Kabinet lulus tubuh perbadanan (Laporan Akhbar Utusan Malaysia 7.5.2010)

5/07/2010 10:05:00 PTG at 5/07/2010 10:05:00 PTG

RAJA Nong Chik Raja Zainal Abidin (kanan) dan Nurul Izzah Anwar mengambilkan lauk untuk sebahagian pekerja yang dirai pada sambutan Hari Pekerja 2010 anjuran Persatuan Penduduk Bangsar Baru, di Kompleks Sukan Bangsar, semalam. - UTUSAN/MOHD. HATIM MAZLAN


KUALA LUMPUR 6 Mei - Kabinet telah meluluskan cadangan untuk menubuhkan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru yang akan bertanggungjawab untuk melaksana dan menyelia pelan pembangunan semula kawasan itu yang bakal menjadi antara projek pembangunan hartanah yang terbesar di dunia.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin ketika mengumumkannya berkata, ia adalah satu daripada tiga perkara utama mengenai konsep dan kaedah pelaksanaan pembangunan semula Kampung Baru yang dikemukakan kementeriannya kepada jemaah Menteri.

Nong Chik menjelaskan, kementeriannya akan mengemukakan satu rang undang-undang di Parlimen bagi membolehkan penubuhan perbadanan berkenaan yang akan diletakkan di bawah kementerian berkenaan.

Dua cadangan lain, ialah syarikat milik kerajaan (GLC) untuk mengurus pembangunan semula dan mendapat persetujuan majoriti penduduk kawasan itu sendiri.

Tegasnya, kesemua cadangan itu dijangka diselesaikan menjelang akhir tahun ini, dan bakal menemui kejayaan jika semua mekanisme yang dirancang berjalan dengan lancar.

"Kita perlu menyelesaikan beberapa langkah selain memastikan GLC mana yang akan dipertanggungjawabkan untuk pembinaan semula Kampung Baru.

"Kita jangka dapat berjumpa dengan penduduk menjelang akhir bulan ini untuk menjelaskan perancangan kerajaan selain membincangkan beberapa perkara berkaitan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sambutan Hari Pekerja 2010 anjuran Persatuan Penduduk Bangsar Baru, di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan Presiden Persatuan Penduduk Bangsar Baru, Datuk George Joseph.

Semalam, jemaah Menteri bersetuju dengan cadangan awal Rancangan Pembangunan Kampung Baru, yang hanya menunggu masa untuk dibentangkan kepada pemilik tanah dan penduduk di situ.

Tambah Nong Chik, penubuhan Perbadanan Kampung Baru dilihat dapat menjamin pembangunan kawasan itu dapat dilaksana selain menyelia segalanya dengan cara terbaik.

Oleh itu katanya, 5,000 pemilik tanah yang terlibat juga dijanjikan pelan pembangunan semula yang menyeluruh.

Jelasnya, konsep itu akan diperjelaskan semula kepada penduduk sebelum hasilnya dibentangkan semula kepada jemaah Menteri.

"Kita mahu semua pihak mendapat keuntungan daripada pelan pembangunan semula ini. Tiada siapa harus rugi dan semua harus yakin kepada usaha ini.

"Kita akan mendapatkan persetujuan majoriti penduduk asal Kampung Baru. Pertemuan akan dibuat dengan semua lapisan masyarakat di sana tidak kira mereka pemilik, penjaja dan semua yang berkaitan," ujarnya.

Ditanya tentang mekanisme pembangunan semula Kampung Baru yang disifatkan tidak sama dengan Kampung Kerinchi terutama dari segi pengundian pemilihan pemaju, Nong Chik menjelaskan: "Memang berbeza kerana keluasan tapak Kampung Baru itu sendiri yang jauh lebih besar daripada Kampung Kerinchi.

"Jadi konsep di Kampung Kerinchi tidak dapat diimplementasi di Kampung Baru termasuk pengundian pemaju untuk membangunkan semula kawasan itu," jelasnya.

Namun begitu, tegasnya, pembangunan Kampung Baru kelak dijamin tidak akan meminggirkan konsep Melayu selari dengan tapak asal sebagai sebuah penempatan Melayu di ibu kota.

"Kita akan buat semula pembangunan namun tidak lari daripada konsep Melayu moden kerana sedar ia merupakan kampung asal Melayu.

"Kita akan mengawal selia pembangunannya kelak dan memastikan ciri-ciri Melayu di sana kelak tidak akan hilang begitu sahaja," katanya

0 comments: