Penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampong Baharu : TERHAKISNYA ASET ORANG MELAYU

10/18/2010 06:50:00 PTG at 10/18/2010 06:50:00 PTG

Oleh: Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi

Menteri Di Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Senator Dato' Raja Nong Chik dalam sidang Parlimen yang baru lalu telah mengesahkan bahawa Kabinet telah bersetuju untuk melaksanakan Konsep Pembangunan Semula Kampung Baru Secara Komprehensif.

Konsep Pembangunan ini akan dilaksanakan melalui Proses penyerahan hakmilik tanah di bawah Seksyen 197 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 dan proses penyerahan dan pemberimilikan semula hakmilik tanah tersebut di bawah Seksyen 204D KTN.

Kaedah jual-beli tanah dan pengambilan balik tanah di bawah Seksyen 3(1)(b) Akta pengambilan Tanah 1960 akan turut diperguna oleh pihak Kerajaan.

Untuk merialisasikan hasrat tersebut, maka sebuah badan berkanun bernama "Perbadanan Pembangunan Kampung Baru" akan ditubuhkan di bawah Seksyen 49(2) Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan, 1982.

Perbadanan ini akan bertanggungjawab untuk melaksana dan menyelia pembangunan semula Kampong Baru. Hasrat Kementerian ialah supaya Perbadanan ini menjadi satu entiti perniagaan dan pelaburan (Business And Invesment Entity) untuk membangunkan kawasan pembangunan Kampung Baru yang dikenalpasti melalui Pelan Tempatan kampung Baru tanpa terlalu banyak terkongkong dengan peraturan-peraturan yang biasa terpakai kepada agensi-agensikerajaan.

Mana-mana bahagian di dalam Kampung Baru yang dikenalpasti untuk pembangunan, akan diistiharkan sebagai "kawasan pembangunan" (development area) dari masa ke semasa menurut Seksyen 47 Akta tersebut.

Apabila ia telah diistiharkan sebagai Kawasan Pembangunan, maka kerajaan boleh menggunakan kaedah undang-undang di atas untuk mengambil milik hartanah tersebut termasuklah dengan menggunakan kaedah pengambilan wajib (compulsory) di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960.

Apabila kaedah pengambilan tanah seperti ini digunakan, maka keputusan kerajaan tersebut adalah muktamad dan ia tidak boleh dicabar dalam mana-mana mahkamah melaikan setakat jumlah pampasan sahaja.

Rang Undang-Undang (RUU) penubuhan Perbadanan tersebut dikatakan akan dibentangkan di Parlimen dalam sesi kali ini. Namun demikian, sehingga artikel ini di tulis salinan RUU tersebut masih belum diedarkan oleh Parlimen kepada umum.

Walau bagaimapun, melihat kepada draf cadangan penubuhan perbadanan tersebut, terdapat beberapa peruntukan-peruntukan tertentu yang amat memprejudiskan pihak-pihak yang berkepentingan (stakeholders) di Kampung Baru ini.

Bukan setakat Lembaga M.A.S yang sudah mentadbir Kampung Baru selama Lebih seratus tahun dinafikan kewujudan dan peranannya dalam cadangan pembangunan Kampung Baru tersebut, malah transaksi hartanah Kampung Baru juga terbuka luas untuk dieksplotasi dan dipindahmilikan kepada orang-orang bukan Melayu atau sesiapa sahaja yang difikirkan sesuai oleh Perbadanan (yang bertindak sebagai entiti perniagaan dan pelaburan).

Ini dapat dilihat dalam beberapa peruntukan seperti berikut:


1. Senarai Keanggotaan Perbadanan Pemabangunan Kampung Baru.

Keanggotaan Perbadanan Kampung Baru terdiri daripada Datuk Bandar yang bertindak sebagai Pengerusi, tiga wakil dari Kerajaan Persekutuan iaitu KSU Kementerian Wilayah Persekutuan, KSU Kementerian Kewangan dan Ketua Pengarah Perancangan Ekonomi Jabatan Perdana Menteri (atau Wakil-Wakil Mereka), Peguam Negara atau wakilnya, Ketua Pengarah DBKL dan dua orang lain yang dilantik oleh Pengerusi dengan persetujuan Menteri, yang mempunyai kelayakan profesional, akdemik dan pengalaman dalam perkara-perkara berhubung perbankan, hartanah, pelaburan, perancangan kerajaan tempatan, kewangan, pembangunan hartanah, perdagangan, pentadbiran dan perniagaan. Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan akan bertindak sebagai Setiausaha kepada Perbadanan.
Dari susunan anggota-anggota Perbadanan di atas, maka jelas sekali tidak ada tempat untuk wakil pemilik, waris dan penduduk Kampung Baru, ahli Lembaga M.A.S mahupun Wakil Rakyat (Ahli Parlimen Titiwangsa) dalam Perbadanan ini.

Natijahnya, Tidak ada satu suara pun yang dapat mewakili kepentingan pemilik dan penduduk Kampung Baru dalam Perbadanan yang akan ditubuhkan untuk mengurus dan membangunkan hartanah mereka sendiri.


2. Fungsi dan Kuasa Perbadanan kampung Baru.

Ada 14 fungsi-fungsi dan kuasa yang digariskan dalam cadangan penubuhan Perbadanan tersebut. Antara yang begitu merisaukan pemilik tanah Kampung Baru ialah klausa (g) yang menyatakan bidang kuasa yang luas Perbadanan dengan kelulusan Menteri untuk: "Menswastakan atau dengan apa cara lain memindahmilik atau melupuskan mana-mana aktivitinya berhubung dengan fungsi-fungsinya dibawah perenggan ini atau menswastakan atau dengan apa-apa cara lain memindahmilik atau melupuskan mana-mana asetnya" (Baca- Aset orang-orang Melayu).

Peruntukan ini memberi kuasa yang sangat luas kepada perbadanan untuk menswasta, memindahmilik dan melupuskan mana-mana aset berharga Kampung Baru kepada sesiapa sahaja, dalam usaha menjalankan peranannya sebagai satu "entiti perniagaan dan pelaburan".

Umum sedia maklum bahawa hartanah di Kampung Baru adalah merupakan "lubuk Emas" yang masih belum diterokai oleh pelabur-pelabur hartanah dalam dan luar Negara.

Persoalannya ialah apakah masih ada jaminan bahawa aset kekal milik sepenuhnya orang-orang Melayu ini akan terus bertahan, dan dimiliki oleh orang-orang melayu Kampung Baru; ataupun ia terus "mencair" bersama arus pembangunan Kampung Baru kelak.


3. Pemindahan hakmilik tanah untuk tujuan pembangunan.

Tanah-tanah dalam Kawasan Pembangunan yang diambil oleh Datuk Bandar akan dipindah hakmilk atau diletakhak kepada Perbadanan. Segala perbelanjaan dan pampasan yang kena bayar bagi pengambilan tanah tersebut hendaklah dibayar oleh Perbadanan.

SOALAN: Apakah jaminan untuk pemilik-pemilik tanah Kampung Baru bahawa hakmilik tanah yang mereka serahkan kepada Perbadanan akan dekembalikan, ataupun jika dikembalikan sekalipun, apakah jaminan tidak ada syarat-syarat tertentu (syarat-syarat nyata) yang boleh dikenakan kerajaan ke atas mereka?

Bagaimana pula sekiranya Perbadanan tersebut dibubarkan selepas projek pembangunan yang dirancangkan tersebut selesai, sedangkan masalah hakmilik masih belum selesai sepenuhnya?

INGAT: Perbadanan adalah satu "Business Entity," yang tentunya memikirkan untung rugi sahaja sebagai agenda utamanya.


4. Kuasa untuk megambil khidmat ejen, penasihat dan lain-lain

Perbadanan mempunyai kuasa untuk mengambil khidmat dan membayar ejen, perundingan dan penasihat teknikal atau sesiapa sahaja untuk menjalankan apa-apa urusan atau untuk melakukan apa-apa tugasan dalam melaksanakan fungsi-fungsinya.

Peruntukan ini tentunya terbuka kepada amalan kronisme yang meluas dan perlantikan yang bermotifkan kepentingan politik kepartian semata-mata. dibimbangi gejala rasuah, penyelewengan dan salah urus tadbir yang akan membawa kepada peningkatan kos secara mendadak, bakal mewarnai projek pembangunan Kampung Baru sekiranya tidak ada satu mekanisme diwujudkan untuk membendung gejala-gejala tidak sihat ini.


5. Perlingungan anggota dan pegawai Perbadanan

Apa sahaja keputusan yang dibuat oleh anggota Perbadanan atau ejen atau mana-mana orang lain yang dikatakan telah dibuat dengan "suci hati" dan "Bertindak dengan sah" bagi pihak Perbadanan, tidak boleh diambil tindakan undang-undang dan tidak boleh dicabar dimana-mana mahkamah.

Peruntukan ini dengan jelas menyerahkan "absolute power" kepada Perbadanan untuk membuat apa-apa keputusan dalam proses Pembangunan Kampung Baru, tanpa boleh didakwa atau diambil tindakan undang-undang dalam mana- mana mahkamah.

Perbadanan adalah "immune" di sisi undang-undang dan segala keputusan dan tindakan mereka tidak boleh dicabar di Mahkamah sama ada melalui semakan kehakiman mahupun melalui saman sivil secara individu.

Akhirnya, yang rugi ialah waris, penduduk dan pemilik tanah Kampung Baru sendiri semuanya terdiri daripada orang Melayu. Tidak ada jaminan bahawa Aset Melayu yang sangat berharga ini kekal dengan cadangan penubuhannya seperti ini dan diluluskan oleh Parlimen kelak.


____________________

Penulis adalah Penasihat Undang-Undang Sektretaria Pembangunan Kampung Baru.

1 comments:

Tanpa Nama berkata...

Ini tanah orang Islam, Faraidnya dah selesaikan belum untuk lot2 itu?