Teater Muzikal Kampung Baru

4/13/2011 11:41:00 PG at 4/13/2011 11:41:00 PG

Sekalung tahniah buat semua tenaga produksi yang telah menjayakan pementasan Teater Muzikal Kampung Baru yang telah dipertontonkan pada 9/10 April 2011 ( sabtu/ ahad) di Auditorium DBKL.

Sebuah karya Hatta Azad Khan yang memaparkan isu-isu yang terdapat di lingkungan atmosfera Kampung Baru yang dipentaskan oleh pelajar Universiti Teknologi Mara dengan kerja sama pelbagai Agensi. termasuk juga pihak MAS (malay Agriculture Settlement) dan juga Generasi 3 Kampung Baru (G3.

Berkisar kisah mengenai pembaharuan yang perlu dilakukan di Kampung Baru...


Read More
4/01/2011 08:33:00 PTG at 4/01/2011 08:33:00 PTG


Read More

TANAH KAMPUNG BARU MURAH????

4/01/2011 08:24:00 PTG at 4/01/2011 08:24:00 PTG

Kemelut pembangunan Kampung Baru terutama dalam isu pengambilan tanah sukar diselesaikan kerana ia terikat dengan Akta ‘Malay Agriculture Settlement’ (MAS) yang telah wujud sejak 100 tahun lalu. Berikutan itu, dakwa seorang pemimpin Kampung Baru, pihak yang mempunyai kepentingan dan berpengaruh ke atas pemilik tanah Kampung Baru berkeras mahu mempertahankan akta tersebut. Akta MAS menyebut hanya orang Melayu boleh memiliki dan menduduki tanah Kampung Baru.

Usaha kerajaan untuk memajukan Kampung Baru supaya setanding dengan kawasan sekitar sejak 20 tahun lalu masih belum berjaya.

Beliau yang enggan nama disiarkan juga mendakwa 75 peratus dari kira-kira 5,000 pemilik tanah dari 80 hektar memiliki gerah tanah bersyarat iaitu hanya boleh diduduki oleh orang Melayu.

“Akta MAS ini tidak sesuai lagi setelah Wilayah Persekutuan diwujudkan pada 1 April 1974. Akta MAS adalah akta Selangor tetapi Kampung Baru di bawah Wilayah Persekutuan. Akta Selangor tidak boleh berada di Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata, “Akta ini yang menyebabkan harga tanah Kampung Baru begitu rendah berbanding di kawasan sekelilingnya.

“Dalam dokumen Pelan Tempatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dicatat harga tanah Kampung Baru ialah RM350 sekaki persegi, itu pun dikatakan tinggi.

“Tetapi di kawasan KLCC harga mencecah RM1,200 hingga RM1,500 sekaki dan di Chow Kit ialah RM800 sekaki,” tambahnya.

Nilai tanah terikat dengan Akta MAS

Ujar beliau, “mengapa tanah Kampung Baru begitu murah berbanding KLCC dan Chow Kit? Tanah menjadi murah kerana terikat dengan Akta MAS.

“Kalau Akta MAS dimansuhkan, tanah Kampung Baru dapat dijual sehingga RM900 atau RM1,000 sekaki persegi, masalah akan selesai.

Beliau berkata, kemelut pembangunan Kampung Baru ini telah berlarutan sejak 20 tahun lalu dan selagi Akta MAS ini masih ada ia tidak akan menemui jalan penyelesaian.

Katanya, sebelum ini ada dua pihak yang mahu memajukan Kampung Baru iaitu Persatuan Anak Kampung Baru dan Persatuan Pembangunan Kampung Baru tetapi kedua-dua persatuan ini tidak mempunyai tanah di Kampung Baru.

Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar telah menubuhkan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru sebagai badan khas untuk pembangunan semula Kampung Baru.

Bagaimanapun penubuhan perbadanan tersebut mendapat bantahan dari MAS yang mendakwa kementerian tidak pernah berbincang dengan pemilik tanah untuk menubuhkan perbadanan itu.

“Bagaimana MAS hendak setuju dengan perbadanan kerana hanya ada dua orang wakil dalam perbadanan sedangkan 14 lagi dilantik oleh menteri,?” soal beliau.

“Sebenarnya perbadanan ini tidak perlu kerana ada pemaju Bumiputera yang boleh memajukan Kampung Baru,” katanya.

Free Malaysia Today


Read More

KERAJAAN PERLU JELASKAN PENUBUHAN PERBADANAN PEMBANGUNAN KAMPUNG BARU

4/01/2011 08:21:00 PTG at 4/01/2011 08:21:00 PTG

PAS Wilayah Persekutuan menggesa agar Kerajaan segera turun padang dan menjelaskan kepada rakyat khususnya penduduk dan pemilik tanah Kampung Baru tentang penubuhan Perbadanan Kampung Baru (PPKB). Rang Undang-Undang penubuhan PPKB tersebut dijadual akan dibentangkan di Parlimen dalam sidang kali ini, kemungkinan besar selepas selesai perbahasan Bajet 2011. Walau bagaimanapun, sehingga hari ini butir-butir penubuhan PPKB tersebut masih dirahsiakan dan tidak diperjelaskan secara terperinci khususnya kepada mereka yang akan terlibat secara langsung dengan projek pembangunan Kampung Baru tersebut.


Dalam sidang Parlimen yang lalu, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin telah mengesahkan bahawa Kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan konsep pembangunan semula Kampung Baru secara komprehensif. Konsep pembangunan ini akan dilaksanakan melalui proses penyerahan hakmilik tanah di bawah Seksyen 197 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 dan proses penyerahan dan pemberimilikan semula hakmilik tanah tersebut di bawah Seksyen 204D KTN. Selain itu, kaedah jual beli tanah di bawah KTN dan proses pengambilan tanah di bawah Seksyen 3(1)(b) Akta Pengambilan Tanah 1960 akan turut digunakan oleh Kerajaan. Untuk memastikan mekanisma pembangunan ini berjalan, maka sebuah badan bernama Perbadanan Pembangunan Kampung Baru akan diwujudkan di bawah Seksyen 49(2) Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982. Badan yang ditubuhkan melalui kuasa Parlimen ini akan mempunyai fungsi dan bidang kuasa yang luas untuk mentadbir dan menguruskan aset-aset di Kampung Baru dalam pelaksanaan projek pembangunan yang dirancang tersebut.

Persoalan yang timbul ialah kenapa penubuhan badan yang sebegini penting tidak dijelaskan kepada rakyat sedangkan ia akan dibentangkan di Parlimen untuk diluluskan tidak berapa lama lagi. Apakah ada suatu muslihat ia tidak dibentangkan dulu untuk persetujuan mereka yang terlibat secara langsung dengan projek pembangunan tersebut? Kerajaan harus menjelaskan siapakah yang akan menganggotai PPKB tersebut dan sama ada wakil pemilik, waris dan penduduk Kampung Baru akan dilibatkan sama dalam perbadanan tersebut? Begitu juga dengan konsep penyerahan hakmilik dan pengambilan tanah yang akan dikuatkuasakan nanti, adakah ia benar-benar telah mendapat persetujuan daripada waris dan pemilik tanah ? Apakah ada jaminan hakmilik tanah yang diserahkan nanti akan dikembalikan semula kepada pemilik-pemilik tanah? Berapa pula jangkamasa pemulangan hakmilik tersebut dan apakah ada syarat-syarat nyata lain yang akan dikenakan oleh Kerajaan ke atas hakmilik tersebut, yang mungkin akan memprejudis dan merugikan pemilik dan waris tanah Kampung Baru.Timbul juga persoalan sama ada mereka akan dipindahkan setelah hakmilik tanah itu diserahkan kepada perbadanan untuk dibangunkan.JIka terpaksa dipindahkan, ke mana dan apakah mereka akan menerima pampasan selama tempoh pemindahan tersebut?

Semua persoalan dan isu-isu penting ini perlulah dijelaskan kepada mereka yang terlibat sebelum Rang Undang-Undang penubuhan PPKB ini diluluskan oleh Parlimen dan diwartakan kelak. Para pemilik tanah Kampung Baru perlu dilibatkan sama dan diberi penerangan yang sejelasnya berhubung penubuhan PPKB ini kerana ia melibatkan harta dan masa depan mereka. Adalah dibimbangi setelah sahaja PPKB diwartakan nanti, apa sahaja keputusan yang dibuat oleh pihak perbadanan tidak boleh dicabar oleh penduduk di mana-mana Mahkamah. Yang akan menangung rugi ialah pemilik tanah dan penduduk Kampung Baru sendiri. Mereka sememangnya berhak untuk merasa curiga dengan pendekatan Kerajaan dalam isu pembangunan Kampung Baru ini, memandangkan projek Menara Puncak Baru bernilai RM500 juta yang telah dirasmikan upacara pecah tanahnya pada 30 Mac 2009 oleh mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi, masih belum lagi bermula sehingga hari ini walaupun dijanjikan akan bermula dalam masa tiga bulan sahaja selepas tarikh tersebut !

PAS Wilayah Persekutuan mengulangi pendirian bahawa Kerajaan haruslah bersikap jujur dan telus dalam segala bentuk perancangan pembangunan di Kampung Baru ini memandangkan inilah satu-satunya aset berharga orang Melayu yang masih wujud di kawasan segitiga emas bandaraya Kuala Lumpur. Semua waris,pemilik tanah dan penduduk Kampung Baru perlulah dilibatkan sama secara langsung dan pandangan, teguran dan cadangan mereka perlulah didengar oleh Kerajaan. Projek pembangunan sebesar dan sepenting ini tidak harus dibuat oleh Kerajaan secara terburu-buru dengan hanya memikirkan keuntungan semata-mata tanpa mengambil kira segala aspek dan pandangan semua pihak.


AHMAD ZAMRI BIN ASA'AD KHUZAIMI
Penasihat Undang-Undang
PAS Wilayah Persekutuan


Read More

Kampung Baru ikut model Mekah

4/01/2011 08:08:00 PTG at 4/01/2011 08:08:00 PTG

MELAKA - Projek pembangunan Kampung Baru, Kuala Lumpur di kawasan seluas 90 hektar berkemungkinan dibangunkan mengikut model perniagaan di Mekah, Arab Saudi.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, Lambaga Tabung Haji (LTH) adalah antara dua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang akan membangunkan Kampung Baru telah mengemukakan cadangan itu.

Sebuah lagi GLC yang menyatakan persetujuan ialah Permodalan Hartanah Berhad (PHB) manakala Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang turut dipelawa sebagai pemaju telah menyatakan persetujuan secara dasar.

"Pembangunan di Kampung Baru kelak yang diibaratkan sebagai permata bagi penduduk Melayu di sebuah kawasan di tengah-tengah Kuala Lumpur diharapkan dapat menandingi pembangunan di kawasan sekitarnya termasuk kawasan segi tiga emas yang menempatkan Menara Berkembar Petronas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Lab Undang-Undang Perbadanan Kampung Baru di sini semalam.

Lab bagi merangka draf undang-undang yang akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk menunjangi penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru dijangka berfungsi pada tahun depan.

Raja Nong Chik berkata, selain Perbadanan Pembangunan Kampung Baru, Pemaju Pembangunan Kampung Baru yang berfungsi sebagai penyediaan dana dan melaksanakan pembangunan fizikal Kampung Baru juga akan diwujudkan.

Kerajaan juga akan membantu pembangunan infrastruktur di kampung itu.

Mengenai penilaian tanah di Kampung Baru, beliau berkata ia akan dilakukan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Kementerian Kewangan dan sebuah syarikat swasta, Rahim & Co.

"Kita jangkakan penilaian tanah di Kampung Baru akan dapat diselesaikan dalam tempoh dua atau tiga bulan yang akan bermula dalam masa terdekat," katanya.


Read More

Kampung Baru Kekal 100 Peratus Milik Bumiputera

4/01/2011 08:06:00 PTG at 4/01/2011 08:06:00 PTG

Kerajaan memberi jaminan kawasan Kampung Baru akan kekal 100 peratus milik Bumiputera manakala pembangunan hartanan berdasarkan nisbah 60:40 antara Bumiputera dan bukan Bumiputera di kawasan itu hanya cadangan.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata kerajaan tidak memaksa pemilik tanah Kampung Baru untuk menerima cadangan membangunkan hartanah berdasarkan kuota 60:40 bagi Bumiputera dan bukan Bumiputera.

“Kerajaan memahami kebimbangan penduduk Kampung Baru terhadap isu nisbah 60:40 ini dan kerajaan memberi jaminan bahawa kawasan berkenaan akan kekal 100 peratus milik bumiputera tetapi pembangunan komersial mungkin boleh dipertimbangkan untuk dibuka kepada bukan bumiputera.

“Sebarang pembangunan di Kampung Baru perlu mendapat persetujuan daripada pemilik dan cadangan bukannya muktamad,” katanya.

Raja Nong Chik berkata berkata kerajaan juga tidak akan menggunakan Akta Pengambilan Tanah untuk meneruskan pembangunan Kampung Baru kelak.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) bagi membincangkan mengenai pembangunan Kampung Baru di ibu pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini pada Rabu.

Turut hadir pada perbincangan itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Bakaruddin Othman, Presiden Perdasama Datuk Izat Emir, Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali dan Setiausaha Agung GPMS Zambri Mohd Isa.

Raja Nong Chik berkata NGO yang terlibat dalam perbincangan itu bersetuju dengan rancangan pembangunan Kampung Baru dan mahu dibangunkan secara komprehensif tanpa menjejaskan pemilikan tanah milik bumiputera.

Raja Nong Chik berkata beliau akan berjumpa dengan persatuan-persatuan yang mewakili pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru minggu depan untuk mendapat pandangan serta memberi penjelasan terperinci mengenai cadangan pembangunan Kampung Baru.

Selain itu, katanya, kementerian itu juga akan mengadakan kaji selidik menerusi satu sesi undian penduduk Kampung Baru yang mungkin berlangsung tahun depan.

Raja Nong Chik berkata Perbadanan Pembangunan Kampung Baru, yang akan bertanggungjawab untuk melaksana dan menyelia pelan pembangunan semula kawasan itu, perlu ditubuhkan dahulu dan ia dijangka diwujudkan tahun depan.

Mengenai cadangan bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Elyas Omar iaitu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) boleh memainkan peranan membangunkan Kampung Baru bagi memastikan hak pemiliknya terpelihara, beliau berkata Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Haji dan Pemodalan Hartanah Berhad telah dikenal pasti oleh kerajaan untuk melaksanakan tugas itu.

Kampung Baru mempunyai keluasan 122.93 hektar dan berdasarkan penilaian tanah yang dibuat oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) pada Mac 2007 yang melibatkan keluasan 54.4 hektar di kawasan itu menetapkan kadar RM270 ke RM300 per kaki persegi bagi tanah kediaman dan RM500 ke RM600 per kaki persegi bagi tanah perdagangan.

– BERNAMA


Read More

Beri ruang pewaris Kampung Baru perhalusi klausa

4/01/2011 07:59:00 PTG at 4/01/2011 07:59:00 PTG

PUTRAJAYA: Kerajaan akan menangguhkan bacaan kedua Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (RUUPPKB) sehingga Jun depan bagi memberi ruang kepada pemilik dan pewaris Kampung Baru memperhalusi klausa dalam rang undang-undang itu.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, berkata ada beberapa klausa dalam RUUPPKB itu perlu diperhalusi dan difahami, malah pandangan pemilik dan pewaris terbabit perlu diberi keutamaan.


“Atas dasar rakyat didahulukan, kita memberi kepentingan suara kepada pemilik dan pewaris Kampung Baru. Perkara ini bukan berkaitan dengan siapa menang atau siapa kalah.

“Malah, kementerian juga bersetuju akan menubuhkan jawatankuasa khusus yang akan diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Ahmad Phesal Talib dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk memperhalusi klausa yang perlu diperbaiki,” katanya selepas pertemuan dengan wakil pemilik dan pewaris Kampung Baru, di sini, semalam.


Raja Nong Chik berkata, penangguhan pembentangan untuk bacaan kali kedua itu juga sudah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.


“Kami akan selesaikan perkara ini secepat mungkin dan Jun sasaran kami. Sekiranya ada perkara yang belum selesai sebelum itu, kami akan melambatkan (pembentangan) kerana lebih penting suara pemilik dan pewaris ini diberi keutamaan,” katanya.


Read More

Majoriti penduduk Kg Baru mahu Rang Undang-undang ditarik balik- Dr Lo’ lo

4/01/2011 07:44:00 PTG at 4/01/2011 07:44:00 PTG

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo Lo Mohamad Ghazali berkata majoriti penduduk Kampung Baru mahukan Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru 2010 (RUU PPKB) ditarik balik, berdasarkan beberapa siri pertemuan yang diadakan dengan penduduk kawasan tersebut.

Justeru, beliau menafikan kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik bahawa 90 peratus warga kampung Baru bersetuju dengan RUU tersebut.

“Kami juga mengambil inisiatif mengedarkan salinan RUU PPKB 2010 kepada pemilik tanah yang hadir pada sesi penerangan kami. Majoriti pemilik dan pewaris hartanah di Kampung Bharu mahukan RUU ini ditarik sepenuhnya terlebih dahulu di Parlimen.

“Kenyataan Raja Nong Chik yang menyatakan 90% orang Kampung Bharu bersetuju dengan RUU PPKP adalan tidak tepat, jika melihat kepada bantahan yang dizahirkan melalui sepanduk yang dinaikkan oleh penduduk Kampung Baru,” katanya yang telah mengadakan enam pertemuan dan majlis penerangan dengan penduduk berkenaan melalui Sekretariat Pembangunan Kampung Baru.

Sekretariat itu diselenggara di bawah Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa yang dikendalikannya, di mana beliau memberikan penerangan dan berdialog dengan pemilik dan pewaris warisan itu.

Sehubungan itu beliau mendesak supaya Datuk Raja Nong Chik menarik semula pembentangan rang undang-undang itu yang meminggirkan fungsi dan peranan yang dimainkan Perbadanan Pentadbiran Kampung Baru (MAS).

“Jangan samakan MAS dengan NGO. MAS adalah entiti ‘Kerajaan Tempatan’ yang mempunyai enakmen sendiri dan jauh lebih berwibawa berbanding NGO yang tidak mewakili suara majorirti penduduk.

“Saya menasihatkan pemilik tanah Kampung Baru supaya jangan mudah terpedaya dan terpesona dengan janji-janji manis ini. Ini bukan hasutan tetapi peringatan. Sejarah di Kampung Baru sendiri membuktikan bagaimana janji-janji manis yang ditaburkan kerajaan hanya tinggal janji,” katanya.

Beliau memberikan contoh Projek Puncak Baru di tapak Pasar Minggu Kampung Bharu yang dilancarkan mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 30 Mac 2009 dengan peruntukkan RM 500 juta. Projek itu dijanjikan bermula dari 3 bulan selepas upacara pecah tanah, namun gagal selepas dua tahun dilancarkan.

Beliau bimbang, kerana RUU PPKB 2010 telah dibentangkan di Parlimen untuk bacaan kali pertama pada Disember 2010 yang lalu dilakukan tanpa berbincang dengan penduduk.

“Setiausaha Parlimen dan Menteri harus datang berjumpa dan berbincang dengan pemilik dan pewaris. Bukan hanya bertemu wakil-wakil NGO.

“Penduduk boleh memberi cadangan berhubung klausa tertentu yang tidak dipersetujui atau yang mahu dibantah. Wakil-wakil juga hendaklah terdiri dari pemilik-pemilik hartanah di Kampung Baru yang tidak berada dibawah pentabdiran MAS,” ujar Dr Lo Lo.


Read More

GENERASI MUDA DISERU PERTAHANKAN KAMPUNG BARU

4/01/2011 07:38:00 PTG at 4/01/2011 07:38:00 PTG

Majdan Yahya


KUALA LUMPUR, 15 Mac: Pemilik tanah dan penduduk Kampung Baru Kuala Lumpur meneruskan bantahan mereka terhadap penubuhan Perbadanan Kampung Baru dan pelan perancangan membangunkan kampung tersebut.

Pada kali ini, Sekretariat Pembangunan Kampung Baru (SPKB) telah menganjurkan majlis Deklarasi Pemilik Tanah Kampung Baru dan diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, malam tadi.

Dalam majlis ini seramai lima orang wakil penduduk yang mewakili generasi yang berbeza telah menyampai ucapan dan pendapat masing-masing agar didengar oleh ahli parlimen yang hadir.

Mereka mahu suara mereka dibawa ke perlimen dan mahu tanah dan hak mereka dipertahankan.

Antara Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang hadir termasuklah Salahuddin Ayub (Kubang Kerian), Dr Tan Seng Giaw (Kepong), Tian Chua (Batu), Teresa Kok (Seputeh) dan Dr Lo’ Lo’ Ghazali (Titiwangsa).

Haji Zakaria yang mewakili generasi pertama menceritakan sejarah asal-usul Kampung Baru Kuala Lumpur.

Menurut beliau, sehingga kini hanya dua individu yang benar-benar membantu membangunkan dan memberi perhatian terhadap Kampung Baru iaitu Datuk Haron Idris yang ketika menjadi Menteri Besar Selangor dan Datuk Elyas Omar (sekarang Tan Sri), ketika itu menjadi Datuk Bandar.

Beliau mahu akta yang mahu diluluskan di parlimen ditarik balik.

Mohd Nor yang mewakili generasi kedua pula mengingatkan warga Kampung Baru bahawa mereka telah ditipu oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Malaysia.

Menurut beliau, tiada perubahan dibuat rang undang-undang yang dibentangkan di parlimen.

Pindaan itu juga akan memberi kuasa penuh kepada menteri berkenaan untuk berbuat apa-apa sahaja terhadap tanah di Kampung Baru.

“Cukuplah kita ditipu sebanyak dua kali. Jangan sampai tertipu buat kali ketiga,” ujar Mohd Nor.

Sementara itu, wakil generasi muda iaitu Omar dan Ridzuan turut menyeru agar generasi muda bangkit untuk menyelamatkan warisan nenek moyang mereka dan orang Melayu serta bersama membantah akta Perbadanan Kampung Baru.

Bagi mereka, generasi muda bukanlah generasi yang tidak berpendidikan dan mudah ditipu.

Bagi mereka Isu pemilikan tanah bukanlah isu politik, tetapi isu hak dan keadilan yang perlu dipertahankan.

Omar dan Ridzuan menyeru generasi muda mengambil contoh kampung Melayu yang lenyap dan hampir hilang seperti di Bangsar dan Kampung Abdullah Hukum.

Jika orang Melayu Kampung Baru tidak menentangnya sekarang, mereka akan kehilangan kampung itu buat selama-lamanya.


Read More

Era majukan Kampung Baru

4/01/2011 07:28:00 PTG at 4/01/2011 07:28:00 PTG

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 5 Feb. - Kerajaan hari ini mengumumkan peruntukan RM20 juta bagi menaik taraf Masjid Jamek Kampung Baru yang disifatkan titik permulaan ke arah pembangunan semula kawasan itu sejajar dengan kemajuan ibu kota Kuala Lumpur.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perubahan yang akan berlaku kepada Masjid Jamek akan menjadi ikon serta lambang kepada Kampung Baru moden dan serba berdaya maju serta canggih.

''Ini adalah usaha kerajaan untuk kepentingan Kampung Baru dan pembangunan Masjid Jamek ini secara keseluruhan dan ia juga merupakan hadiah yang cukup istimewa bagi penduduk di sini.

''Saya dimaklumkan kewujudan kampung Baru telah menjangkau usia 111 tahun dan diharap apabila siapnya projek pembinaan naik taraf, ia akan menjadi satu mercu tanda baru bagi Kampung Baru," katanya ketika berucap pada program Ziarah Masjid di masjid tersebut di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Datuk Raja Zainal Abidin; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Fuad Ismail; Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Ahmad Phesal Talib; Pengerusi Masjid Jamek Kampung Baru, Datuk Idris Shaari Mat Aris dan adik Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi masjid tersebut, Datuk Nazim Tun Abdul Razak.

Dalam majlis hari ini Perdana Menteri turut dibawa melihat lakaran artis terhadap usaha menaik taraf masjid tersebut.

Najib dalam perkembangan sama turut menyatakan bahawa masjid tersebut amat istimewa kerana ia mempunyai hubungan secara langsung dengan keluarganya.

Sementara itu, beliau di dalam ucapannya turut menekankan mengenai penting usaha kerajaan mengubah kedudukan Kampung Baru terutama penduduknya supaya mereka tidak jauh ketinggalan berbanding penduduk lain di ibu kota.

Katanya, langkah itu penting kerana sudah tiba masanya Kampung Baru menjadi satu lambang kejayaan penduduk-penduduknya setelah mereka terhimpit dengan pembangunan di kawasan sekitar.

''Apa yang dilakukan oleh kerajaan ini tidak melibatkan pihak ketiga. Kita menjalankan projek pembaharuan ini dengan telus agar penduduk-penduduk di kawasan ini benar-benar menerima manfaat dalam konteks pulangan ekonomi.

''Kita ikhlas membantu mereka dan tidak ada udang di sebalik batu. Kita mahu penduduk Kampung Baru maju seperti orang lain. Ini merupakan komitmen kerajaan dalam usaha memastikan taraf kehidupan penduduk di kawasan ini sentiasa ditingkatkan,'' katanya lagi.

Dalam pada itu beliau berkata, selain Masjid Jamek projek pembaharuan Kampung Baru yang lain akan dimulakan sebaik sahaja selesai pembentangan rang Undang-Undang penubuhan Perbadanan Kampung Baru di Parlimen Mac ini.

''Tahun ini kita akan lihat perubahan yang berlaku. Insya-Allah selepas ini kita akan melihat Kampung Baru berubah wajah ke arah yang lebih maju, berdaya saing dan dinamik,'' ujarnya.

Sementara itu dalam program berasingan Perdana Menteri telah melancarkan pembinaan Mercu Zikay di sini.


Read More

MUZIKAL KAMPUNG BARU

4/01/2011 06:06:00 PTG at 4/01/2011 06:06:00 PTG

MUZIKAL KAMPUNG BARU
TARIKH : 09-10 APRIL 2011
MASA: 3.00 PETANG DAN 8.00 MALAM
TEMPAT: AUDITORIUM DBKL


Read More
4/01/2011 06:03:00 PTG at 4/01/2011 06:03:00 PTG


Read More

KAMPONG BAHARU BERUSIA 111

1/06/2011 01:12:00 PTG at 1/06/2011 01:12:00 PTG

Ramai yang tidak menyedari bahawa Kampung Baru yang juga penempatan utama masyarakat Melayu di tengah-tengah ibu kota akan berusia 111 tahun esok.

Sehubungan itu pelbagai program sambutan yang julung-julung kali diadakan bakal dianjurkan oleh Centrepro Sdn Bhd bersama Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang akan turut diraikan kira-kira 35,000 penduduknya.

Pengarah Urusan Centrepro Sdn Bhd, Ishak Abdul Kadir, berkata acara akan bermula esok dengan majlis tahlil dan kesyukuran di Masjid Jamek dan beberapa surau.

Acara kemuncak sambutan ialah majlis makan malam yang dijangka dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bulan depan atau bulan berikutnya.

"Sambutan buat julung kalinya dalam sejarah penubuhan Pentadbiran Petempatan Pertanian Melayu (MAS) ini bertujuan untuk menghargai dan mengenang kembali perjuangan mereka yang telah tiada mahupun yang masih ada di kampung bersejarah ini.

"Di samping itu, ia bagi mengabadikan kenangan 111 tahun kewujudan pentadbiran MAS Kampung Baru di ibu kota Kuala Lumpur.

"Angka 111 tahun adalah angka unik dan MAS sebagai satu lembaga di bawah kaum Melayu dilihat sebagai pentadbir yang teguh yang mempertahankan sebuah kampung yang berjuang untuk orang Melayu.

"Tanggungjawab sebagai orang Melayu yang mementingkan sentimen Melayu menjadi pendorong untuk mengadakan sambutan memperingati perjuangan bangsa sendiri dalam mempertahankan sebuah kampung yang pernah ditadbir penjajah suatu masa dahulu," katanya.

Beliau yang juga Penyelaras Acara Kampung Baru Warisan Kita berkata, antara program sambutan ialah Hari Kesihatan pada Sabtu ini bermula 8 pagi hingga 6 petang.

Pelbagai program seperti senaman, derma darah, pemeriksaan kesihatan percuma dan peraduan untuk kanak-kanak akan berlangsung di Kelab Sultan Sulaiman.

Selain itu, penduduk dari peringkat kanak-kanak hingga dewasa juga berpeluang menyertai Hari Sukan dan Permainan Tradisional pada Ahad ini dilokasi yang sama.

Forum Perdana bertajuk "Bermula Di sini - Kampung Baru" akan diadakan pada Selasa depan juga di Kelab Sultan Sulaiman, Karnival Kampung Baru (12 Januari), Hari Hijau (15 Januari), Hari Kesenian dan Warisan (16 Januari) serta Karnival Futsal selama dua hari bermula 22 Januari.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, dijadual menghadiri Karnival Kampung Baru pada 12 Januari dan seterusnya melancarkan Pameran MAS Kampung Baru (Tiga Alam) yang merujuk kepada MAS yang mentadbir Kampung Baru di bawah pentadbiran British dan pendudukan Jepun sebelum negara mencapai kemerdekaan.


Read More

MEN MAS DAN LEMBAGA MAS DIBUBARKAN - HAKMILIK MELAYU DI KAMPUNG BARU SEMAKIN TERANCAM

12/17/2010 11:32:00 PG at 12/17/2010 11:32:00 PG

PAS Wilayah Persekutuan kesal dengan hasrat Kerajaan untuk memansuh dan membubarkan Enakmen Malay Agricultural Settlement (MAS) dan Lembaga Pengurusan Petempatan Pertanian Melayu (Lembaga MAS) apabila Akta Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2010 dikuatkuasakan kelak. Rang Undang-undang Akta tersebut telahpun dibentangkan untuk bacaan pertama di Parlimen pada hari Selasa lalu oleh Datuk Raja Nong Chik, Menteri di Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar. Rang Undang-undang tersebut akan dibahaskan pada sesi Parlimen bulan Mac akan datang..

Seksyen 57(1) dan (2) Rang Undang-undang tersebut secara jelas menyatakan berkenaan pembatalan dan pembubaran Enakmen dan Lembaga MAS tersebut dan perkara ini mempunyai implikasi yang sangat besar terhadap survival pemilikan hartanah orang-orang Melayu di Kampung Baru. Ini kerana Kaedah-kaedah yang digariskan di bawah Enekmen MAS tersebut secara jelas memperuntukkan bahawa hartanah di Kampung Baru hanya boleh dimiliki dan dipindahmilik oleh orang-orang Melayu sahaja. .

Apa yang dibimbangi ialah dengan pemansuhan tersebut, tidak ada jaminan lagi hartanah Kampung Baru akan terus kekal seratus-peratus milik orang-orang Melayu di masa akan datang. Tambahan pula, tafsiran “kepentingan orang Melayu” yang dimaksudkan dalam Akta tersebut hanya merujuk kepada budaya, adat resam dan seni bina bangunan masyarakat Melayu sahaja dan tidak secara jelas menyatakan berkenaan pemilikan hartanah mesti kekal di tangan orang Melayu. Ini diperkuatkan lagi dengan Fungsi Perbadanan yang dinyatakan di bawah Seksyen 14 Akta tersebut bahawa Perbadanan boleh berurusan dengan “mana-mana orang” untuk mengurus serta memindahmilik dan melupuskan aset Kampung Baru. Kesudahannya, jika Rang Undang-undang ini diluluskan kelak, maka milikan hartanah orang Melayu di Kampung Baru akan terancam dan tidak ada jaminan ia akan terus kekal.


Pembubaran Lembaga MAS juga merupakan satu tindakan yang langsung tidak menghormati badan tersebut yang telah berkhidmat lebih satu abad lamanya dan terus berkhidmat untuk penduduk Kampung Baru sehingga kini. Tindakan Kerajaan tersebut bukan sahaja membelakangkan penduduk Kampung Baru, malah ia menafikan langsung suara dan penglibatan wakil-wakil penduduk dalam proses pembangunan tanah dan masa depan mereka sendiri. UMNO jelas sekali lagi mengkhianati amanah untuk menjaga survival dan milikan tanah orang-orang Melayu di negara ini. Selepas tanah-tanah rezab orang Melayu semakin hari semakin mengecil jumlahnya, kini kampung-kampung tradisi dan warisan orang Melayu pula cuba diintai oleh tauke-tauke elit yang mendambakan keuntungan maksima di kawasan segitiga emas bandaraya Kuala Lumpur ini.

Cadangan penubuhan Majlis Penasihat di bawah Seksyen 19 Akta tersebut yang diwakili oleh lima belas orang wakil masyarakat Kampung Baru pula sekadar melepaskan batuk di tangga dan jelas menampakkan ketidakjujuran dan ketidaktelusan Kerajaan. Ini kerana Akta tersebut menyatakan dengan jelas bahawa Kerajaan tidak terikat untuk mengikut apa-apa,nasihat daripada wakil-wakil penduduk Kampung Baru tersebut. Oleh itu, peranan Majlis Penasihat tersebut hanya sebagai gimik politik semata-mata dan jelas tidak relevan langsung di kacamata Kerajaan.

PAS Wilayah Persekutuan mengulangi pendirian membantah penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu tersebut dan menyokong penuh saranan Ahli Parlimen Titiwangsa, YB Dr Lo’Lo’ Bt. Dato’ Hj Mohd Ghazali untuk menubuhkan Badan Amanah yang diwakili oleh wakil-wakil penduduk Kampung Baru dan mereka yang berkepentingan langsung dalam pembangunan Kampung Baru tersebut. Proses pembangunan Kampung Baru perlulah dilakukan dengan telus dan mengikut pandangan dan suara hati anak-anak Kampung Baru sendiri.


AHMAD ZAMRI BIN ASA’AD KHUZAIMI
Penasihat Undang-Undang
PAS Wilayah Persekutuan


Read More

Rang undang-undang Perbadanan Kg. Baru

12/15/2010 12:00:00 PTG at 12/15/2010 12:00:00 PTG

KUALA LUMPUR 14 Dis. – Setelah menunggu sekian lama, akhirnya Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru 2010 dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Pembentangan itu dilakukan oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Langkah itu menyaksikan penubuhan perbadanan khusus bagi melaksana dan menyelia pelan pembangunan semula kawasan berusia 110 tahun itu yang kini dihuni 35,000 penduduk.

Projek pembangunan Kampung Baru adalah meliputi kawasan seluas 151.57 hektar, lebih luas daripada projek Kuala Lumpur City Centre (KLCC) iaitu 40 hektar, sekali gus menjadikannya antara projek pembangunan hartanah terbesar sekali di dunia.

Menurut rang undang-undang berkenaan, satu Majlis Penasihat akan ditubuhkan bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat perbadanan itu mengambil kira kepentingan orang Melayu di Kampung Baru.

Majlis Penasihat itu akan diketuai seorang pengerusi dan tidak lebih 15 ahli yang terdiri daripada wakil penduduk, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak yang terlibat dalam aktiviti komersial di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui pula membentangkan untuk bacaan kali pertama Rang Undang-Undang Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari 2010.

Ia bertujuan untuk mewujudkan badan khusus bagi menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui di negara ini termasuk suria, angin dan biojisim.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong pula membentangkan Rang Undang-Undang Timbang Tara (Pindaan) 2010 yang bertujuan memastikan mahkamah tidak campur tangan dalam proses timbang tara kecuali dibenarkan oleh akta berkenaan.


Read More

TAKLIMAT DARI KEMENTERIAN WILAYAH PERSEKUTUAN DAN KESEJAHTERAAN BANDAR

12/09/2010 06:04:00 PTG at 12/09/2010 06:04:00 PTG


taklimat dari Kementerian Wilayah kepada Penduduk Kg Baru Pada 14 / 12 / 2010 di Dewan Kelab Sultan Sulaiman . sesi penerangan ini akan dibuat dua peringkat . harap Maklum


Read More

Penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampong Baharu : TERHAKISNYA ASET ORANG MELAYU

10/18/2010 06:50:00 PTG at 10/18/2010 06:50:00 PTG

Oleh: Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi

Menteri Di Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Senator Dato' Raja Nong Chik dalam sidang Parlimen yang baru lalu telah mengesahkan bahawa Kabinet telah bersetuju untuk melaksanakan Konsep Pembangunan Semula Kampung Baru Secara Komprehensif.

Konsep Pembangunan ini akan dilaksanakan melalui Proses penyerahan hakmilik tanah di bawah Seksyen 197 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 dan proses penyerahan dan pemberimilikan semula hakmilik tanah tersebut di bawah Seksyen 204D KTN.

Kaedah jual-beli tanah dan pengambilan balik tanah di bawah Seksyen 3(1)(b) Akta pengambilan Tanah 1960 akan turut diperguna oleh pihak Kerajaan.

Untuk merialisasikan hasrat tersebut, maka sebuah badan berkanun bernama "Perbadanan Pembangunan Kampung Baru" akan ditubuhkan di bawah Seksyen 49(2) Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan, 1982.

Perbadanan ini akan bertanggungjawab untuk melaksana dan menyelia pembangunan semula Kampong Baru. Hasrat Kementerian ialah supaya Perbadanan ini menjadi satu entiti perniagaan dan pelaburan (Business And Invesment Entity) untuk membangunkan kawasan pembangunan Kampung Baru yang dikenalpasti melalui Pelan Tempatan kampung Baru tanpa terlalu banyak terkongkong dengan peraturan-peraturan yang biasa terpakai kepada agensi-agensikerajaan.

Mana-mana bahagian di dalam Kampung Baru yang dikenalpasti untuk pembangunan, akan diistiharkan sebagai "kawasan pembangunan" (development area) dari masa ke semasa menurut Seksyen 47 Akta tersebut.

Apabila ia telah diistiharkan sebagai Kawasan Pembangunan, maka kerajaan boleh menggunakan kaedah undang-undang di atas untuk mengambil milik hartanah tersebut termasuklah dengan menggunakan kaedah pengambilan wajib (compulsory) di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960.

Apabila kaedah pengambilan tanah seperti ini digunakan, maka keputusan kerajaan tersebut adalah muktamad dan ia tidak boleh dicabar dalam mana-mana mahkamah melaikan setakat jumlah pampasan sahaja.

Rang Undang-Undang (RUU) penubuhan Perbadanan tersebut dikatakan akan dibentangkan di Parlimen dalam sesi kali ini. Namun demikian, sehingga artikel ini di tulis salinan RUU tersebut masih belum diedarkan oleh Parlimen kepada umum.

Walau bagaimapun, melihat kepada draf cadangan penubuhan perbadanan tersebut, terdapat beberapa peruntukan-peruntukan tertentu yang amat memprejudiskan pihak-pihak yang berkepentingan (stakeholders) di Kampung Baru ini.

Bukan setakat Lembaga M.A.S yang sudah mentadbir Kampung Baru selama Lebih seratus tahun dinafikan kewujudan dan peranannya dalam cadangan pembangunan Kampung Baru tersebut, malah transaksi hartanah Kampung Baru juga terbuka luas untuk dieksplotasi dan dipindahmilikan kepada orang-orang bukan Melayu atau sesiapa sahaja yang difikirkan sesuai oleh Perbadanan (yang bertindak sebagai entiti perniagaan dan pelaburan).

Ini dapat dilihat dalam beberapa peruntukan seperti berikut:


1. Senarai Keanggotaan Perbadanan Pemabangunan Kampung Baru.

Keanggotaan Perbadanan Kampung Baru terdiri daripada Datuk Bandar yang bertindak sebagai Pengerusi, tiga wakil dari Kerajaan Persekutuan iaitu KSU Kementerian Wilayah Persekutuan, KSU Kementerian Kewangan dan Ketua Pengarah Perancangan Ekonomi Jabatan Perdana Menteri (atau Wakil-Wakil Mereka), Peguam Negara atau wakilnya, Ketua Pengarah DBKL dan dua orang lain yang dilantik oleh Pengerusi dengan persetujuan Menteri, yang mempunyai kelayakan profesional, akdemik dan pengalaman dalam perkara-perkara berhubung perbankan, hartanah, pelaburan, perancangan kerajaan tempatan, kewangan, pembangunan hartanah, perdagangan, pentadbiran dan perniagaan. Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan akan bertindak sebagai Setiausaha kepada Perbadanan.
Dari susunan anggota-anggota Perbadanan di atas, maka jelas sekali tidak ada tempat untuk wakil pemilik, waris dan penduduk Kampung Baru, ahli Lembaga M.A.S mahupun Wakil Rakyat (Ahli Parlimen Titiwangsa) dalam Perbadanan ini.

Natijahnya, Tidak ada satu suara pun yang dapat mewakili kepentingan pemilik dan penduduk Kampung Baru dalam Perbadanan yang akan ditubuhkan untuk mengurus dan membangunkan hartanah mereka sendiri.


2. Fungsi dan Kuasa Perbadanan kampung Baru.

Ada 14 fungsi-fungsi dan kuasa yang digariskan dalam cadangan penubuhan Perbadanan tersebut. Antara yang begitu merisaukan pemilik tanah Kampung Baru ialah klausa (g) yang menyatakan bidang kuasa yang luas Perbadanan dengan kelulusan Menteri untuk: "Menswastakan atau dengan apa cara lain memindahmilik atau melupuskan mana-mana aktivitinya berhubung dengan fungsi-fungsinya dibawah perenggan ini atau menswastakan atau dengan apa-apa cara lain memindahmilik atau melupuskan mana-mana asetnya" (Baca- Aset orang-orang Melayu).

Peruntukan ini memberi kuasa yang sangat luas kepada perbadanan untuk menswasta, memindahmilik dan melupuskan mana-mana aset berharga Kampung Baru kepada sesiapa sahaja, dalam usaha menjalankan peranannya sebagai satu "entiti perniagaan dan pelaburan".

Umum sedia maklum bahawa hartanah di Kampung Baru adalah merupakan "lubuk Emas" yang masih belum diterokai oleh pelabur-pelabur hartanah dalam dan luar Negara.

Persoalannya ialah apakah masih ada jaminan bahawa aset kekal milik sepenuhnya orang-orang Melayu ini akan terus bertahan, dan dimiliki oleh orang-orang melayu Kampung Baru; ataupun ia terus "mencair" bersama arus pembangunan Kampung Baru kelak.


3. Pemindahan hakmilik tanah untuk tujuan pembangunan.

Tanah-tanah dalam Kawasan Pembangunan yang diambil oleh Datuk Bandar akan dipindah hakmilk atau diletakhak kepada Perbadanan. Segala perbelanjaan dan pampasan yang kena bayar bagi pengambilan tanah tersebut hendaklah dibayar oleh Perbadanan.

SOALAN: Apakah jaminan untuk pemilik-pemilik tanah Kampung Baru bahawa hakmilik tanah yang mereka serahkan kepada Perbadanan akan dekembalikan, ataupun jika dikembalikan sekalipun, apakah jaminan tidak ada syarat-syarat tertentu (syarat-syarat nyata) yang boleh dikenakan kerajaan ke atas mereka?

Bagaimana pula sekiranya Perbadanan tersebut dibubarkan selepas projek pembangunan yang dirancangkan tersebut selesai, sedangkan masalah hakmilik masih belum selesai sepenuhnya?

INGAT: Perbadanan adalah satu "Business Entity," yang tentunya memikirkan untung rugi sahaja sebagai agenda utamanya.


4. Kuasa untuk megambil khidmat ejen, penasihat dan lain-lain

Perbadanan mempunyai kuasa untuk mengambil khidmat dan membayar ejen, perundingan dan penasihat teknikal atau sesiapa sahaja untuk menjalankan apa-apa urusan atau untuk melakukan apa-apa tugasan dalam melaksanakan fungsi-fungsinya.

Peruntukan ini tentunya terbuka kepada amalan kronisme yang meluas dan perlantikan yang bermotifkan kepentingan politik kepartian semata-mata. dibimbangi gejala rasuah, penyelewengan dan salah urus tadbir yang akan membawa kepada peningkatan kos secara mendadak, bakal mewarnai projek pembangunan Kampung Baru sekiranya tidak ada satu mekanisme diwujudkan untuk membendung gejala-gejala tidak sihat ini.


5. Perlingungan anggota dan pegawai Perbadanan

Apa sahaja keputusan yang dibuat oleh anggota Perbadanan atau ejen atau mana-mana orang lain yang dikatakan telah dibuat dengan "suci hati" dan "Bertindak dengan sah" bagi pihak Perbadanan, tidak boleh diambil tindakan undang-undang dan tidak boleh dicabar dimana-mana mahkamah.

Peruntukan ini dengan jelas menyerahkan "absolute power" kepada Perbadanan untuk membuat apa-apa keputusan dalam proses Pembangunan Kampung Baru, tanpa boleh didakwa atau diambil tindakan undang-undang dalam mana- mana mahkamah.

Perbadanan adalah "immune" di sisi undang-undang dan segala keputusan dan tindakan mereka tidak boleh dicabar di Mahkamah sama ada melalui semakan kehakiman mahupun melalui saman sivil secara individu.

Akhirnya, yang rugi ialah waris, penduduk dan pemilik tanah Kampung Baru sendiri semuanya terdiri daripada orang Melayu. Tidak ada jaminan bahawa Aset Melayu yang sangat berharga ini kekal dengan cadangan penubuhannya seperti ini dan diluluskan oleh Parlimen kelak.


____________________

Penulis adalah Penasihat Undang-Undang Sektretaria Pembangunan Kampung Baru.


Read More

FORMULA KHALID TELUS (Sinar Harian 9-8-2010)

8/23/2010 10:04:00 PG at 8/23/2010 10:04:00 PG

PELAN PEMBANGUNAN KAMPUNG BARU PAKATAN RAKYAT

BAWA KONSEP TABUNG AMANAH

KUALA LUMPUR, Konsep Tabung Amanah dijangka memberi pulangan maksimum dengan status pemilikan tanah milik Melayu tidak terjejas sekiranya pembangunan secara total dibuat dalam menyelesaikan kemelut pembangunan Kampung Baru.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, penubuhan Tabung Amanah akan mewujudkan kepada 2 jenis saham melibatkan saham tanah dan saham sewa. Ia alternatif terbaik menjadikan kawasan berkenaan kekal milik Melayu sepenuhnya.

Menurutnya, untuk merealisasikan usaha berkenaan, perlu ada kesepakatan antara semua pemilik dan pewaris tanah.

"Kenapa saya nak masuk campur? Ia kerana saya ada pengalaman dalam skim amanah. Daripada pengalaman-pengalaman ini, saya memperoleh gaji yang mahal dan pastinya tujuan saya untuk memberitahu bagaimana caranya (untuk membangunkan kampung Baru).

"Saya pernah cadangkan konsep ini dahulu tetapi masa itu tidak diterima memandagkan pasaran saham kita cukup baik", katanya semasa memberikan taklimat Pelan alternatif Pembangunan kampung Baru di Kelab Sultan Sulaiman disini, semalam.

Tambah Abdul Khalid, konsep Tabung Amanah yang menjaga kepentingan pemilik dan pewaris tanah diharap membuka minda penduduk kawasan berkenaan dengan berfikiran matang.

"Saham A iaitu tanah tidak boleh ditukar milik kepada bukan bumiputera manakala saham B, sewa melibatkan bangunan yang dinilai mengikut potensi pendapatan dari ruang penyewaan hasil pembangunan dirancang", katanya sambil menambah pemilik dan pewaris setuju akan menandatangani Surat Ikatan Amanah.

Khalid turut memberi jaminan Lembaga Pentadbiran Penempatan Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baru akan dilibatkan dalam Tabung Amanah berkenaan selaku ahli pemegang amanah bersama individu berkelayakkan dan berpengalaman yang terdiri daripada anak jati Kampung Baru.

"Konsep ini akan menyelesaikan masalah yang mana pemilikkan Kampung Baru ini sudah masuk generasi keempat dan salah satu usahanya pemilikan itu kalau dimasukkan dalam saham dan unit ia boleh dibahagikan dengan tidak memberi kesan pada fizikal tanah dikawasan tersebut.

"Saya ia beri peluang kita cari penyelesaian pembangunan Kampung Baru dengan tertib sambil mengambil kira keinginan, kebudayaan dan keaslian Kampung Baru dan konsep bandar berteraskan Islam. Ia dijangka menarik minat pemilik tanah untuk sama membangunkan Kampung Baru," katanya.

Pihaknya turut tidak mempunyai masalah bekerjasama dengan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik raja Zainal Abidin bagi kepentingan orang Melayu di situ.

"Saya boleh bekerjasama dengan Menteri Wilayah. Kalau nak tolong, boleh tolong. Saya tiada kepentingan disini. Saudara-saurada semua bukan undi saya di sini, saya di Parlimen Bandar Tun Razak. Tetapi saya berniat untuk membantu.

Kita tidak mahu tanah kita orang Melayu) dijual kepada orang lain. Saya akan tunjukkan nanti kira-kiranya.

"Saya tahu dan faham ada sesetengah tidak sabar, cakap banyak tapi tak buat. Macam mana mahu buat kalau semua tidak setuju. Semua kena ambil kira," katanya.

Pelan Alternatif tersebut akan diselia Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang akan mencari perunding terpilih bagi menyediakan pelan untuk diimplementasikan.

"Jika PKNS tidak bagus, kita tidak lantik mereka. Kalau orang Kampung Baru jadi pemaju disini, ia boleh dibincangkan supaya pemaju tersebut lebih ikhlas memajukan tanah mereka sendiri,"katanya.

Sementara itu , Ahli parlimen Titiwangsa, Dr, Lo'Lo Ghazali berkata, pihaknya akan menghantar memorundum kepada Kementerian Wilayah Pesekutuan dan Kesejahteraan Bandar bagi memasukkan penubuhan badan amanah bersama Perbadanan Pembangunan Kampung Baru.


Read More

KAMPONG BAHARU : ENAKMEN MAS TIDAK RELEVAN (UTUSAN MALAYSIA KHAMIS 22 /7/2010 MS 31)

7/22/2010 07:40:00 PTG at 7/22/2010 07:40:00 PTG

KUALA LUMPUR 21 JULAI : Isu Pindaan Enakmen Penempatan Pertanian Melayu (MAS) 1950 tidak timbul kerana enakment tersebut sudah tidak lagi relevan dalam urusan pentadbiran tanah di Kampong Baharu di sini.

Menteri Wilayah Persekutuan Dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin menegaskan, ini kerana hampir kesemua tanah disitu sudah dikeluarkan hak milik di bawah Kanun Tanah Negara (KTN) 1965.

Menurutnya, walaupun ditadbir di bawah KTN dan tidak berstatus Tanah Rizab Melayu tetapi sekatan kepentingan tanah di situ yang diberikan hak milik hampir sama dengan Tanah Rizab Melayu iaitu tidak boleh diduduki atau dipindah milik kepada bukan melayu.

Namun begitu, kata Raja Nong Chik, Kerajaan akan tetap memastikan aspek kepentingan hak Melayu sentiasa dipantau oleh Perbadanan Pembangunan Kampung Baru yang dicadangkan penubuhannya itu.

Beliau berkata bagi menjawab soalan Senator Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman pada sidang Dewan Negara semalam.

Abdul Rahim bertanyakan sama ada Kementerian itu bercadang untuk meminda Enakmen MAS bagi membolehkan bukan melayu menghuni dan memiliki hartanah di Kampung Baru.

Dalam pada itu, Raja Nong Chik berkata, cadangan membangunkan hartanah berdasarkan nisbah 60:40 bagi bumiputera dan bukan bumiputera hanyalah cadangan awal untuk sewaan, pajakan dan pemilikkan unit di pembangunan bertingkat sahaja.

Jelasnya, Jemaah Menteri telah bersetuju supaya Pembangunan Kampung Baru dilaksanakan secara komprehensif berasaskan zon guna tanah "Perdagangan Pusat Banda Raya" (City Centre Commercial - CCC)".

Katanya, Kerajaan sudah lama berhasrat utnuk membangunkan Kampung Baru tetapi tertangguh atas beberapa faktor termasuk harga terlalu tinggi yang dimahukan oleh pemilik disitu.

"Jawapan Kepada persoalan mengapa cadangan Pembangunan Kampung Baru mengambil masa yang lama terletak di tangan pemilik dan pewaris tanah sendiri," katanya.


Read More

APAKAH NASIB KAMPONG BAHARU......

7/22/2010 07:27:00 PTG at 7/22/2010 07:27:00 PTG

Setelah Sekian lama Menyepi....... Kampong Baharu sekarang semakin bergolak denga isu-isu pembangunan yang masih tidak mendapat kepastian dan tiada hitam putih. Pada Hari Ahad Lalu Rancangan Eklusif 1 di RTM 1 telah Memaparkan isu pembangunan di Kampong Baharu dan pendapat penduduk di Kampong Baharu..... Rata-rata penduduk memberikan pendapat bekaitan isu pembangunan di Kampong Baharu..


Read More