PROJEK PUNCAK BARU CETUS PELBAGAI REAKSI

4/16/2009 08:11:00 PTG at 4/16/2009 08:11:00 PTG

KAMPUNG BARU - Projek Puncak Baru melibatkan pembangunan kondominium setinggi 60 tingkat, 40 tingkat unit pejabat dan tiga tingkat ruang membeli-belah yang bakal dilaksanakan di Tapak Pasar Minggu di sini mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan penduduk setempat.

Salah seorang penduduk yang di temui, Mohd Zakaria Maidu, 55, berkata, kebanyakkan masyarakat tempatan tidak bersetuju dengan perlaksanakan projek itu kerana pertamanya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak pernah membincangkan mengenai harga unit yang bakal dibina itu.

Menurutnya, secara logiknya pembinaan kondominium setinggi 60 tingkat pasti melibatkan kos yang tinggi malah sudah pastinya tidak mampu dimiliki orang melayu khususnya anak jati Kampung Baru.

"Saya yang sudah bersara ini tidak akan mendapat pinjaman bank untuk membeli kondominium itu nanti dan anak-anak saya pula baru bekerja jadi kami sebagai penduduk tempatan hanya akan dpat melihat sahaja pembangunan itu tanpa sebarang manfaat daripadanya," katanya.

Beliau berkata, begitu juga dengan golongan penjaja dan peniaga kecil di situ kerana apabila dijual dengan harga yang mahal kelak, kondominium yang dibina itu pasti hanya mampu dibeli golongan korporat yang mempunyai gaya hidup yang mewah.

Katanya, golongan golongan itu tidak akan berbelanja atau makan di gerai di Kampung Baru, jadi beliau berpendapat tempias pembangunan itu tidak akan terkena kepada mereka dan tiada manfaatnya kepada penduduk Kampung Baru.

Mohd Zakaria berkata, DBKL juga tidak pernah mendapatkan sebarang pandangan dari penduduk setempat bagi pelaksanaan projek berkenaan.

Pendapat yang sama turut diluahkan Azman Mohd Salam, 46, yang berpendapat pembinaan kondominium itu nanti hanya akan menyebabkan kebanjiran orang luar ke dalam Kampung Baru khususnya bangsa asing.

"Bukanlah orang Melayu semuanya tidak mampu untuk membeli kondominium mewah tetapi jumlahnya yang mampu tidaklah ramai dan projek mewah itu sememangnya diluar kemampuan kita," katanya.

Sementara itu, Mazlan Manek, 37, berkata, perancangan pembangunan yang ingin dilaksanakan DBKL mempunyai kebaikan dan keburukkanya tersendiri. Menurutnya, ianya mungkin akan memberikan limpahan rezeki kepada golongan penjaja dan peniaga di Kampung Baru namun dari segi keburukkanya pula, pembinaan kondominium akan menyebabkan pertambahan serta kepadatan penduduk sehingga menambahkan lagi kesesakan di Kampung Baru.

"Sekarang ini pun kita sudah rimas dengan kenderaan yang pakir di kiri dan kanan jalan apatah lagi selepas projek itu nanti di mana masalah ini akan bertambah serius," katanya.

sinar harian 15-04-2009

1 comments:

Tanpa Nama berkata...

sekarang ni banyak yang protes dengan tindakan yang diambil oleh dbkl. satu kuala lumpur yang tidak setuju dengan dbkl sering kali kita baca dia akhbar berkaitan dbkl dengan penduduk dan peniaga. banyak yang kuranng senang denga tindakan dbkl dalam melaksanakan pembangunan di kuala lumpur

sebagai contoh di kampung baru sendiri dimana dbkl terus membelakangkan peranan mas sebagai pentadbir. kampung baru yang ada pentadbir undang-undang pun dbkl langgar inikan pula tempat lain yag tiada pentadbirnya.