Rang undang-undang Perbadanan Kg. Baru

12/15/2010 12:00:00 PTG at 12/15/2010 12:00:00 PTG

KUALA LUMPUR 14 Dis. – Setelah menunggu sekian lama, akhirnya Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru 2010 dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Pembentangan itu dilakukan oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Langkah itu menyaksikan penubuhan perbadanan khusus bagi melaksana dan menyelia pelan pembangunan semula kawasan berusia 110 tahun itu yang kini dihuni 35,000 penduduk.

Projek pembangunan Kampung Baru adalah meliputi kawasan seluas 151.57 hektar, lebih luas daripada projek Kuala Lumpur City Centre (KLCC) iaitu 40 hektar, sekali gus menjadikannya antara projek pembangunan hartanah terbesar sekali di dunia.

Menurut rang undang-undang berkenaan, satu Majlis Penasihat akan ditubuhkan bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat perbadanan itu mengambil kira kepentingan orang Melayu di Kampung Baru.

Majlis Penasihat itu akan diketuai seorang pengerusi dan tidak lebih 15 ahli yang terdiri daripada wakil penduduk, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak yang terlibat dalam aktiviti komersial di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui pula membentangkan untuk bacaan kali pertama Rang Undang-Undang Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari 2010.

Ia bertujuan untuk mewujudkan badan khusus bagi menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui di negara ini termasuk suria, angin dan biojisim.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong pula membentangkan Rang Undang-Undang Timbang Tara (Pindaan) 2010 yang bertujuan memastikan mahkamah tidak campur tangan dalam proses timbang tara kecuali dibenarkan oleh akta berkenaan.

0 comments: