KAMPUNG BARU : PERTAHANKAN WARISAN MELAYU DI IBU KOTA...

2/05/2009 10:20:00 PTG at 2/05/2009 10:20:00 PTG

Oleh Rohana Mustaffa

Bahagian 5 daripada 6 Siri Rencana Kampung Baru

KUALA LUMPUR, 2 Feb (Bernama) -- Kampung Baru, perkampungan rizab Melayu tunggal di tengah-tengah metropolitan Kuala Lumpur boleh dimajukan dengan syarat ia hendaklah kekal selama-lamanya sebagai markas kelompok Melayu. Warisan Melayu yang wujud seperti Masjid Jamek Kampung Baru dan Pasar Minggu hendaklah sentiasa dipelihara manakala segala perancangan masa depan yang membabitkan bangunan dan cadangan memperindah sungai perlu menyerapkan identiti Melayu. Dengan kata lain, Kampung Baru Kuala Lumpur tidak dapat tidak perlu kekal sebagai Warisan Melayu di tengah-tengah Kuala Lumpur.


Sekiranya kelonggaran hendak diberikan untuk membolehkan penyewaan ruang perniagaan atau tanah atau sebarang kegiatan kepada bukan Melayu, hak milik tanah di Kampung Baru hendaklah kekal untuk orang Melayu sahaja dan hak milik tidak dibenarkan bertukar tangan.Demikianlah penekanan mengenai kepentingan orang Melayu yang digariskan dalam suatu memorandum bersama oleh Persatuan Pembangunan Kampung Baru Kuala Lumpur (PKKB) dan Persatuan Kebajikan Anak-anak Melayu Kampung Baru Kuala Lumpur (Pakam) pada seminar mengenai Kampung Baru yang diadakan pada 1994.Ini adalah permintaan sebahagian besar penduduk Kampung Baru yang menganggotai kedua-dua persatuan yang mewakili kepentingan mereka. Memorandum yang kini berusia 15 tahun itu amat mementingkan masa depan orang Melayu dan kelangsungan hayat Kampung Baru dalam arus pembangunan pesat Kuala Lumpur.


Kedua-dua persatuan itu turut membangkitkan kebimbangan pemilik tanah, masalah pengambilan tanah milik beramai, isu pampasan dan penyewaan kepada orang bukan Melayu. Memorandum itu yang dilahirkan ekoran wujudnya berita mengenai rancangan pembangunan Kampung Baru, bertujuan mengutarakan pandangan pemilik tanah, para penduduk dan mereka yang berniaga di kawasan berkenaan bagi memastikan pembangunannya setaraf dan seimbang dengan kawasan sekelilingnya.


JANGAN UBAH HAKMILIK TANAH


Mengenai cadangan sewaan tapak kepada bukan Melayu, kedua-dua persatuan itu merujuk kepada Seksyen 16 dan Seksyen 17 Enakmen Rezab Melayu 1965 yang menjelaskan bahawa sebarang tukar milik, cagaran atau pajakan kepada bukan Melayu tidak boleh dibenarkan dan seksyen 222 dan 223 Kanun Tanah Negara pula menentukan apa-apa pajakan yang melebihi tiga tahun, hendaklah berdaftar. Mereka sedar bahawa apa-apa sewaan atas pajakan bagi jangka masa kurang dari tiga tahun tidak akan menarik ahli perniagaan bukan Melayu sedangkan permohonan pendaftaran pajakan yang melebihi tiga tahun kepada orang bukan Melayu, pastinya akan ditolak oleh Pendaftar Tanah. Oleh yang demikian, kedua-dua persatuan itu mencadangkan supaya kerajaan meluluskan pemberian hak milik strata Kampung Baru dan dibenarkan juga pajakan tanah kepada bukan Melayu dengan syarat ia tidak melebihi 25 tahun, didaftarkan.

DBKL pula perlu mewujudkan zoning dalam perancangan pembangunan Kampung Baru iaitu memperuntuk sekurang-kurangnya satu pertiga kawasan Kampung Baru sebagai kawasan kediaman tetapi bukan khusus di satu tempat kerana ada keperluan untuk kawasan kediaman golongan pendapatan sederhana dan rendah, tidak semestinya di dalam kawasan Kampung Baru, tetapi juga boleh di kawasan pinggirnya. Untuk menentukan nilai tanah Kampung Baru seimbang dengan nilai tanah di sekitarnya, mereka mencadangkan purata plot atau kepadatan penduduk bagi kawasan ini dipertingkat sama seperti kawasan Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan kawasan-kawasan yang berhampiran. Kawasan lapang yang sedia ada seperti Padang Kelab Sultan Sulaiman dan Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang ditafsirkan sebagai tanah lapang.

Kedua-dua persatuan itu mencadangkan tanggungjawab pembangunan Kampung Baru tidak diambil seluruhnya oleh oleh kerajaan tetapi turut dikendalikan badan berkanun seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Urban Development Authority (UDA) dan Amanah Saham Selangor serta syarikat Bumiputera yang berminat dengan cara membeli tanah Kampung Baru mengikut harga pasaran.

CADANGAN LAIN

Cadangan lain termasuk : - Tuan tanah diberi jangka masa yang sesuai untuk berunding dengan pemaju dan jika urusan jual beli tidak dapat diselesaikan sama ada disebabkan ketiadaan waris atau wakil mutlak atau kedegilan yang tidak munasabah, kerajaan boleh menggunakan kuasa pengambilan tanah di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 bagi pihak pemaju berkenaan. Dalam apa jua keadaan, keutamaan hendaklah diberikan kepada syarikat Bumiputera di dalam urusan pembangunan Kampung Baru, dan mereka bertanggungjwab mengadakan kediaman alternatif kepada penduduk terlibat.

Harga muktamad bagi pampasan pengambilan tanah terletak kepada mahkamah tetapi hendaklah dinilai seimbang dengan harga tanah di kawasan sekitar dan pinggir Kampung Baru.Ruang perniagaan atau kediaman hendaklah terlebih dahulu ditawarkan kepada penduduk tempatan sebelum dijual kepada Bumiputera (Melayu sahaja) lain dan tiap blok pembangunan menyediakan kawasan penjaja atau perniagaan. Kepentingan sosial dan kebudayaan Kampung Baru dipelihara supaya cara hidup penduduknya tidak berubah dan oleh itu Masjid Jamek Kampung Baru dikekal dan dipertingkat sesuai dengan pembangunan di sekelilingnya. Begitu juga dengan bangunan Kelab Sultan Sulaiman yang kaya dengan sejarah kebangsaan dikekalkan sebagai pusat pembangunan masyarakat, aktiviti sukan dan rekreasi, Pasar Minggu Kampung Baru dikekalkan untuk kegiatan perniagaan Melayu dan dinaiktaraf dengan bangunan bertingkat seperti pasar moden menjual kraftangan, makanan dan sebagainya seperti di Kota Baharu Kelantan dan Kuala Terengganu.

Empat belas tahun selepas itu, pada 19 Ogos 2008, PPKB mengadakan seminar untuk membincangkan Draf Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 yang turut melibatkan pembangunan Kampung Baru.

DRAF PEMBANGUNAN MENYELURUH

Draf itu merangkumi aspek pembangunan menyeluruh Kampung Baru dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur memberikan taklimat sebanyak dua kali mengenai pelan yang khusus melibatkan kampung berkenaan kepada para pemilik tanah.Seminar itu bertujuan mempertingkat kefahaman penduduk Kampung Baru mengenai draf berkenaan dengan melibatkan beberapa pakar perancang bandar, arkitek, jurutera dan wakil syarikat pembanguan hartanah Bumiputera untuk meneliti dan membincangkan kesesuaian draf pembangunan itu dengan apa yang mereka kemukakan sebelum ini dengan kemajuan Kampung Baru selepas 1994. Seminar itu dihadiri seramai 100 anggota persatuan dan pemilik tanah Kampung Baru, kata Naib Yang Dipertua PPKB Dr Mohd Yusof Ismail yang membukukan laporan mengenai pandangan awam (penduduk Kampung Baru) tentang cadangan draf DBKL itu. Beliau berkata seminar itu merumuskan beberapa cadangan balas kepada draf asal DBKL yang membuka ruang bagi orang ramai memberikan cadangan, pandangan dan bantahan sehingga 31 Ogos 2008 mengenai pelan bandaraya 2020 itu sebelum proses pendengaran bantahan dan cadangan dimulakan DBKL dari September hingga Februari tahun ini.

Dr Mohd Yusof dalam temu bualnya dengan Bernama, berkata pada prinsipnya persatuan itu tidak menolak secara langsung draf DBKL itu tetapi berpendapat ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaik. "Saya melihat dari aspek perancangan keseluruhan Kampung Baru yang perlu diperhalus dan dibincangkan lagi terutama dari segi pembahagian zon pembangunan," katanya. Antara bantahan utama mereka ialah pengambilan balik tanah melalui pembangunan semula berintegrasi.

TIDAK PUAS HATI DENGAN CADANGAN DBKL

"Kami tidak bersetuju, kerana bagi kami strategi pengambilan balik tanah adalah cara terakhir yang patut dilakukan dan DBKL harus berperanan sebagai pentadbir dan bukan pelaksana pembangunan Kampung Baru," katanya. Mereka juga tidak puas hati apabila pelan pembangunan itu dilihat tidak memberi fokus kepada aspek mengekalkan warisan Kampung Baru seperti Masjid Kampung Baru dan Pasar Minggu dalam cadangan reka bentuk bangunan yang pada pendapat mereka tidak menyerapkan identiti Melayu. Seminar itu juga merasakan cadangan zon pembangunan mengikut komponen jalan di Kampung Baru seperti "Corporate Street","Autocity Mall" dan sebagainya hanya akan menguntungkan sebahagian kecil pemilik tanah, maka DBKL diharapkan dapat membangunkan setiap jalan berselang seli dengan kawasan perumahan bagi memastikan Kampung Baru kelak sebagai kawasan yang tidak "tidur" di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur.

"Kami tidak mahu ada zon yang akan hidup sampai tengah malam tetapi di satu zon Kampung Baru lagi akan bergelap kerana ia merupakan kawasan kediaman," katanya. Dr Mohd Yusof berkata peserta seminar itu juga membangkitkan mengenai harga hartanah yang rendah yang memungkinkan pengambilan tanah bagi mereka yang bersetuju akan pada kadar yang murah.Wakil DBKL, Pengarah Jabatan Pelan Induk DBKL Zainab Mohd Ghazali turut dijemput menerangkan mengenai draf Kuala Lumpur 2020 yang khusus melibatkan Kampung Baru. Dr Mohd Yusof yang pernah memegang beberapa jawatan kanan awam seperti timbalan ketua setiausaha Kementerian Tenaga, Telekomunikasi dan Pos, pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan ketua pengarah Unit Penyelidikan Sosio Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, turut membentangkan kertas kerja pada seminar itu.

Beliau mencadangkan agar Kampung Baru dinamakan Kampung Baru City Centre sesuai dengan kedudukannya berhampiran KLCC dan sesuai dengan nama itu, perlu diwujudkan pula laluan korporat yang merangkumi beberapa jalan di Kampung Baru, diperbanyak kawasan perdagangan, pembangunan bercampur kediaman dan perdagangan. Turut dicadangkan beliau ialah harga tanah di Kampung Baru diasaskan kepada kes penjualan pada tahun 2006 dan 2007 di kawasan di dalam dan di sekitar Kampung Baru yang boleh mencapai sehingga RM1,000-RM2,000 sekaki persegi.

CADANGAN PUSAT WARISAN MELAYU DI KAMPUNG BARU

Arkitek Mariyah Pit pula mencadangkan supaya sebuah pusat Warisan Melayu diwujudkan di Kampung Baru dengan berfokuskan kawasan sekitar Masjid Kampung Baru dibangunkan sebagai sebuah taman seperti Regent's Park Mosque di London. Pasar Minggu dijadikan seperti Pasar Chatuchak (Bangkok) dan Pasar Chow Kit dijadikan sebagai sebahagian daripada Kampung Baru untuk dibangunkan menjadi pasar seni. Semua ini dicadang dibangunkan mengikut sasaran masa seperti pelan pembangunan lima tahun Kampung Baru dan sebagainya. Bekas naib canselor Universiti Selangor Datuk Dr Mohd Razali Agus dan pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Yazid Saleh mencadangkan : -

Kampung Baru dibangunkan oleh GLC dan dipantau Jabatan Perdana Menteri dengan modal pembangunan sekurang-kurangnya RM10 bilion. Pemilik tanah yang bersetuju menyerahkan tanah kepada GLC untuk dibangunkan, dijamin mendapat sekurang-kurangnya satu unit kediaman atau unit perniagaan, mendapat pampasan dan elaun kesukaran.Resolusi seminar itu dikemukakan dalam bentuk pandangan awam terhadap Draf Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 kepada DBKL.
-- BERNAMA

2 comments:

noris helmi nordin berkata...

Yang penting kalau nak tengok kawasan ini kekal orang Melayu punya, jangan sekali-kali dibenarkan ia dibeli dan dimiliki oleh syarikat. Walaupun pada asalnya lembaga pengarah dalam syarikat itu bumiputera, ada kemungkinan atas desakan perniagaan ia menjual syarikat itu pada orang lain bukan bumiputera. Dah tentu tanah ini jatuh ke tangan bangsa lain. Saya berharap ketika kejadian ini berlaku Enakmen MAS lah yang akan menjadi penyelamat dengan berpandu kan klausa 11 - Warta Kerajaan Selangor No 50 18 Januari 1951.

noris helmi nordin berkata...

Apa padangan penulis, saya rasa tanah Kampung Baru ini hanya tertakluk kepada enakmen MAS sahaja. Ia bukan rizab Melayu, ia adalah bawah MAS. National Land Code pun tidak mempunyai hak atasnya.