELUHAN PENIAGA MEDAN SELERA DAMAI DIBAWA OLEH UTUSAN MALAYSIA.


Read More

DBKL PERLU TURUN PADANG - PENIAGA

4/22/2009 11:56:00 PG at 4/22/2009 11:56:00 PG

KUALA LUMPUR 21 April - Para peniaga di Medan Selera Damai berhampiran Jalan Pekeliling di sini merayu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turun padang menemui mereka bagi mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi.

Bagi mereka, jika DBKL tidak serius menangani masalah tersebut, kemungkinan untuk melihat satu demi satu peniaga bumiputera gulung tikar adalah sesuatu yang hampir pasti.

Apa yang mereka mahukan tidak lebih daripada mendapatkan hak sebagai peniaga yang sebelum ini ditaburkan dengan pelbagai janji manis untuk berpindah ke situ.

Seorang peniaga, Miskiah Syawal, 49, berkata, turun padang menemui para peniaga adalah cara terbaik untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Katanya, dengan mengadakan perbincangan secara terus, semua masalah atau aduan dapat disalurkan dengan lebih berkesan.

"Kami tidak pernah bermaksud mahu menutup perniagaan di sini. Sebaliknya sentiasa memandang positif bahawa setiap masalah boleh diselesaikan,'' katanya.

Pendapat Miskiah turut dipersetujui, Rahimah Abdul Manaf, 45, salah seorang peniaga terawal di medan selera itu.

Dia yang menjual minuman berkata, sejak berpindah dari Kampung Baru ke medan selera itu hampir dua tahun lalu, bukan keuntungan yang diperoleh, sebaliknya terpaksa menanggung kerugian.

Sambil mempersoalkan ketelusan DBKL yang masih menyewakan gerai kepada peniaga baru, dia berpendapat, pihak berkuasa tempatan itu sepatutnya menyelesaikan terlebih dahulu masalah di situ.

Bagi Rahinor Riduan, 21, pula, walaupun masih baru menjalankan perniagaan dengan membuka kedai masakan panas di situ, dia turut mengakui merasai bahang yang dialami para peniaga lain.

Katanya, sepanjang dua minggu membuka perniagaan di situ, tidak ramai pelanggan berkunjung ke situ.

Justeru, dia mencadangkan agar DBKL melakukan sesuatu termasuk mengadakan lebih banyak promosi bagi menarik lebih ramai pengunjung.

Turut melahirkan kekecewaan ialah Anuar Ishak, 46, yang meminta DBKL membantu memulihkan keadaan suram di situ dengan tindakan yang berkesan.

Dia yang merupakan salah seorang peniaga terawal di medan selera berkata, pertemuan bersama DBKL bukan bertujuan mahu menuding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya mahu memastikan segala yang terbuku di hati mereka terungkai.


Read More

SUDAH BANYAK KALI PENIAGA MENGELUH TERHADAP DBKL

4/22/2009 11:45:00 PG at 4/22/2009 11:45:00 PG

MUNGKINKAH reka bentuk Medan Selera Damai yang lain dari yang lain dan ketiadaan papan tanda menjadi punca orang ramai tidak sedar bahawa ia adalah sebuah medan selera?
HANYA BANGKU KOSONG

Oleh Roslah Othman
kota@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 21 April - Nasib para peniaga di Medan Selera Damai berhampiran Jalan Pekeliling di sini yang mendakwa ruang niaga mereka sepi dan kurang sambutan bukanlah perkara baru.
Sebaliknya, isu itu pernah 'mencuit' Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hanya kira-kira enam bulan selepas pembukaannya pada penghujung 2006.
Para peniaga mendakwa, kurangnya usaha-usaha DBKL mempromosikan medan selera berkenaan khususnya kepada warga kota adalah antara penyebab utama kepada permasalahan tersebut.
Hari ini, masalah hampir sama berulang selepas hampir dua tahun medan selera itu dibuka.
Buktinya, masih lagi kedengaran rintihan para peniaga di sini yang mendakwa tiada sebarang perubahan yang dilihat selepas aduan dibuat.
Sebaliknya, hari demi hari menyaksikan lebih banyak ruang niaga ditutup memandangkan peniaga tidak lagi sanggup menanggung kerugian.
Daripada 61 orang peniaga kesemuanya, kini hanya tinggal kira-kira 14 peniaga yang masih mempertahankan periuk nasi mereka di situ.
Difahamkan, selepas aduan dibuat lama dahulu, ada ura-ura pihak DBKL merancang untuk mempromosi medan selera itu kepada orang ramai tetapi sehingga kini ia masih tidak terlaksana.
Para peniaga yang ditemui mendakwa sejak berpindah dari Kampung Baru, bukan keuntungan yang diraih sebaliknya terpaksa pula menanggung kerugian.
Jika dahulu ketika berniaga di kawasan Kampung Baru, pendapatan tiga kali ganda boleh diperoleh tetapi di Medan Selera Damai adakalanya hampir seminggu mereka tidak dikunjungi pelanggan.
Lebih malang, individu yang dilantik mewakili para peniaga di situ juga telah menghilangkan diri.
Enggan terus menanggung derita, sekali lagi pintu pihak berkuasa berkenaan terpaksa 'diketuk' agar melakukan sesuatu demi memastikan nasib mereka terbela.
Tinjauan Utusan Malaysia di Medan Selera Damai baru-baru ini mendapati keadaan di situ sepi dan hanya beberapa pelanggan dilihat sedang menikmati hidangan di premis bahagian utara.
Di premis bahagian tengah hanya dipenuhi bangku-bangku kosong.
Dari mata kasar, medan selera tersebut mempunyai tarikan tersendiri jika mahu dibandingkan dengan medan selera lain yang ada di ibu negara tetapi sambutan yang diterima begitu menyedihkan.
Difahamkan, kos pembinaannya sahaja menelan belanja kira-kira RM14 juta.
Selain terletak di lokasi strategik iaitu di tebing tempat pertemuan dua sungai iaitu Sungai Klang dan Gombak, struktur rekaan bangunannya juga sudah cukup membayangkan betapa hebat dan gahnya medan selera itu.
Selain kemudahan seperti lampu jambatan yang menghubungkan ke Jalan Datuk Haji Eusoff tidak berfungsi dengan baik, papan tanda yang terlalu kecil dan bumbung bocor adalah antara masalah yang dihadapi.
Apa yang mengecewakan para peniaga, sejak membuka perniagaan di situ, tidak seorang pun wakil DBKL datang dan bertanya khabar.
Difahamkan, pejabat kecil yang sepatutnya menempatkan wakil DBKL juga telah dijadikan tempat rehat dan penyimpanan barang-barang Alam Flora.
Apakah kemungkinan Medan Selera Damai ini akan mengalami nasib sama dan dianaktirikan seperti Hentian Pekeliling di kawasan berhampiran yang pernah dipaparkan Utusan Malaysia sebelum ini? hanya pihak DBKL yang dapat menjawabnya.
Bukan mahu menuding jari kepada mana-mana pihak, namun DBKL dilihat antara pihak yang bertanggungjawab memastikan perkara itu tidak dibiarkan berterusan.
Malah, harapan turut disandarkan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Fuad Ismail, serta Menteri Wilayah Persekutuan yang baru, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin agar dapat membela nasib golongan penjaja dan peniaga di situ.
Secara jujur para peniaga di sini mengakui permintaan mereka agar DBKL 'turun padang' bukan bertujuan mahu mencari kesalahan, sebaliknya mahu mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang membelenggu mereka selama ini.


Read More

MUAFAKAT BANTAH DBKL BANGUNKAN ENAM KAMPUNG TRADISI

4/20/2009 02:30:00 PTG at 4/20/2009 02:30:00 PTG

TANAH RIZAB MELAYU 'MUSNAH'
Oleh JUNHAIRI ALYASA
junhairi.alyasa@kosmo.com.my


DARI kiri, Zainal Abidin, Abdul Aziz, Aziz Bari dan

Siti Zainon menyertai Kongres Memperkasa Perkampungan
Tradisi Melayu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
di Gombak semalam.

KUALA LUMPUR - Majlis Permuafakatan Perkampungan Tradisi Melayu Wilayah Persekutuan (Muafakat) membantah hasrat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membangunkan enam buah kampung tradisi di sekitar ibu negara kerana ia merupakan tanah rizab Melayu.

Menurut Setiausaha Muafakat, Shaharudin Mahmud, pihaknya bimbang jika hasrat itu seperti mana yang dirancang mengikut Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur (KLCP) 2020 yang dilancarkan sejak pertengahan tahun lalu itu diteruskan, ia akan membawa kemusnahan kepada kampung tradisi dan hak milik orang Melayu pula semakin kecil.
Malah tegas beliau, pengambilan tanah di semua kampung yang berstatus tanah pertanian kekal itu adalah bertentangan dengan Artikel 153 Perlembagaan berhubung tanah rizab Melayu.
"Kita bimbang apabila tanah itu diambil dan ia tidak diganti semula selaras dengan tuntutan perlembagaan yang mewajibkan kerajaan menggantikan tanah rizab yang telah diambil.
"Malah DBKL juga gagal untuk mematuhi Seksyen 12 A, Akta 201 yang memerlukan pihak berkuasa tempatan (PBT) mendapatkan pandangan daripada penduduk setempat mengenai rancangan pembangunan yang ingin dilakukan di sesuatu kawasan,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika membacakan resolusi Kongres Memperkasa Perkampungan Tradisi Melayu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di hadapan 200 orang penduduk di Anjung Rahmat, Batu 6, Jalan Gombak di sini semalam.
Semua kampung yang terlibat ialah Kampung Puah, Kampung Sungai Merali, Kampung Bandar Dalam, Kampung Sungai Mulia, Kampung Padang Balang dan Kampung Chubadak.

"Muafakat ingin perkampungan tradisi di Kuala Lumpur diistiharkan sebagai perkampungan warisan dan DBKL juga perlu membentuk sebuah jawantankuasa yang dipertanggungjawabkan untuk merancang pembangunan kampung tradisi," jelasnya.

Antara panel yang hadir bagi membincangkan perkara tersebut ialah Pengerusi Badan Gabungan Perastuan-Persatuan Penduduk Kuala Lumpur, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman; Pengerusi Badan Bertindak Kampung Padang Balang, Zainal Abidin Maas; Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari; Bekas Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr. Siti Zainon Ismail dan Wakil Pertubuhan Anak-Anak Melayu Selangor dan Kuala Lumpur, Jajuli Abdul Rahman.

Pelan tersebut telah dikemukan oleh DBKL sejak Jun tahun lepas yang bertujuan untuk menjadikan Ibu Kota dirancang dan dicorak supaya persekitaran kerja, kehidupan dan perniagaaan bertaraf dunia dapat diwujudkan menjelang 2020.

Keluasan Ibu Kota yang terlibat dalam pembangunan dibawah draf pelan tersebut adalah seluas 243 kilometer persegi dan ia terbahagi kepada enam zon iaitu pusat bandar raya, Bandar Tun Razak - Sungai Besi, Wangsa Maju - Maluri, Sentul - Manjalara, Damansara - Penchala, dan Bukit Jalil - Seputeh.

Mengikut daraf tersebut, pembangunan Kampung Baru turut diberi keutamaan untuk dijadikan sebagai simbol kekuatan ekonomi orang Melayu.


Read More

SEKEPING TANAH MELAYU DI KUALA LUMPUR

4/19/2009 10:08:00 PTG at 4/19/2009 10:08:00 PTG

Batu Road pada tahun 1883, tidak jauh daripada
Kampung Baru, Kuala Lumpur.

SETIAP kali menyelusuri bahagian tengah Kuala Lumpur pastinya kita tidak dapat mengelak dari melalui kawasan penempatan orang Melayu yang sangat signifikan bagi warga kota iaitu Kampung Baru.
Bagi warga kota, terutamanya orang Melayu, Kampung Baru sangat dekat di hati mereka. Ini kerana sukar bagi kita untuk melihat suasana dan pemandangan kehidupan "orang kampung" di tengah- tengah hiruk pikuk kehidupan bandar.
Di bandar-bandar lain negara ini kehidupan kampung dengan pengekalan identiti dan budaya yang biasa diamalkan merupakan satu pemandangan biasa.
Namun berbeza dengan Kampung Baru yang dihimpit dengan rentak kemajuan dan arus pemodenan serta pelbagai bangunan pencakar langit dan mercu tanda moden seperti KLCC dan sebagainya. Suasana sebeginilah yang menambahkan lagi keunikannya sebagai sebuah kampung yang tebal dengan budaya dan tradisi Melayu di ibu kota.
Sedikit sebanyak arus pemodenan tidak mampu diketepikan oleh penduduk di Kampung Baru. Namun dengan binaan dan kedudukan rumah yang biasa kita lihat di kampung, apatah lagi masih terdapat rumah-rumah yang tetap utuh dengan ciri-ciri tradisional sememangnya sebagai orang Melayu kita patut berbangga dengan semua tradisi yang masih dipertahankan sehingga kini.
Jika kita menyelongkar tentang kehidupan seharian penduduk di kampung ini sememangnya jalinan perhubungan dan semangat kerjasama masih menebal seperti yang biasa kita lihat di kampung-kampung.
Soal-soal kemasyarakatan dan perhubungan penduduk setempat seperti kenduri kendara, kematian, hal-ehwal kejiranan dari yang paling remeh sehingga membabitkan soal-soal yang rumit seperti soal tanah dan sebagainya masih lagi menuntut permuafakatan yang jitu antara penduduk.
Keperluan bagi penduduknya untuk terus mengikuti aktiviti dan program keagamaan yang berlangsung di masjid dan surau di sini masih tetap menjadi keutamaan penduduknya.
Lebih membanggakan setelah tiga atau empat generasi anak Kampung Baru menetap di sini semua mereka masih tetap mengambil berat antara satu sama lain serta sangat sepakat dalam soal-soal membabitkan kampung kesayangan mereka ini.
Kampung Baru sebuah perkampungan rizab Melayu tunggal di tengah-tengah metropolitan Kuala Lumpur adalah seluas 225.89 ekar dan dibentuk oleh tujuh buah kampung iaitu Kampung Periuk, Kampung Pindah, Kampung Hujung Pasir, Kampung Paya, Kampung Masjid, Kampung Atas A dan Kampung Atas B. Terdapat tiga kategori tanah milik Melayu wujud di Kampung Baru iaitu Tanah Simpanan Melayu, Tanah Simpanan Pertanian Melayu dan Tanah Melayu Diberi Milik.
Kampung Baru mula dibuka pada tahun 1899 dan digazetkan setahun kemudian. Sebuah lembaga pentadbir khusus untuk Kampung Baru ditubuhkan serentak dengan pembukaannya sebagai Penempatan Tanah Pertanian Melayu atau Malay Agriculture Settlement (MAS) serta bertanggungjawab kepada Residen British ketika itu dalam menguruskan perkara mengenai pentadbiran kampung.
Kampung ini pada awalnya terbentuk apabila sekumpulan orang Melayu yang tinggal di kawasan Sungai Gombak dan Sungai Kelang terpaksa berpindah untuk memberi ruang kepada pembangunan Kuala Lumpur.
Bandar ini ketika itu sedang pesat membangun apabila beberapa projek yang kini menjadi ikon sejarah dan seni bina seperti Kelab Diraja Selangor, Bangunan Pejabat Pos Utama, Victoria Institution dan Bangunan Sultan Abdul Samad sedang dalam pembinaan.


Berpindah


Oleh itu Sultan Selangor ketika itu, Sultan Sulaiman atau Sultan Alauddin Sulaiman Syah bin Raja Muda Musa telah memperuntuk sebuah kawasan di tepi Sungai Kelang untuk orang Melayu berpindah dan MAS diwartakan pada 1 Jan 1900.
Menurut Setiausaha Kehormat Lembaga MAS, Shamsuri Suradi, MAS diwujudkan untuk memindahkan orang Melayu yang menghuni pinggir Sungai Gombak dan Sungai Kelang walaupun ketika itu mereka aktif dalam kegiatan perniagaan dan perlombongan.
Ini kerana British berpendapat orang Melayu wajar bergiat dalam sektor pertanian dan dengan menempatkan orang Melayu di sebuah kampung khas akan memudahkan anak-anak Melayu menerima pendidikan dan mengambil bahagian dalam pentadbiran.
Ini sekali gus memberi peluang kepada penduduk Melayu untuk menikmati sebahagian daripada kemakmuran Kuala Lumpur ketika itu yang kaya dengan bijih timah.
MAS telah dipertanggungjawabkan untuk mentadbir kampung ini dengan kuasa yang luas antaranya melulus dan menetapkan perjanjian pemberian lot rumah dan pelan bangunan, menyimpan butiran pertukaran serta mengawalselia keselamatan dan kegiatan penduduk.
Selain itu MAS turut mempunyai kuasa untuk memberi kebenaran hanya kepada orang Melayu untuk tinggal di sini dengan luas kawasan kediaman tidak melebihi setengah ekar seorang.
MAS turut berkuasa mengusir penduduk yang tidak patuh dengan peraturan serta mereka yang mampu memberi ancaman dan dianggap berbahaya kepada penduduk.
Menurut Shamsuri, anggota lembaga MAS pada peringkat awal terdiri dari kalangan pegawai tinggi penjajah dan kerabat diraja (Raja Muda Selangor pada asalnya menjadi Yang Dipertua) sehinggalah selepas Perang Dunia Kedua.
Di bawah pemerintahan Jepun barulah beberapa orang penduduk Kampung Baru dilantik menganggotai lembaga itu.
Pada masa sekarang, tujuh orang wakil yang dipanggil ahli jemaah dari tujuh buah kampung di sini telah dilantik untuk menganggotai lembaga MAS. Ahli jemaah ini boleh dianggap sebagai penghulu di setiap kampung berkenaan.
Beberapa buah kampung kecil seperti Kampung Manggis dan Kampung Sungai Baru turut digabungkan ke dalam Kampung Baru selain beberapa kampung setinggan, iaitu Kampung Limau, Kampung Cendana dan Kampung Paya Baru.
Namun disebabkan semua urusan pentadbiran tanah adalah hak lembaga tadbir MAS, ia tidak dapat memenuhi harapan tuan tanah yang berhasrat membangunkan kawasan ini kerana mereka tidak memegang apa-apa surat hak milik yang boleh diurusniagakan hinggalah pada tahun 1960-an.
Bagaimanapun Menteri Besar Selangor ketika itu, Datuk Harun Idris yang menjadi pengerusi MAS telah berjaya mengusahakan geran hak milik tanah bagi penduduk kampung ini.
Sejarah Kampung Baru ini jika ingin dihuraikan mungkin terlalu panjang apatah lagi pelbagai peristiwa dan cacatan yang amat bersejarah telah berlaku sejak dari awal penubuhannya.
Pada peringkat awal kebanyakan jalan-jalan yang terdapat di sini dinamakan dengan nama Inggeris dan pastinya ia dianggap sebagai pelik pada ketika itu apatah lagi Kampung Baru sendiri merupakan penempatan terbesar orang Melayu.
Sebagai contoh Jalan Raja Alang yang sangat terkenal dengan Bazar Ramadan sebelum ini dikenali sebagai Perkins Road. Hale Road yang dinamakan sempena seorang pentadbir British di zaman penjajah kini bernama Jalan Raja Abdullah, Jalan Raja Muda Abdul Aziz di tengah-tengah Kampung Baru dikenali sebagai Princess Road manakala Jalan Dewan Sultan Sulaiman pula pernah dikenali sebagai Stony Road.
Kelab Sultan Sulaiman yang terletak di Kampung Baru merupakan kelab orang Melayu tertua di Malaysia dan semenjak penubuhannya pada 1909, ia telah menyaksikan pelbagai catatan dan peristiwa penting negara. Pada peringkat awalnya penduduk Kampung Baru sering mengadakan perjumpaan di sebuah pondok di sini yang dibina secara gotong-royong.


Bersejarah


Bangunan baru yang dinamakan Dewan Sultan Sulaiman kemudian didirikan dengan kerja sama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor. Ia dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak pada 30 April 1969.
Bangunan ini telah menyaksikan pelbagai rakaman dan peristiwa bersejarah yang penting untuk orang antaranya Kongres Melayu Pertama pada 1 hingga 4 Mac 1946 yang membawa kepada penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang akhirnya telah mencetuskan gerakan menuntut kemerdekaan.
Walaupun sesak dengan pelbagai kepesatan dan bangunan pencakar langit serta lebih dikenali sebagai syurga pusat makanan berbanding keunikannya sebagai sebuah perkampungan Melayu, namun ini tidak menghalang penduduk Kampung Baru dari terus ditenggelami pembangunan.
Secara umumnya penduduk Kampung Baru tidak menolak pembangunan kerana mereka menyedari pembanguan itu adalah sesuatu yang perlu pada era moden sekarang.
Namun apa yang dikesali mereka dalam keghairahan mengejar pemodenan, mereka terasa dipinggirkan dan teraniaya dengan tindakan beberapa pihak yang dilihat tamak dalam mengusai kekayaan di sini.
Apatah lagi dengan beberapa insiden penipuan yang pernah berlaku sehingga menganiaya kehidupan mereka telah mengakibatkan mereka berasa serik dengan semua ini. Memang benar terdapat banyak jalan dan kaedah penyelesaian dalam menguruskan tanah yang bernilai lebih RM4 bilion ini namun yang ditakuti mereka ialah adakah semua kaedah ikhlas dan benar-benar menguntungkan mereka?
Atau apakah ia akhirnya akan menjadi seperti kampung-kampung Melayu lain di Kuala Lumpur yang akhirnya tergadai hanya atas nama pembangunan.
Apa yang perlu ialah kesungguhan dan keikhlasan dalam membantu penduduk Kampung Baru ini sebagai pemilik asal tanah di tengah kota metropolitan.
Jika tidak mungkin lebih baik ia dikekalkan sahaja seperti sekarang sekurang-kurangnya sebagai satu penanda sejarah bahawa satu ketika dahulu nenek moyang kita merupakan pemilik asal semua tanah di ibu kota ini.


Read More

SUKARNYA MEMBANGUN KAMPUNG BARU DI KL

4/19/2009 03:40:00 PTG at 4/19/2009 03:40:00 PTG

TERMASUK DALAM KAWASAN SEGI TIGA EMAS DI IBU NEGARA,
TETAPI MASIH 'TERBENGKALAI' SEHINGGA KINI


Baru-baru ini bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi melancarkan projek bernilai kira-kira RM500 juta bagi pembangunan semula Tapak Pasar Minggu seluas 1.5 hektar milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Kampung Baru terletak ditengah bandaraya dan termasuk dalam kawasan segi tiga emas yang paling beharga, tetapi pembangunannya masih tersekat-sekat. Sudah dua dekat berlalu, namun kawasan tersebut seolah-olah 'KEKAL' tanpa banyak perubahan. Ikuti wawancara eksklusif wartawan Sinar Harian bersama Bapa Arkitek Pembangunan Kuala Lumpur, juga Bekas Datuk Bandar DBKL, Tan Sri Elyas Omar untuk mengupas lebih lanjut mengenai projek pembangunan berkenaan.


SH: Bolehkah Tan Sri jelaskan mengenai usaha pembangunan kampung Baru ketika menjadi DatukBandar sejak tahun 1981 hingga 1992?
Tan Sri: Saya pernah membuat rancangan membangunkan kawasan Kampung Baru secara komprehensif dan tidak menyukai rancangan pembangunan secara berperingkat-peringkat. Kita tidak boleh melaksanakan pembangunan Kampung Baru dengan mengunakan istilah 'sikit-sikit lama-lama jadi bukit' memandangkan masalah dihadapi ialah kesukaran untuk mengenalpasti pemilik tanah memandangkan ada di antara mereka tidak menetap disitu, malah ada yang telah meninggal dunia. Sekiranya kita hendak merancang pembangunan, perlu ada strategi sama ada melalui pembangunan komprehensif atau pun secara lot. Saya memuji DBKL mempunyai usaha baik untuk membangukan Kampung Baru. Saya melihat dalam perancangan terbaru DBKL mempunyai pelan tempatan yang agak lengkap tetapi say amelihat cara ini agak susah dilaksanakan. Ini kerana cara tersebut masih lagi bergantung pada inisiatif pemilik tanah walaupun rancangan di buat.

SH: Mengapa Tan Sri malihat cara digunakan DBKL tidak begitu sesuai dilaksanakan?

Tan Sri: Kaedah sepatutu dibuat rancangan yang pernah dilaksanakan oleh saya seperti pembangunan Kuala Lumpur City Center (KLCC), ketika saya memindahkan penduduk di pangsapuri. Pada masa itu saya telah cetuskan idea untuk membangunkan projek tersebut secara komprehensif seluruh kawasan secara seerentak pada tahun sekitar 1980-an. Saya memberi cadangan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya membina dua bangunan yang tinggi merangkumi bangunan untuk kediaman dan satu lagi untuk perniagaan. Itulah yang akhirnya menjadi Twin Tower (KLCC). saya juga memberi cadangan membuat banguna secaara menegak memandangkan ruang udara adalah percuma. Jika kita buat pembangunan seccara lebar menggunakan tanah itu akan merugikan. Masa itulah terlaksana rancangan pembangunan yang komprehensif.
SH: Bagaimana Tan Sri mengaplikasikan projek bangunan KLCC di Kampung Baru?
Tan Sri: Saya rasa pendekatan ini sepatutnya dilaksanakan di Kampung Baru kerana kita tidak boleh membuat lakaran pelan bangunan seperti yang dibuat bagi pembinaan Puncak Baru (City Hall) 100 peratus. Bukan saya kata tidak boleh, malah saya melihat di sesetengah tempat boleh dilaksanakan layout plan untuk lot yang boleh dibangunkan seperti setengah ekar dan satu ekar, boleh dibuat terhad. Mungkin hanya tertumpu pkepada 30 peratus kawasan tiu sahaja manakala kawasan selebihnya iaitu sebanyak 70 peratus sewajarnya memalui pembangunan komprehensif atau secara block development.
maknanya, seluruh kawasan Kampung Baru berkeluasan 105 hektar dibahagikan kepada empat atau tiga bahagian di mana satu bahagian sebanyak 60 ekar akan dibangunkan secara berperingkat atau dalam jangka masa lima tahun. Manakala selebihnya mengikut keadaan pasaran dengan melibatkan syarikat gergasi terutama sekali milik kerajaan (GLC) seperti Tabung Haji, Khazanah, Amanah Raya Berhad (ARB) dan Petronas yang boleh berkecimpung membangun dan membeli bangunan itu. Ada Back to back invesment.
SH: Bagamanakah pandangan Tan Sri Terhadap syarikat GLC membantu penduduk Kampung Baru?
Tan Sri: Pemilik tanah boleh joint venture dengan syarikat gergasi menubuhkan satu koperasi bagi membolehkan pemilik tanah mempunyai saham dan hak pada tanah tersebut tetapi bukan menubuhkan syarikat. Jika menubuhkan syarikat, saya melihat kerajaan boleh menolong membangunkan pembangunan di bawah Bank Rakyat dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDC). dengan adanya koperasi ini, ia akan memudahkan joint venture dengan syarikat gergasi seperti Petronas, Tabung Haji dan lain-lain lagi. Tiada masalahnya sekiranya ada koperasi luar yang ingin bekerjasama tetapi mesti dilaksanakan secara berperingkat umpamanya secara jangka panjang 20 tahun.
SH: Boleh Tan Sri jelaskan mengenai kawasan sekitar Kampung Baru yang boleh dimajukan dan kenapa sudah dua dekat pembangunan tidak dilaksanakan?
Tan Sri: Saya berpendapat bahawa kawasan luar sekitar Kampung Baru seperti Chow Kit dan kawasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) boleh dibangunkan bersama Kampung Baru, yang saya lihat keadaan hospital usang. Bukan setakat itu, malah seluruh kawasan daripada Jalan Sultan Ismail sampai ke Jalan Tun Razak boleh dibangunkan secara komprehensif dengan mengambil masa 20 tahun. Saya khuatir sekiranya cara pembangunan dilaksanakan secara lot sahaja dan terpaksa bergantung kepada inisiatif. Saya merasakan sampai sampai 50 tahun pun pembangunan tidak dapat dibina. Itulah masalah dihadapi sejak 20 tahun, apabila saya cuba membangunkan dahulu sampai sekarang, dan ia tidak dibangunkan.
Fikirlah kalau kita mempunyai tanah di situ untuk dibangunkan tetapi berkeluasan hanya 5,000 kaki sahaja apa yang boleh lakukan. Sedangkan jalan perlu diperbesarkan dan longkang kena buat. sekiranya kerja pembangunan jalan dilakukan, kita perlu dapatkan persetujuan daripada jiran di sebelah. Saya kurang bersetuju pelan jalan raya yang akan dilaksanakan DBKL kerana mengekalkan jalan biasa sekaligus mewujudkanbuild in constrain, iaitu jalan raya sedia ada dikekalkan. Saya melihat kawasan dan ajalan di situ kecil. Apabila dikekalkan lakaran jalan mengikut jalan raya yang asal, ia tidak boleh dibangunkan kerana kawasan disitu kecil. Malah kita terpaksa buat jalan baru tetapi harus mendapat persetujuan daripada pemilik tanah dan mereka mesti berpindah sementara di satu penempatan yang baru. Jadi apabila kawasan itu telah dibangunkan, mereka boleh balik ke kawasan itu sekiranya dibina rumah untuk mereka atau ke kawasan lain.
SH: Apakah harapan Tan Srimengenai pembangunan Kampung Baru dan mengekalkan keaslianya?
Tan Sri: Kita melaksanakan projek pembangunan bukan hanya untuk Kampung Baru sahaja tetapi pembangunan menyeluruh (Regional Development Within Wilayah Persekutuan) iaitu pembangunan wilayah dalam Wilayah Persekutuan termasuk Kampung Baru, Pasar Chow Kit, Hospital Kuala Lumpur, Jalan Pahang dan Jalan Tun Razak. Inilah cara saya mungkin makan masa 20 tahun tetapi masa itu amat singkat. Kita buat pelan untuk bangunkan KLCC pun ambil masa 20 tahun juga. Dari segi mengekalkan ciri keaslian kampung, kita tidak boleh membangunkan seluruh kawasan tersebut. lagipun, mana ada bangunkan bersejarah di situ. Kampung Baru sekiranya ia dibangunkan semula agar sentiasa baru dan ciri-ciri pendudunya dikekalkan. Sebagaimana saya katakan tadi, sebanyak 30 peratus daripada pembangunan bakal dilaksanakan boleh dibina mempamerkan ciri-ciri sejarah kawasan itu atau ciri kemelayuan.
SH: Bagaimana dengan nasib orang Melayu, adakah mereka akan dipinggirkan?
Tan Sri: Saya tidak melihat bahawa penduduk akan dipinggirkan sekiranya pembangunan dilaksaakan. Malah pemilik tanah di kawasan itu akan menjadi kaya. Contohnya. tanah yang dijual kepada Petronas untuk projek KLCC. Kebanyakkan pemilik kini menjadi jutawan. Jika pemilik tanah di KLCC berkeluasan 160 ekar boleh jadi jutawan. Kita mengambil secara keseluruhan. Ini merupakan Peluang orang Melayu mendapat keuntunggan yang lumayan. Pembangunan yang akan dilaksanakan boleh menjangkau sehingga 25 tahun. Sehubung itu, sewajarnya ditubuhkan koperasi. Di samping itu, kerajaan patutu mewujudkan mekanisme membangunkan satu institusi kewangan khas bagi membiayai projek tersebut. Saya mendapati orang Melayu di situ tiada modal, melainkan hanya mempunyai tanah sahaja. Sepatutnya, tanah dinilai mengikut pasaran dan itulah diberi modal membangunkan berdasarkan pasaran dan nilai tanah. Jika ada rancangan lebih inovatif dan besar-besaran, saya tidak nampak pemilik tanah ini mempunyai masalah mengenai nasib mereka. Isu siapa sisih siapa, itu tidak timbul kerana itu tanah mereka, melainkan mereka-mereka sesama sendiri menentukannya dari segi hak milik, hukum faraid dan sebagainya.
* TAN SRI ELYAS OMAR TIDAK ADA MENYEBUTPUN PENTADBIR KAMPUNG BARU IAITU LEMBAGA PENTADBIR MALAY AGRICULTURE SETTLEMENT (MAS).
* SEOLAH-OLAH MAS TELAH DIPINGGIRKAN.


Read More

PROJEK PUNCAK BARU CETUS PELBAGAI REAKSI

4/16/2009 08:11:00 PTG at 4/16/2009 08:11:00 PTG

KAMPUNG BARU - Projek Puncak Baru melibatkan pembangunan kondominium setinggi 60 tingkat, 40 tingkat unit pejabat dan tiga tingkat ruang membeli-belah yang bakal dilaksanakan di Tapak Pasar Minggu di sini mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan penduduk setempat.

Salah seorang penduduk yang di temui, Mohd Zakaria Maidu, 55, berkata, kebanyakkan masyarakat tempatan tidak bersetuju dengan perlaksanakan projek itu kerana pertamanya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak pernah membincangkan mengenai harga unit yang bakal dibina itu.

Menurutnya, secara logiknya pembinaan kondominium setinggi 60 tingkat pasti melibatkan kos yang tinggi malah sudah pastinya tidak mampu dimiliki orang melayu khususnya anak jati Kampung Baru.

"Saya yang sudah bersara ini tidak akan mendapat pinjaman bank untuk membeli kondominium itu nanti dan anak-anak saya pula baru bekerja jadi kami sebagai penduduk tempatan hanya akan dpat melihat sahaja pembangunan itu tanpa sebarang manfaat daripadanya," katanya.

Beliau berkata, begitu juga dengan golongan penjaja dan peniaga kecil di situ kerana apabila dijual dengan harga yang mahal kelak, kondominium yang dibina itu pasti hanya mampu dibeli golongan korporat yang mempunyai gaya hidup yang mewah.

Katanya, golongan golongan itu tidak akan berbelanja atau makan di gerai di Kampung Baru, jadi beliau berpendapat tempias pembangunan itu tidak akan terkena kepada mereka dan tiada manfaatnya kepada penduduk Kampung Baru.

Mohd Zakaria berkata, DBKL juga tidak pernah mendapatkan sebarang pandangan dari penduduk setempat bagi pelaksanaan projek berkenaan.

Pendapat yang sama turut diluahkan Azman Mohd Salam, 46, yang berpendapat pembinaan kondominium itu nanti hanya akan menyebabkan kebanjiran orang luar ke dalam Kampung Baru khususnya bangsa asing.

"Bukanlah orang Melayu semuanya tidak mampu untuk membeli kondominium mewah tetapi jumlahnya yang mampu tidaklah ramai dan projek mewah itu sememangnya diluar kemampuan kita," katanya.

Sementara itu, Mazlan Manek, 37, berkata, perancangan pembangunan yang ingin dilaksanakan DBKL mempunyai kebaikan dan keburukkanya tersendiri. Menurutnya, ianya mungkin akan memberikan limpahan rezeki kepada golongan penjaja dan peniaga di Kampung Baru namun dari segi keburukkanya pula, pembinaan kondominium akan menyebabkan pertambahan serta kepadatan penduduk sehingga menambahkan lagi kesesakan di Kampung Baru.

"Sekarang ini pun kita sudah rimas dengan kenderaan yang pakir di kiri dan kanan jalan apatah lagi selepas projek itu nanti di mana masalah ini akan bertambah serius," katanya.

sinar harian 15-04-2009


Read More

DBKL HARUS KEMBALI KEPADA ASAS : MAS

4/16/2009 07:13:00 PTG at 4/16/2009 07:13:00 PTG

KAMPUNG BARU - Pelaksanaan Pembangunan Kampung Baru kembali hangat diperkatakan dan mendapat reaksi yang berbeza daripada pelbagai pihak, ada yang memberikan reaksi positif dan tidak kurang juga yang negatif.

Setiausaha Kehormat Lembaga Pentadbiran Malay Agricultural Settlement (MAS) Kampung Baru, Shamsuri Suradi berkata, dalam soal membangunkan Kampung Baru, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) harus kembali kepada asasnya terlebih dahulu.

Menurutnya Kampung Baru mempunyai pentadbirnya sendiri iaitu Lembaga Pentadbiran Malay Agricuktural Settlement (MAS) Kampung Baru yang ditubuhkan pada 12 Januari 1900 dan sehingga sekarang tidak pernah dirombak atau dibubarkan.

"Kampung Baru istimewa kerana mempunyai enakmen dan perlembagaanya tersendiri dan saya juga tertanya-tanya mengapa selepas pengistiharan Wilayah Persekutuan pada tahun 1974, enakmen itu tidak dibubarkan".

"Kalau enakmen itu dibubarkan, kami masih lagi bekerja disini dan kalau nak bubarkan, bubarkan terus jadi tidaklah ibarat berfungsi tetapi tiada keberkesanannya," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Pejabat Lembaga Pentadbiran MAS, di Jalan Haji Hashim, dekat sini.

Beliau berkata, penduduk Kampung Baru tidak menolak pembangunan yang ingin dilaksanakan namun penduduk sudah hilang kepercayaan berikutan perancangan demi perancangan yang terbengkalai sebelum ini.

Beliau berkata, penduduk Kampung Baru kini lebih berwaspada dan ingin memastikan kewibawaan pemaju yang berhasrat membangunkan kampung yang penuh dengan nilai sejarah itu.

"Orang Melayu perlukan satu sikap keterbukaan dari segi pembangunan kampung Baru kerana mereka mengalami pahit maungnya dan pemimpin juga sering bertukar-tukar namun penduduk tetap di sini menunggu".

"Berdasarkan keputusan yang kami capai pada perhimpunan Ogos tahun lalu, dalam soal pembangunan yang ingin dilaksanakan di Kampung Baru, penduduk inginkan MAS dibawa berunding kerana MAS dan Kampung Baru Ibaratkan bapa dan anak" katanya.

Menurut beliau, MAS berhasrat untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Wilayah Persekutuan yang baru Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin untuk menerangkan situasi sebenar Kampung Baru kepada beliau".

Shamsuri berkata, UMNO bermula di Kampung Baru dan beliau tidak mahu orang melayu hilang identiti kesan daripada pembangunan yang ingin dilaksanakan.

Beliau berkata, Kampung Baru adalah tanah pemberian Sultan Selangor dan salur galurnya jangan diabaikan kerana kita tidak mahu orang Melayu hilang sejarahnya kelak.

sinar harian 15-04-2009


Read More

MENYINGKAP SEJARAH PASAR MINGGU

4/10/2009 12:39:00 PTG at 4/10/2009 12:39:00 PTG



PASAR MINGGU TERLETAK DIDALAM KAWASAN KAMPUNG PAYA SALAH SATU DARI TUJUH KAMPUNG DI KAMPUNG BARU. KETUA KAMPUNG PAYA ADALAH ADAM SAHAT (GAMBAR) YANG JUGA AHLI JEMAAH LEMBAGA PENTADBIR RIZAB PENEMPATAN PERTANIAN MELAYU (MAS).
SEJARAH
PASAR MINGGU telah wujud sejak zaman sebelum penjajahan Jepun ke atas Tanah Melayu lagi dan Pasar Minggu adalah pusat perniagaan terawal orang Melayu di ibu kota Kuala Lumpur pada waktu itu. Tapak awal Pasar Minggu adalah di Jalan Raja Muda Musa iaitu bermula dari persimpangan Jalan Daud sehingga ke hujung Jalan Raja Muda Musa menghadap Jalan Raja Abdullah (Di kenali sebagai Jalan Hale pada pada waktu itu), kemudian berpindah di Jalan Raja Abdullah pada zaman penjajahan Jepun ke atas Tanah Melayu. Pada tahun 50an, sekali lagi tapak Pasar Minggu di pindahkan ke Jalan Raja Alang (Di kenali sebagai Jalan Perkins pada waktu itu) dan akhirnya peniaga-peniaga Pasar Minggu di pindahkan ke tapak sekarang dan di majukan oleh kerajaan negeri Selangor pada waktu itu dan PKNS di beri tanggungjawab sebagai pemaju, lebih kurang akhir tahun 60an dan setelah siap telah di rasmikan oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al- Haj, iaitu Perdana Menteri Malaysia pada April 1967. Itulah serba sedikit pengenalan tentang Pasar Minggu, Kg. Baru, Kuala Lumpur. Sekarang ini Pasar Minggu, Kg. Baru seperti 'Hidup Segan Mati Tak Mahu' bukanlah kerana peniaga-peniaga tidak mahu menjalankan perniagaan yang telah dipelopori oleh datuk nenek mereka yang terdahulu tetapi oleh kerana keadaan yang tidak mengizinkan perniagaan di jalankan seperti mula-mula di rasmikan oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra dahulu.
KISAH LELANJUTNYA AKAN DISAMBUNG NANTI


Read More