Najib solat Jumaat di Masjid Jamek Kampung Baru

4/25/2009 10:09:00 PTG at 4/25/2009 10:09:00 PTG

KUALA LUMPUR 24 April - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyertai kira-kira 1,500 jemaah menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Kampung Baru dekat sini.
Perdana Menteri yang tiba pada pukul 1.15 tengah hari disambut oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan ahli jawatankuasa masjid tersebut.
Khutbah Jumaat bertajuk Penghayatan Ilmu disampaikan oleh Imam Abdullah Awang.
Terdahulu, Najib yang juga Presiden UMNO dalam satu majlis berasingan di sebelah pagi disambut kira-kira 300 kakitangan ibu pejabat parti itu di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Beliau yang berpakaian baju Melayu berwarna merah jambu tiba pada pukul 9.45 pagi disambut oleh timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Wanita UMNO, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin.
Sebelum memasuki pejabat Presiden buat kali pertama di tingkat 39, Najib meluangkan masa selama 10 minit melawat Galeri UMNO di tingkat empat bangunan itu.
Pada sebelah petang, Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO buat kali pertama sejak dipilih memegang jawatan itu pada Perhimpunan Agung UMNO 28 Mac lalu.
Beliau menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang tidak mempertahankan jawatan.

1 comments:

noris helmi nordin berkata...

Saya berharap lawatan yang mantap dari Perdana Menteri kita ke Kampung Baru ialah satu majlis gilang gemilang untuk mengistiharkan pengiktirafan Undang2 Enakmen Malay Agricultural Settlement(MAS) sebagai undang-undang SAH yang menaungi kawasan 223 ekar ini dan mengiktirafkan Lembaga Pentadbiran MAS Kg BAru KL sebagai pentadbir yang sah dan setaraf dengan PBT yang lain di Malaysia ini. Sejurus itu mengangkat undang2 dan corak pentadbiran yang 100% di tadbirkan oleh orang Melayu ini berlandaskan Islam sebagai contoh untuk mentadbir kawasan kediaman orang Melayu. Sejurus itu membolehkan ahli-ahli jemaah mendapat faedah seperti ketua-ketua kampung yang lain dengan pendedahan kursus pentadbiran seperti di INTAN. Kampung Baru adalah 'jantung' perjuangan kesinambungan orang Melayu!!!! Jangan kita leka tanpa memeperkasakan institusi orang Melayu yang telah berusia melebihi 109 tahun!