SUDAH BANYAK KALI PENIAGA MENGELUH TERHADAP DBKL

4/22/2009 11:45:00 PG at 4/22/2009 11:45:00 PG

MUNGKINKAH reka bentuk Medan Selera Damai yang lain dari yang lain dan ketiadaan papan tanda menjadi punca orang ramai tidak sedar bahawa ia adalah sebuah medan selera?
HANYA BANGKU KOSONG

Oleh Roslah Othman
kota@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 21 April - Nasib para peniaga di Medan Selera Damai berhampiran Jalan Pekeliling di sini yang mendakwa ruang niaga mereka sepi dan kurang sambutan bukanlah perkara baru.
Sebaliknya, isu itu pernah 'mencuit' Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hanya kira-kira enam bulan selepas pembukaannya pada penghujung 2006.
Para peniaga mendakwa, kurangnya usaha-usaha DBKL mempromosikan medan selera berkenaan khususnya kepada warga kota adalah antara penyebab utama kepada permasalahan tersebut.
Hari ini, masalah hampir sama berulang selepas hampir dua tahun medan selera itu dibuka.
Buktinya, masih lagi kedengaran rintihan para peniaga di sini yang mendakwa tiada sebarang perubahan yang dilihat selepas aduan dibuat.
Sebaliknya, hari demi hari menyaksikan lebih banyak ruang niaga ditutup memandangkan peniaga tidak lagi sanggup menanggung kerugian.
Daripada 61 orang peniaga kesemuanya, kini hanya tinggal kira-kira 14 peniaga yang masih mempertahankan periuk nasi mereka di situ.
Difahamkan, selepas aduan dibuat lama dahulu, ada ura-ura pihak DBKL merancang untuk mempromosi medan selera itu kepada orang ramai tetapi sehingga kini ia masih tidak terlaksana.
Para peniaga yang ditemui mendakwa sejak berpindah dari Kampung Baru, bukan keuntungan yang diraih sebaliknya terpaksa pula menanggung kerugian.
Jika dahulu ketika berniaga di kawasan Kampung Baru, pendapatan tiga kali ganda boleh diperoleh tetapi di Medan Selera Damai adakalanya hampir seminggu mereka tidak dikunjungi pelanggan.
Lebih malang, individu yang dilantik mewakili para peniaga di situ juga telah menghilangkan diri.
Enggan terus menanggung derita, sekali lagi pintu pihak berkuasa berkenaan terpaksa 'diketuk' agar melakukan sesuatu demi memastikan nasib mereka terbela.
Tinjauan Utusan Malaysia di Medan Selera Damai baru-baru ini mendapati keadaan di situ sepi dan hanya beberapa pelanggan dilihat sedang menikmati hidangan di premis bahagian utara.
Di premis bahagian tengah hanya dipenuhi bangku-bangku kosong.
Dari mata kasar, medan selera tersebut mempunyai tarikan tersendiri jika mahu dibandingkan dengan medan selera lain yang ada di ibu negara tetapi sambutan yang diterima begitu menyedihkan.
Difahamkan, kos pembinaannya sahaja menelan belanja kira-kira RM14 juta.
Selain terletak di lokasi strategik iaitu di tebing tempat pertemuan dua sungai iaitu Sungai Klang dan Gombak, struktur rekaan bangunannya juga sudah cukup membayangkan betapa hebat dan gahnya medan selera itu.
Selain kemudahan seperti lampu jambatan yang menghubungkan ke Jalan Datuk Haji Eusoff tidak berfungsi dengan baik, papan tanda yang terlalu kecil dan bumbung bocor adalah antara masalah yang dihadapi.
Apa yang mengecewakan para peniaga, sejak membuka perniagaan di situ, tidak seorang pun wakil DBKL datang dan bertanya khabar.
Difahamkan, pejabat kecil yang sepatutnya menempatkan wakil DBKL juga telah dijadikan tempat rehat dan penyimpanan barang-barang Alam Flora.
Apakah kemungkinan Medan Selera Damai ini akan mengalami nasib sama dan dianaktirikan seperti Hentian Pekeliling di kawasan berhampiran yang pernah dipaparkan Utusan Malaysia sebelum ini? hanya pihak DBKL yang dapat menjawabnya.
Bukan mahu menuding jari kepada mana-mana pihak, namun DBKL dilihat antara pihak yang bertanggungjawab memastikan perkara itu tidak dibiarkan berterusan.
Malah, harapan turut disandarkan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Fuad Ismail, serta Menteri Wilayah Persekutuan yang baru, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin agar dapat membela nasib golongan penjaja dan peniaga di situ.
Secara jujur para peniaga di sini mengakui permintaan mereka agar DBKL 'turun padang' bukan bertujuan mahu mencari kesalahan, sebaliknya mahu mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang membelenggu mereka selama ini.

0 comments: