Projek hartanah terbesar di dunia (Laporan Akhbar Berita Harian 7.5.2010)

5/07/2010 10:14:00 PTG at 5/07/2010 10:14:00 PTG

Oleh Hanisah Selamat
nisa@bharian.com.my
2010/05/07

Kabinet luluskan penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru

KUALA LUMPUR: Kabinet meluluskan cadangan untuk menubuhkan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru yang akan bertanggungjawab untuk melaksana dan menyelia pelan pembangunan semula kawasan itu yang bakal menjadi antara projek pembangunan hartanah yang terbesar sekali di dunia.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, berkata penubuhan perbadanan itu adalah antara tiga perkara yang dipersetujui oleh Kabinet, kelmarin mengenai konsep dan kaedah pelaksanaan pembangunan Kampung Baru yang dikemukakan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB) dalam memorandumnya kepada Kabinet.

Katanya, KWPKB akan mengemukakan satu rang undang-undang di Parlimen bagi membolehkan penubuhan perbadanan berkenaan yang akan diletakkan di bawah kementerian berkenaan.

“Perbadanan itu antara lain akan memastikan ciri-ciri kebudayaan Melayu perlu ada dalam setiap reka bentuk... beberapa ciri Melayu mesti dikekalkan tetapi dalam suasana moden, ia tidak boleh seperti sekarang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perayaan Hari Pekerja anjuran Persatuan Penduduk Bangsar Baru di Dewan Besar Kompleks Sukan Bangsar di sini, semalam.

Projek pembangunan Kampung Baru meliputi kawasan seluas 151.57 hektar iaitu lebih luas daripada projek Kuala Lumpur City Centre (KLCC) iaitu 40 hektar yang juga antara projek pembangunan hartanah yang terbesar sekali di dunia.

Selain itu, Raja Nong Chik berkata, Kabinet turut bersetuju bahawa pembangunan Kampung Baru akan menggunakan konsep pembangunan semula secara komprehensif atau menyeluruh yang akan menggunakan zon guna tanah Perdagangan Pusat Bandar dengan nisbah plot 1:10.
Katanya, kabinet juga bersetuju cadangan untuk melantik Perbadanan Nasional Berhad (PNB) atau Yayasan Amanah Harta Bumiputera (YAHB) atau badan-badan lain yang berkaitan sebagai ejen pembangunan dan penjaga amanah orang Melayu dalam melaksanakan pembangunan semula Kampung Baru.

Raja Nong Chik berkata, beliau dijangka bersemuka dengan semua pihak yang mempunyai kepentingan di Kampung Baru termasuk penduduk, pemilik tanah dan penjaja pada penghujung bulan ini.

Katanya, dalam perjumpaan itu, beliau akan membentangkan syor serta perancangan kementerian mengenai pelan pembangunan semula itu di samping mendapatkan persetujuan mereka mengenai pelantikan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tertentu yang akan bertanggungjawab membangunkan kawasan itu.

Beliau juga ingin mendengar sendiri segala cadangan atau apa saja pandangan daripada pemilik tanah Kampung Baru bagi memastikan usaha itu memberikan manfaat kepada semua pihak.

"Saya harap dalam tahun ini semua proses dapat diselesaikan, untuk membolehkan pemilik tanah jelas mengenai konsep itu, perbadanan diwujudkan, GLC dilantik...pada penghujung tahun itulah sasaran saya sebelum kita meneruskan dengan proses perundangan," katanya.

Katanya, segala maklum balas akan diambil kira untuk dimasukkan dalam perancangan kementerian itu sebelum dibentangkan sekali lagi kepada Kabinet

0 comments: