DBKL HARUS KEMBALI KEPADA ASAS : MAS

4/16/2009 07:13:00 PTG at 4/16/2009 07:13:00 PTG

KAMPUNG BARU - Pelaksanaan Pembangunan Kampung Baru kembali hangat diperkatakan dan mendapat reaksi yang berbeza daripada pelbagai pihak, ada yang memberikan reaksi positif dan tidak kurang juga yang negatif.

Setiausaha Kehormat Lembaga Pentadbiran Malay Agricultural Settlement (MAS) Kampung Baru, Shamsuri Suradi berkata, dalam soal membangunkan Kampung Baru, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) harus kembali kepada asasnya terlebih dahulu.

Menurutnya Kampung Baru mempunyai pentadbirnya sendiri iaitu Lembaga Pentadbiran Malay Agricuktural Settlement (MAS) Kampung Baru yang ditubuhkan pada 12 Januari 1900 dan sehingga sekarang tidak pernah dirombak atau dibubarkan.

"Kampung Baru istimewa kerana mempunyai enakmen dan perlembagaanya tersendiri dan saya juga tertanya-tanya mengapa selepas pengistiharan Wilayah Persekutuan pada tahun 1974, enakmen itu tidak dibubarkan".

"Kalau enakmen itu dibubarkan, kami masih lagi bekerja disini dan kalau nak bubarkan, bubarkan terus jadi tidaklah ibarat berfungsi tetapi tiada keberkesanannya," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Pejabat Lembaga Pentadbiran MAS, di Jalan Haji Hashim, dekat sini.

Beliau berkata, penduduk Kampung Baru tidak menolak pembangunan yang ingin dilaksanakan namun penduduk sudah hilang kepercayaan berikutan perancangan demi perancangan yang terbengkalai sebelum ini.

Beliau berkata, penduduk Kampung Baru kini lebih berwaspada dan ingin memastikan kewibawaan pemaju yang berhasrat membangunkan kampung yang penuh dengan nilai sejarah itu.

"Orang Melayu perlukan satu sikap keterbukaan dari segi pembangunan kampung Baru kerana mereka mengalami pahit maungnya dan pemimpin juga sering bertukar-tukar namun penduduk tetap di sini menunggu".

"Berdasarkan keputusan yang kami capai pada perhimpunan Ogos tahun lalu, dalam soal pembangunan yang ingin dilaksanakan di Kampung Baru, penduduk inginkan MAS dibawa berunding kerana MAS dan Kampung Baru Ibaratkan bapa dan anak" katanya.

Menurut beliau, MAS berhasrat untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Wilayah Persekutuan yang baru Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin untuk menerangkan situasi sebenar Kampung Baru kepada beliau".

Shamsuri berkata, UMNO bermula di Kampung Baru dan beliau tidak mahu orang melayu hilang identiti kesan daripada pembangunan yang ingin dilaksanakan.

Beliau berkata, Kampung Baru adalah tanah pemberian Sultan Selangor dan salur galurnya jangan diabaikan kerana kita tidak mahu orang Melayu hilang sejarahnya kelak.

sinar harian 15-04-2009

3 comments:

noris helmi nordin berkata...

Saya amat bersetuju dengan pernyataan dari Setiausaha Kehormat Lembaga MAS. Setiap permasalahan dalam Kg Baru, undang2 MAS ialah rujukannya, insyallah segala isu boleh diselesaikan sekiranya di patuhi dan diakui oleh semua rakyat Kt Baru.

zubin berkata...

Apa akan terjadi selepas ini, apakah mereka akan berpindah atau kerajaan tempatan tidak akan membuat apa2 seperti yang terjadi dipantai dalam?

Tanpa Nama berkata...

Kita tak tahu, apa yang penting martabatkan dulu undang2 yang sah ini! Susulan tindakan akan berlaku selepas ini.