Paling lewat hujung tahun (Laporan Akhbar Harian Metro 7.5.10)

5/07/2010 09:52:00 PTG at 5/07/2010 09:52:00 PTG

Oleh Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my
2010/05/07


KUALA LUMPUR: Pembangunan Kampung Baru akan dilaksanakan selewat-lewatnya hujung tahun ini selepas tiga langkah utama yang dipersetujui Kabinet kelmarin dicapai, antaranya konsep pembangunan secara komprehensif, penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru dan pemilihan pemaju membabitkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).


Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, berkata sebelum memulakan pembangunan di Kampung Baru, tiga perkara utama ini perlu dicapai selain mendapatkan persetujuan daripada pemilik tanah di kawasan berkenaan.

“Kampung Baru yang mempunyai keluasan 120 hektar itu membabitkan 5,000 penduduk yang kebanyakannya adalah pemilik tanah di situ dan memerlukan persetujuan daripada mereka.


“Tempoh sehingga hujung tahun ini bertujuan memberi peluang kepada penduduk membuat keputusan dan kita tidak mahu dianggap tergesa-gesa untuk melaksanakan projek terbabit,” katanya dalam sidang media ketika menghadiri Perayaan Hari Pekerja 2010, anjuran Persatuan Penduduk Bangsar Baru, semalam.


Menurutnya, beliau akan berbincang dengan GLC yang bakal dilantik sebelum menghadiri perjumpaan bersama penduduk dan pemilik tanah Kampung Baru mengenai pelan pembangunan semula berkenaan hujung bulan ini.


Katanya, melalui perbincangan antara penduduk, beliau boleh mendapat cadangan dan pandangan daripada pemilik tanah bagi memastikan pembangunan semula ini memberi manfaat kepada semua pihak.


“Jika terdapat perubahan material yang dicadangkan penduduk, kita akan membentangkan semula di Kabinet,” katanya.


Mengulas mengenai pemilihan GLC, beliau berkata, pemaju berkenaan akan dikenal pasti dan diputuskan Jemaah Menteri.


Menurutnya, pembangunan semula ini menggunakan konsep menyeluruh kerana ia membabitkan pemilikan tanah.


Selain itu, Perbadanan Nasional Berhad (PNB) atau Yayasan Amanah Harta Bumiputera (YAHB) akan dilantik menjadi ejen pembangunan serta bertindak sebagai penjaga amanah Bumiputera dalam pembangunan semula terbabit.


Beliau berkata, terdapat ciri penting yang akan diberi keutamaan antaranya pemilikan Bumiputera malah ciri kebudayaan Melayu turut diterapkan dalam pembangunan semula itu.

0 comments: