Penduduk cadang tubuh persatuan

2/17/2010 05:58:00 PTG at 2/17/2010 05:58:00 PTG

KUALA LUMPUR: Penduduk Kampung Baru di sini bercadang menubuhkan Persatuan Pemilik Tanah Kampung Baru bagi memudahkan rundingan mengenai pembangunan kampung itu yang dicadangkan kerajaan dan mengelakkan beberapa kesilapan lalu termasuk harga tanah tidak sekata berulang semula.

Malah, ketika kerajaan dan orang ramai sibuk memperkatakan mengenai konsep pembangunan semula Kampung Baru yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam lawatannya ke kampung itu pada 6 Februari lalu, penduduk terutama pemilik tanah sendiri masih kurang jelas dengan rancangan itu. Anak jati Kampung Baru yang juga pemilik tanah lot 376 dengan keluasan 23,000 kaki persegi, Shamsudin Sadikin, 73, berkata apa yang diperkatakan kerajaan terutama Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin sama ada menerusi media elektronik atau media cetak, masih menjadi tanda tanya bagi penduduk dan mereka memerlukan penerangan lebih jelas. “Pemilik tanah tertanya-tanya dan memerlukan penerangan lanjut daripada kerajaan kerana apa yang diumumkan menteri itu adalah umum dan tidak jelas.

Orang boleh mengatakan kami bakal menjadi jutawan, tetapi kami sendiri tidak meletakkan harapan tinggi kerana perkara ini belum konkrit. “Saya generasi ketiga dan ada 11 beradik.

Jadi, perlu diperjelaskan sama ada setiap orang mendapat RM4 juta atau sebaliknya kerana jika setiap orang mendapat RM4 juta, bermakna RM44 juta terpaksa dikeluarkan untuk tanah seluas 23,000 kaki persegi itu. “Jika tanah itu dinilaikan RM1,000 bagi setiap kaki persegi, baru RM23 juta.


Kalau RM2,000 bagi sekaki persegi, tidak banyak tanah di Kuala Lumpur bernilai sebegitu tinggi dan siapa mahu membelinya kerana kita tidak menyamakan Kampung Baru dengan KLCC,” katanya ketika ditemui di sebuah warung digelar sebagai ‘mini Parlimen’ Kampung Baru, semalam. Shamsudin atau lebih dikenali sebagai Pak Din, berkata Persatuan Pemilik Tanah Kampung Baru perlu diwujudkan bagi membolehkan penduduk mengetahui perkembangan semasa dan rundingan tidak dilakukan secara individu. Pak Din berkata, usaha membangunkan Kampung Baru bukan mudah kerana wujud lot yang memiliki 100 nama manakala sebahagian besar generasi lama lebih bersedia mengekalkan status sebagai tuan tanah sama ada secara pajak atau sewa dan mahu terus memiliki tanah itu sehingga mati. Menurutnya, perlu diingatkan bahawa Kampung Baru yang diuruskan lembaga pentadbir khusus iaitu Penempatan Tanah Pertanian Melayu atau Malay Agriculture Settlement (Mas), bukan tanah rizab Melayu dan geran pula berwarna merah. Seorang lagi penduduk, Ramli Masdar, 55, berkata, kenyataan Nong Chik supaya penduduk tidak berjoli, berkahwin lain dan membeli kereta besar boleh dianggap sebagai jenaka kerana tiada apa yang jelas bagi mereka setakat ini. Menurutnya, jika mahu memulakan pembangunan Kampung Baru, ia wajar dimulakan dengan pembangunan di Pasar Minggu di Jalan Raja Muda Musa sebagai mercu tanda. “Jika ia menjadi realiti, sudah pasti akan mendatangkan keyakinan kepada penduduk kerana Pasar Minggu itu wujud sejak 1967 lagi,” katanya.

0 comments: