Kertas cadangan bangun Kg. Baru siap 2 bulan (laporan utusan malaysia)

2/08/2010 11:15:00 PG at 2/08/2010 11:15:00 PG

KUALA LUMPUR 7 Feb. - Kertas cadangan mengenai kaedah pembangunan semula Kampung Baru dijangka siap dalam tempoh dua bulan sebelum dibentang kepada Kabinet.
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, ia akan dirangka berasaskan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam yang antaranya mengambil kira persetujuan pemilik tanah dan penduduk.
Selain itu, katanya, kertas itu turut mengandungi hal-hal perundangan selain kaedah perancangan yang rapi.
Menurut beliau, setelah siap sepenuhnya, baru cadangan itu dibentangkan untuk mendapat kelulusan jemaah menteri.
''Selepas itu, saya akan berdialog dengan penduduk Kampung Baru bagi mendapatkan pandangan jika masih ada cadangan yang perlu diperbetulkan supaya dapat dibawa berbincang semula dengan jemaah menteri,'' jelasnya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Pertandingan Debat Antara Universiti bagi merebut Piala Menteri Pengajian Tinggi (MOHEC) yang diadakan di Auditorium, Balai Ungku Aziz, Fakulti Pergigian Universiti Malaya di sini hari ini.
Raja Nong Chik berkata, apa yang penting sekarang adalah persetujuan pemilik tanah terhadap cadangan tersebut.
''Jika mereka menerima baik kaedah pembangunan yang dicadangkan ini maka kita tidak ada masalah untuk membangunkan Kampung Baru menjadi pusat komersial menjelang 2011," jelasnya.
Sementara itu dalam pertandingan debat berkenaan, juara keseluruhan kumpulan dimenangi oleh pelajar dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan pemidato terbaik pula dimenangi oleh Tasneem Elyas, 23, juga dari UIA.

0 comments: