DBKL PERLU TURUN PADANG - PENIAGA

4/22/2009 11:56:00 PG at 4/22/2009 11:56:00 PG

KUALA LUMPUR 21 April - Para peniaga di Medan Selera Damai berhampiran Jalan Pekeliling di sini merayu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turun padang menemui mereka bagi mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi.

Bagi mereka, jika DBKL tidak serius menangani masalah tersebut, kemungkinan untuk melihat satu demi satu peniaga bumiputera gulung tikar adalah sesuatu yang hampir pasti.

Apa yang mereka mahukan tidak lebih daripada mendapatkan hak sebagai peniaga yang sebelum ini ditaburkan dengan pelbagai janji manis untuk berpindah ke situ.

Seorang peniaga, Miskiah Syawal, 49, berkata, turun padang menemui para peniaga adalah cara terbaik untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Katanya, dengan mengadakan perbincangan secara terus, semua masalah atau aduan dapat disalurkan dengan lebih berkesan.

"Kami tidak pernah bermaksud mahu menutup perniagaan di sini. Sebaliknya sentiasa memandang positif bahawa setiap masalah boleh diselesaikan,'' katanya.

Pendapat Miskiah turut dipersetujui, Rahimah Abdul Manaf, 45, salah seorang peniaga terawal di medan selera itu.

Dia yang menjual minuman berkata, sejak berpindah dari Kampung Baru ke medan selera itu hampir dua tahun lalu, bukan keuntungan yang diperoleh, sebaliknya terpaksa menanggung kerugian.

Sambil mempersoalkan ketelusan DBKL yang masih menyewakan gerai kepada peniaga baru, dia berpendapat, pihak berkuasa tempatan itu sepatutnya menyelesaikan terlebih dahulu masalah di situ.

Bagi Rahinor Riduan, 21, pula, walaupun masih baru menjalankan perniagaan dengan membuka kedai masakan panas di situ, dia turut mengakui merasai bahang yang dialami para peniaga lain.

Katanya, sepanjang dua minggu membuka perniagaan di situ, tidak ramai pelanggan berkunjung ke situ.

Justeru, dia mencadangkan agar DBKL melakukan sesuatu termasuk mengadakan lebih banyak promosi bagi menarik lebih ramai pengunjung.

Turut melahirkan kekecewaan ialah Anuar Ishak, 46, yang meminta DBKL membantu memulihkan keadaan suram di situ dengan tindakan yang berkesan.

Dia yang merupakan salah seorang peniaga terawal di medan selera berkata, pertemuan bersama DBKL bukan bertujuan mahu menuding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya mahu memastikan segala yang terbuku di hati mereka terungkai.

0 comments: