'Jangan joli'

2/17/2010 07:47:00 PTG at 2/17/2010 07:47:00 PTG

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memastikan penduduk Kampung Baru yang bakal menerima sekurang-kurangnya RM4 juta setiap seorang jika bersetuju membangunkan semula tanah mereka tidak menghabiskan wang berkenaan dengan cepat termasuk berkahwin lagi atau membeli kereta baru.

Sebaliknya, syarat akan dikenakan bagi membolehkan wang berkenaan digunakan untuk membeli semula hartanah pembangunan yang akan dilakukan itu.


Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin, berkata berdasarkan kira-kira dianggarkan nilai tanah di Kampung Baru boleh melebihi RM20 bilion jika penduduk menerima konsep pembangunan yang dapat merealisasikan potensi Kampung Baru sepenuhnya.


Katanya, nilai tanah di Kampung Baru kini hanya sekitar RM350 sekaki persegi (0.09 meter persegi) saja sedangkan kawasan seperti KLCC sudah melebihi RM2,000 untuk sekaki persegi. Jika dibangunkan, nilai berkenaan akan meningkat berkali ganda.


Beliau berkata, dengan jumlah itu, pemilik harta di Kampung Baru adalah berjumlah 4,500 orang dan secara purata dianggarkan setiap seorang bakal mendapat RM4 juta seorang.


“Kalau seorang itu dapat RM4 juta, tidak semestinya mereka dapat RM4 juta tunai. Kita akan letakkan syarat, bagi mereka (penduduk) yang menyertai proses pembangunan itu, kita bagi pilihan sama ada hendak memiliki hartanah dibangunkan atau tunai atau kombinasi kedua-duanya.

“Kita tidak mahu jika dapat kekayaan cepat, cepat juga habis dengan kahwin lagi atau beli kereta baru,” katanya ketika menjadi tetamu rancangan Soal Jawab terbitan TV3 malam tadi. Rancangan berkenaan dihoskan Pengarah Eksekutif Editorial Media Prima Berhad, Datuk Ahmad A Talib.


Raja Nong Chik berkata, pemilikan hartanah dalam pembangunan Kampung Baru yang bakal dibuat akan melonjakkan lagi nilainya pada masa panjang bagi pemilik harta.


Menurutnya, buat masa ini, beliau sudah mengarahkan Pejabat Tanah mengenal pasti nama pemilik tanah sedia ada bagi memudahkan mereka dihubungi.


“Dengan cara ini, kerajaan melalui satu agensi amanah yang akan ditubuhkan khas akan memberi penerangan mengenai cadangan yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika melawat Kampung Baru, baru-baru ini.


“Pembabitan agensi kerajaan akan lebih memberi keyakinan berbanding jika dimajukan pihak swasta. Sebelum ini, pernah ada cadangan untuk membangunkan Kampung Baru pada sekitar 1990-an, tetapi usaha berkenaan gagal.


“Jadi soal kepercayaan penduduk kepada agensi kerajaan berkenaan adalah amat penting bagi mengelak mereka berasa tertipu,” katanya.


Beliau berkata, ketika pembangunan dijalankan, penduduk Kampung Baru tidak akan dipindahkan sebaliknya pembangunan akan dijalankan secara berperingkat-peringkat.


Katanya, walaupun ia dianggap satu cabaran, tetapi satu kajian akan dijalankan.


Mengenai kemungkinan nama Kampung Baru akan diubah selaras dengan pemodenannya, Raja Nong berkata, secara peribadi, beliau bersetuju jika nama lama (Kampung Baru) dikekalkan sebagai menunjukkan penempatan orang Melayu sama seperti Brickfields untuk penempatan orang India dan Jalan Petaling yang juga dikenali sebagai Chinatown.

0 comments: