MALIS PELANCARAN OLEH AGONG

2/23/2009 02:21:00 PTG at 2/23/2009 02:21:00 PTG

Kios zakat, tabung masjid diperluas
KUALA LUMPUR: Pemodenan kutipan zakat dan derma tabung masjid sekitar ibu negara menerusi kios mesin pengeluaran wang automatik (ATM) khas akan diperluaskan ke seluruh negara bagi menjadikan masjid sebagai pusat kegiatan menjana ekonomi umat Islam. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata langkah itu selaras hasrat kerajaan mengimarahkan masjid dan menjadikan konsep berkenaan sebahagian cara hidup masyarakat Islam negara ini.

"Pemodenan kutipan zakat dan derma tabung masjid perlu diperluaskan dan dicontohi negeri lain kerana ia bukan saja menerapkan kaedah kontemporari dalam kutipan zakat serta derma tabung masjid, malah memberi wajah baru kepada masjid seiring kemajuan dunia. "Ia juga memudahkan umat Islam memberi sumbangan atau derma tanpa perlu menggunakan cara konvensional melalui peti besi atau kotak kayu. Fungsi kios ini akan turut dipelbagaikan termasuk membolehkan masyarakat Islam membeli saham wakaf serta membuat deposit simpanan Akaun Tabung Haji tidak lama lagi. "Saya meminta badan korporat dan swasta melaksanakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat Islam dengan menaja dan mewakafkan mesin ATM kepada masjid untuk dijadikan kios bagi memantapkan ekonomi ummah," katanya pada pelancaran E Zakat/E Derma serta perasmian Kios Maju Masjid Kampung Baru, di sini semalam.Pelancaran kios berkenaan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin

sebelum baginda dan anakandanya, Tengku Mohd Muaaz menunaikan solat Jumaat bersama rakyat. Ahmad Zahid berkata, usaha pemodenan kutipan zakat dan derma tabung masjid sekitar ibu kota menarik minat negara Asia Barat yang membuat liputan mengenainya tahun lalu.


Kios di masjid jana ekonomi umat Islam

KUALA LUMPUR: Fungsi masjid boleh diperluaskan kepada aktiviti berunsurkan perkhidmatan perbankan zakat dan derma untuk orang Islam di tempat suci itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Sebagai contoh, katanya, penubuhan kios Mesin Juruwang Automatik (ATM) yang mempunyai perkhidmatan menderma, membayar zakat dan fidyah di sesebuah masjid dilihat mampu menjana ekonomi umat Islam. "Sebelum ini sumbangan derma dimasukkan ke dalam kotak kayu atau besi namun kini umat Islam boleh menderma melalui kios ATM iaitu hanya Sentuh, Pilih dan Bayar.
"Dengan wujudnya pelbagai ruang muamalat ekonomikal di masjid, maka kita mampu untuk melihat masjid yang lebih diimarahkan dan menjadi sebahagian daripada cara hidup masyarakat kita," katanya ketika berucap di majlis pelancaran eZakat/eDerma dan Kios Maju Masjid di Masjid Kampung Baru di sini, hari ini. Majlis itu dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin. Zahid berkata, kios eZakat/eDerma yang pertama di negara ini disediakan oleh Maybank yang akan dikendalikan oleh Syarikat Majumaz Aktif Sdn Bhd dengan bantuan pengurusan masjid itu.

Fungsi kios ini akan dipelbagaikan untuk masa depan di mana orang ramai akan dapat membeli saham wakaf dan membuat deposit bagi simpanan dalam akaun Tabung Haji pula di kios ini. Ketua Pegawai Eksekutif Majumaz Aktif Sdn Bhd, Datuk Subirin Sahan, berkata Kios Maju Masjid ini akan diperluaskan ke masjid-masjid di seluruh negara seperti Masjid Negara, Masjid Wilayah Persekutuan, Masjid Putra dan Masjid Putrajaya. "Kaedah (kios) ini mampu meningkatkan aktiviti kemasyarakatan masjid itu sendiri dan akan menjadi contoh untuk diperkenalkan ke negara-negara Islam di luar negara," katanya. - Bernama



ATM setiap masjid.

Oleh Muhd Izawan Baharin
KUALA LUMPUR: Masjid Jamek Kampung Baru menjadi masjid pertama di negara ini menyediakan kemudahan kios perbankan elektronik.Menerusi kios mesin juruwang automatik (ATM) Maybank, orang ramai hanya perlu sentuh, pilih dan bayar untuk menderma melalui wang tunai atau kad kredit ke mana-mana tabung tersenarai.Ia juga membolehkan umat Islam menunaikan tanggungjawab sama ada menderma, membayar zakat, fidyah atau bil.Ketua Pegawai Eksekutif Majumaz Aktif Sdn Bhd yang terbabit dalam menyediakan konsep Kios Maju Masjid, Datuk Subirin Sahan, berkata kios perbankan elektronik itu terbukti menjadi satu daya tarikan masyarakat Islam dan bukan Islam mendekatkan diri ke masjid sekali gus meningkatkan aktiviti kemasyarakatan di tempat ibadat berkenaan.

“Kios eZakat dan eDerma di Masjid Jamek Kampung Baru ini adalah yang pertama di Malaysia dan InsyaAllah dalam masa terdekat, Masjid Negara, Masjid Wilayah Persekutuan, Masjid Putra di Putrajaya, masjid negeri serta masjid terpilih di seluruh negara disediakan kios eZakat dan eDerma serta perbankan elektronik,” katanya.
Majlis pelancaran eZakat dan eDerma serta kios Maju Masjid disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, semalam. Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Fuad Ismail dan Setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Che Mat Che Ali.Subirin berkata, syarikat Majumaz Aktif yang ditubuhkannya bukan berteraskan keuntungan semata-mata sebaliknya bertanggungjawab memodenkan kios eZakat dan eDerma kepada pengurusan masjid.“Hasil pendapatan caj perkhidmatan dikongsi bersama dengan pengurusan masjid untuk memberi kemudahan terbaik kepada anak kariah.“Kios perbankan elektronik dibiayai bank yang menyediakan dengan penubuhannya menelan kos antara RM250,000 hingga RM500,000 dan dianggarkan projek Kios Maju Masjid pula di antara RM70 hingga RM100 juta untuk tempoh pelaksanaan tiga hingga lima tahun di masjid terpilih seluruh negara,” katanya.Menurutnya, dengan adanya Kios Maju Masjid di Masjid Jamek Kampung Baru itu, MAIWP menjadi peneraju utama konsep kios itu.Sementara itu, Dr Ahmad Zahid berkata, penubuhan kios itu adalah salah satu usaha MAIWP dalam merealisasikan hasrat kerajaan.

2 comments:

noris helmi nordin berkata...

Bagus program ni, tapi kenapa pihak masjid tak menjemput Lembaga MAS untuk bersama-sama dalam majlis yang hebat ini?

Tanpa Nama berkata...

no komen bro