KAMPUNG BARU : TRANSFORMASI JIWA DAN WAJAH...

2/05/2009 07:27:00 PTG at 2/05/2009 07:27:00 PTG

Oleh Rohana Mustaffa
Bahagian Akhir daripada 6 siri Rencana Kampung Baru

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Kampung Baru akan mengalami transformasi jiwa dan wajahnya menjelang tahun 2020, sekiranya sebuah draf pelan ibu kota diterima sepenuhnya terutama oleh warga kampung ini.Ketika itu Kuala Lumpur akan muncul menjadi bandar raya bertaraf dunia manakala Kampung Baru pula diangkat martabatnya menerusi pembangunan yang berstrukturkan zon dengan kewujudan 16 presint di atas tanahnya seluas 378.93 ekar (151.57 hektar) Keluasan ini mengikut ukuran Kampung Baru di bawah kawasan Malay Agriculture Settlement (Petempatan Pertanian Melayu) (MAS) yang merangkumi Kampung Periuk, Kampung Masjid, Kampung Atas A, Kampung Atas B, Kampoung Hujung Pasir, Kampung Paya dan Kampung Pindah seluas 225.89 ekar (90.35 hektar).Seluas 153.04 ekar (61.21 hektar) lagi ialah kawasan di luar MAS terdiri daripada kawasan Chow Kit, Dang Wangi dan Jalan Sultan Ismail (dulunya terdapat beberapa buah kampung setinggan), Kampung Sungai Baru dan Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).


Kampung Baru di dalam peta Kuala Lumpur terletak di bahagian utara pusat bandar, disempadani Jalan Raja Muda Abdul Aziz di utara, Jalan Tun Razak di timur, Jalan Dang Wangi, Lebuh raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh) dan Sungai Kelang di selatan dan Jalan Tuanku Abdul Rahman di sebelah barat. Sekiranya Draf Kuala Lumpur Pelan Dewan Bandaraya 2020 diterima secara keseluruhannya, Kampung Baru akan berubah wajah kepada, sebagai contoh Presint A di mana Pasar Minggu Kampung Baru bersama stesten LRT Kampung Baru akan dimajukan sebagai pusat pengumpulan, pemasaran serta pameran kebudayaan dan seni dengan kewujudan kemudahan laluan kaki bernama Kampung Baru Walk.


KEWUJUDAN ZON PEMBANGUNAN


Jalan Raja Abdullah yang akan bernama Presint B, akan dizonkan sebagai Laluan Korporat atau Corporate Street, Jalan Raja Alang yang mempopularkan Bazar Ramadan akan dikekalkan tetapi dengan nama barunya Laluan Bazar atau Bazaar Street di Presint P. Draf itu juga mencadangkan supaya Jalan Raja Bot sebagai Presint H akan menjadi Pasar Seni bersempadan dengan Presint G atau Hab Perubatan yang merangkumi Hospital Kuala Lumpur, Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu UKM dan Pusat Penyelidikan Perubatan (IMR) yang sedia ada.


Deretan kedai lama di Jalan Dang Wangi (dahulunya Jalan Campbell) akan menjadi Presint Warisan K, sementara Jalan Raja Uda yang mempunyai bilangan besar rumah kampung, akan menjadi kawasan kediaman dan komersil yang dinamakan Presint F, manakala Presint J pula adalah pusat perbankan Islam di persimpangan Jalan Sultan Ismail dan Jalan Raja Abdullah yang sudah wujud beberapa buah bank di situ. Jalan Raja Muda Abdul Aziz yang kini merupakan pusat perniagaan usahawan Melayu dalam industri kereta motor akan bergelar Autocity Mall yang terdiri daripada pelbagai pusat jualan dan pameran automobil serta pusat aksesori kenderaan. DBKL menerusi draf itu mencadangkan supaya semua kawasan dalam kawasan operasinya dilibatkan dalam rancangan pembangunan untuk menyediakan peluang dan kemudahan sama rata kepada penduduknya yang dijangka mencapai 2.2 juta.

Setiap kawasan mempunyai kategorinya dan DBKL menetapkan bahawa perlu wujud kawasan-kawasan khusus yang memerlukan perhatian dari segi pelaksanaan perancangan pembangunannya disebabkan sudah ketinggalan dan dikaitkan dengan masalah pembangunan yang kompleks, kemiskinan, persekitaran hidup yang kurang sihat dan infrastruktur yang tidak mencukupi.Menurut draf Kuala Lumpur 2020 itu, Kampung Baru akan berperanan sebagai penghubung kebudayaan dan komersil penting di antara bahagian utara, barat dan timur pusat bandar raya.

KORIDOR HIJAU AKAN MUNCUL DI KAMPUNG BARU
Kampung Baru juga akan terlibat dalam pembangunan koridor hijau yang menghubungkan Presint Kebudayaan di sepanjang Jalan Tun Razak dan Taman Tasik Titiwangsa dengan menggunakan Sungai Bunus sebagai kawasan lapang berjajar. Mengikut pelan struktur itu, kawalan ketinggian bangunan akan dikenakan di kawasan ini dalam usaha mengekalkan koridor visual dari Taman Tasik Titiwangsa ke Menara Kembar Petronas Kuala Lumpur. Kampung ini juga akan dibangunkan sebagai pemangkin kepada kewujudan satu Koridor Kebudayaan yang menghubungkan presint kebudayaan di Jalan Tun Razak dan Jalan Conlay dengan presint membeli belah di KLCC dan Chow Kit. Kampung Baru, satu-satunya Kampung Rizab Melayu di tengah-tengah bandar raya, merupakan antara enam kawasan khusus yang ketinggalan dalam pembangunan, dan akan diberi perhatian dari segi pelaksanaan perancangannya oleh DBKL.

Daripada enam kawasan itu, Kampung Baru merupakan kawasan yang paling padat dengan penduduk, seramai 446 orang satu hektar, atau 45,000 orang keseluruhannya (mengikut bancian tahun 2000). DBKL kini dalam proses mendengar pandangan dan bantahan terhadap Draf Kuala Lumpur Pelan Bandar Raya 2020 selepas dibentangkan kepada umum tahun lepas dan menerima maklum balas mereka melalui borang khas pandangan awam yang disediakan. Jilid 4 draf itu khusus melibatkan pelan tempatan perancangan di Kampung Baru. DBKL menerima lebih 100 pandangan dan bantahan daripada individu, badan bertindak penduduk dan persatuan yang mengisi borang pandangan awam berkenaan dan mereka kini menunggu giliran untuk dipanggil di hadapan sebuah panel bebas. Pengarah Jabatan Pelan Induk DBKL Zainab Mohd Ghazali Ogos tahun lepas turut dijemput sekumpulan penduduk Kampung Baru untuk memberikan penerangan mengenai pelan tempatan khusus melibatkan kawasan Kampung Baru di dalam draf itu. Beliau berkata empat alternatif pembangunan disyorkan DBKL bagi Kampung Baru iaitu:

a. Pembangunan mengikut trend - mengekalkan ikut keadaan sedia ada dengan kebanyakan pembangunan bergantung kepada tuan tanah.

b. Pembangunan semula terpilih - mengikut kesesuaian kawasan yang dikenal pasti.

c. Pembangunan semula berintegrasi - digalakkan DBKL kerana pembangunan Kampung Baru akan disepadukan dengan pembangunan di kawasan sekitarnya seperti Taman Tasik Titiwangsa dan KLCC.

d. Pembangunan semula komprehensif - memerlukan pengambilan tanah dan melibatkan perubahan keseluruhan kawasan.

Aspek penting dalam pelan pembangunan Kampung Baru ialah cadangan zoning yang diperaku untuk keseluruhan kawasan Kampung Baru. Cadangan zoning ini menetapkan kegunaan tanah bagi kawasan-kawasan di Kampung Baru yang secara langsung akan mempengaruhi nilai harga tanah pemilik tanah dan kegunaan tanah itu.Sesetengah kawasan ditetapkan sebagai kawasan perdagangan, kegunaan bercampur kediaman, zon kemudahan dan infrastruktur, kawasan lapang awam dan lain-lain.

PENDEKATAN PELBAGAI DIGUNA PAKAI


Pada seminar itu, Zainab menjelaskan bahawa mekanisme yang dicadangkan oleh Pelan Pembangunan Kampung Baru ialah "pendekatan pelbagai" dengan memberi empat pilihan kepada pemilik untuk membangunkan tanah mereka -

(1) Secara persendirian.

(2) Pembangunan tanah bersepakat.

(3) Pembangunan melalui Kampung Baru Development Corporation atau

(4) DBKL mengambil balik tanah di bawah 3(1)(b) Akta Pengambilan Balik Tanah 1960.

Bagaimanapun, katanya, DBKL mengesyorkan supaya pembangunan secara persendirian digalakkan dan pembangunan melalui pengambilan tanah ialah cara terakhir. Sebanyak RM100.6 juta diperuntuk di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 untuk menaik taraf struktur fizikal dan infrastruktur di Kampung Baru yang melibatkan pembangunan semula:-

Pasar Minggu (RM20 juta),

Menaik taraf dan memperindah Jalan Raja Alang serta Jalan Raja Muda Musa (RM25 juta),

Membina dan menaik taraf rangkaian jalan yang menghubungkan Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Tun Razak (RM40 juta),

Penambahbaikan dan mencantikkan persekitaran Jalan Raja Bot dan Jalan Haji Hussein (RM7 juta)
Serta projek bersepadu pejalan kaki (RM8.6 juta).

Mengambil kira segala rancangan pembangunan ini, turut dibincangkan ialah syor memansuhkan sekatan kepentingan yang menghalang pendudukan dan penyewaan kepada bukan Melayu bagi meninggikan nilai tanah di Kampung Baru dan membolehkan pembangunan pesat berlaku. Pemansuhan sekatan ini akan menjamin kelarisan pasaran hartanah yang akan dibangunkan dan dalam hal ini juga pembangunan Kampung Baru tidak perlu bergantung kepada tuan tanah Kampung Baru saja tetapi diperluas kepada orang Melayu lain yang berkemampuan.

MEKANISME PEMBANGUNAN

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Zulhasnan Rafique, yang juga anak Kampung Baru, sempena sambutan Hari Wilayah, memberi jaminan kepada penduduk kampung ini yang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru akan ditubuhkan di bawah bidang kuasa DBKL untuk memudahkan pelaksanaan rancangan pembangunannya. Beliau yakin pemilik tanah akan diberi pilihan untuk membangunkan tanah mereka dan mereka boleh memilih formula yang menguntungkan mereka tetapi haruslah ada satu formula yang bertepatan untuk itu. DBKL sementara itu mengakui bahawa Jabatan Peguam Negara telah mengesahkan bahawa hak milik yang dikeluarkan Pejabat Tanah KuaLa Lumpur (sebelum 1974) dan kemudian Wilayah Persekutuan, adalah sah di sisi undang-undang, dengan itu pemilik tanah MAS Kampung Baru mempunyai hak milik yang tidak boleh disangkal di bawah Seksyen 340 Kanun Tanah Negara. Dari segi hak, ia terjamin mengikut Perkara 13, Perlembagaan Persekutuan, iaitu: "Tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang. Tiada sesuatu undang-undang pun boleh membuat peruntukan bagi mengambil atau menggunakan harta dengan paksa dengan tiada pampasan yang mencukupi".

Oleh itu DBKL mentafsirkan Perkara 13 seperti berikut:* Pihak Berkuasa Negeri boleh mengambil tanah milik individu secara paksa. Apabila tanah milik seseorang atau badan diambil, pampasan secukupnya (harga pasaran) mesti dibayar kepada pemilik* Tanah milik persendirian hanya boleh diambil atau digunakan di bawah kuatkuasa undang-undang.

Dalam kes tanah MAS Kampung Baru, DBKL mengesyorkan tanah itu dimajukan oleh sebuah badan kerajaan atau syarikat kerajaan (GLC) dan Kabinet boleh mengarahkan syarikat berkenaan supaya mengambil tanah MAS yang dikenal pasti di bawah Seksyen 3(1)(b) APT 1960. Pemilik tanah boleh memilih sama ada ingin menerima pampasan dalam bentuk wang tunai atau sebahagian wang tunai dan sebahagian hartanah yang hendak dibangunkan pemaju. Mana-mana hartanah yang siap dibangunkan sementara menunggu orang Melayu membelinya, boleh disewakan kepada pihak lain sama ada Melayu atau bukan Melayu.

Antara kaedah pembahagian hartanah yang disyorkan ialah sistem pawah di mana pemaju mengambil tujuh bahagian dan tuan tanah diberi tiga bahagian atau cara lain yang adil berdasarkan nilai tanah. Cara kedua ialah menubuhkan satu badan khas di bawah akta Parlimen yang berperanan membangunkan tanah rizab Melayu di seluruh Semenanjung, memasarkan hartanah yang dimajukan orang Melayu, memegang dan menguruskan hartanah yang belum dapat dijual kepada orang Melayu dan menyewakannya kepada orang lain, Melayu dan bukan Melayu serta membeli kuota hartanah Bumiputera yang tidak mampu dibeli. Cara ketiga ialah memberi kebebasan kepada pemilik tanah membangunkan tanah mereka apabila mereka merasakan sudah bersedia dan mampu menjalankan projek tertentu ke atas hartanah mereka. Sementara itu, DBKL menjangkakan tidak menghadapi masalah dalam cadangan membangunkan tanah Kampung Baru di luar kawasan MAS seperti yang pernah dilaksanakan PKNS dan ia turut boleh diusahasama dengan bukan Melayu dengan pasaran tanahnya lebih terbuka.

-- BERNAMA

2 comments:

noris helmi nordin berkata...

Sebarang usaha yang hendak dilakukan, mahu atau tidak, enakmen keramat M.A.S. itu perlu dirujuk sebagai panduan utama. Ini adalah kerana ia masih sah sebagai enakmen yang menaungi keseluruhan kawasan ini. Rule no 1 !!!

Itulah paksi utama untuk pembangunan. Pentadbirnya perlu dilibat kan bersama. Berbagai pelan deraf dibuat tetapi tiada sangkut menyangkut dengan peruntukan enakmen.

Adakah pimilik blog setuju dengan pandangan ini?

noris helmi nordin berkata...

Biarlah pembangunan dijalankan sesama melayu di kawasan ini. Bukan Melayu dah banyak mengaut keuntungan dengan usahasama PKNS ini. Mula-mula syarat peratusan bumiputera di patuhi. Namun begitu atas desakan kewangan ramai bumiputera yang menjual setelah harga meningkat. Itu semulajadi.

Seperti biasa tiada jaminan berkenaan pemilik kedua sesuatu hartanah seperti yang berlaku dalam usahasam PKNS dan kerajaan negeri. Dan akhirnya terlepas ke bangsa lain. Dan sukar untuk dimiliki lagi.

Oleh itu hati-hatilah dalam segala tindakan sekiranya keuntungan menjadi keutamaan. Cubalah untuk tanah ini, kebajikan dan sosial orang melayu di pertekankan.