MUAFAKAT BANTAH DBKL BANGUNKAN ENAM KAMPUNG TRADISI

4/20/2009 02:30:00 PTG at 4/20/2009 02:30:00 PTG

TANAH RIZAB MELAYU 'MUSNAH'
Oleh JUNHAIRI ALYASA
junhairi.alyasa@kosmo.com.my


DARI kiri, Zainal Abidin, Abdul Aziz, Aziz Bari dan

Siti Zainon menyertai Kongres Memperkasa Perkampungan
Tradisi Melayu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
di Gombak semalam.

KUALA LUMPUR - Majlis Permuafakatan Perkampungan Tradisi Melayu Wilayah Persekutuan (Muafakat) membantah hasrat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membangunkan enam buah kampung tradisi di sekitar ibu negara kerana ia merupakan tanah rizab Melayu.

Menurut Setiausaha Muafakat, Shaharudin Mahmud, pihaknya bimbang jika hasrat itu seperti mana yang dirancang mengikut Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur (KLCP) 2020 yang dilancarkan sejak pertengahan tahun lalu itu diteruskan, ia akan membawa kemusnahan kepada kampung tradisi dan hak milik orang Melayu pula semakin kecil.
Malah tegas beliau, pengambilan tanah di semua kampung yang berstatus tanah pertanian kekal itu adalah bertentangan dengan Artikel 153 Perlembagaan berhubung tanah rizab Melayu.
"Kita bimbang apabila tanah itu diambil dan ia tidak diganti semula selaras dengan tuntutan perlembagaan yang mewajibkan kerajaan menggantikan tanah rizab yang telah diambil.
"Malah DBKL juga gagal untuk mematuhi Seksyen 12 A, Akta 201 yang memerlukan pihak berkuasa tempatan (PBT) mendapatkan pandangan daripada penduduk setempat mengenai rancangan pembangunan yang ingin dilakukan di sesuatu kawasan,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika membacakan resolusi Kongres Memperkasa Perkampungan Tradisi Melayu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di hadapan 200 orang penduduk di Anjung Rahmat, Batu 6, Jalan Gombak di sini semalam.
Semua kampung yang terlibat ialah Kampung Puah, Kampung Sungai Merali, Kampung Bandar Dalam, Kampung Sungai Mulia, Kampung Padang Balang dan Kampung Chubadak.

"Muafakat ingin perkampungan tradisi di Kuala Lumpur diistiharkan sebagai perkampungan warisan dan DBKL juga perlu membentuk sebuah jawantankuasa yang dipertanggungjawabkan untuk merancang pembangunan kampung tradisi," jelasnya.

Antara panel yang hadir bagi membincangkan perkara tersebut ialah Pengerusi Badan Gabungan Perastuan-Persatuan Penduduk Kuala Lumpur, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman; Pengerusi Badan Bertindak Kampung Padang Balang, Zainal Abidin Maas; Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari; Bekas Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr. Siti Zainon Ismail dan Wakil Pertubuhan Anak-Anak Melayu Selangor dan Kuala Lumpur, Jajuli Abdul Rahman.

Pelan tersebut telah dikemukan oleh DBKL sejak Jun tahun lepas yang bertujuan untuk menjadikan Ibu Kota dirancang dan dicorak supaya persekitaran kerja, kehidupan dan perniagaaan bertaraf dunia dapat diwujudkan menjelang 2020.

Keluasan Ibu Kota yang terlibat dalam pembangunan dibawah draf pelan tersebut adalah seluas 243 kilometer persegi dan ia terbahagi kepada enam zon iaitu pusat bandar raya, Bandar Tun Razak - Sungai Besi, Wangsa Maju - Maluri, Sentul - Manjalara, Damansara - Penchala, dan Bukit Jalil - Seputeh.

Mengikut daraf tersebut, pembangunan Kampung Baru turut diberi keutamaan untuk dijadikan sebagai simbol kekuatan ekonomi orang Melayu.

3 comments:

Tanpa Nama berkata...

Seperti pernah mengalami pengalaman serik dengan janji pemaju di kawasan mereka. Ada yang sudah pernah terkenakah? Ada terdengar kes di Kg Puah suatu ketika dahulu.

noris helmi nordin berkata...

Kerajaan kena memutuskan kedudukan Kg Baru sebagai tanah berenakmen dan berpentadbir. Dan diikuti dengan kampung-kampung lain sekitar bandaraya mahu pun diseluruh Malaysia. Syabas kepada Muafakat atas usaha yang berani dan sekata sesama jemaah ! Bersatu demi perkara yang benar, dan cadangan yang tepat!

Tanpa Nama berkata...

sekarang rakyat harus bersatu memperjuangkan hak mereka sendiri. jangan termakan dengan kata-kata yang manis tapi tiada hitam putih atau perjanjian yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.