KELAB SULTAN SULAIMAN : PENCETUS SEMANGAT JUANG BANGSA MELAYU

2/12/2009 08:04:00 PTG at 2/12/2009 08:04:00 PTG


Kelab Sultan Sulaiman yang terletak di Kampung Baru merupakan kelab orang melayu yang tertua dan terkemuka di Negara ini suatu ketika dahulu. Sejak ditubuhkan pada 1909, ia menyaksikan pelbagai peristiwa penting yang kini tercatat dalam lipatan sejarah Negara.

LATAR BELAKANG

Sehingga tahun 1967, ia dikenali sebagai Sultan Sulaiman Club sempena nama Sultan Selangor ketika itu Sultan Alaidin Sulaiman Shah ibni Almarhum Raja Muda Musa yang memerintah dari tahun 1898 hingga 1938. Pada tahun 1899, Kampung Baru dikenali sebagai Malay Agricultural Settlement (MAS). Penduduknya sering mengadakan perjumpaan di sebuah pondok yang dibina secara gotong-royong.

Pada 1901, Bangunan Kelab Sultan Sulaiman didirikan diatas tanah yang diwakafkan oleh Sultan Selangor. Ia dibina hasil sumbangan Kerajaan Inggeris sebanyak $500 dan kutipan derma orang ramai serta melalui pertunjukkan kebudayaan yang sering diadakan untuk menambah tabung kewangan kelab. Kelab ini adalah khusus untuk kepentingan dan kegunaan orang melayu. Penubuhannya didorong oleh penubuhan kelab-kelab bagi bangsa lain di Tanah Melayu ketika itu seperti Jawa Peranakan Club dan Penang Peranakan Club.

Pegawai-pegawai Inggeris juga telah menubuhkan kelab mereka sendiri pada tahun 1890an yang dikenali sebagai Selangor Club. Lantaran ketiadaan kelab khas untuk orang melayu khususnya bagi kalangan pegawai-pegawai melayu maka ia telah mendorong penduduk Kampung Baru untuk menubuhkan sebuah kelab bagi tujuan perjumpaan dan bermesyuarat.


Ahli-ahli kelab terdiri daripada penduduk sekitar Kampung Baru pegawai-pegawai melayu yang bekerja dengan British, golongan Kerabat Diraja dan orang Kenamaan. Pada peringkat awal, jawatan yang DiPertua Kelab dipegang oleh pegawai-pegawai tadbir Inggeris, Yang DiPertua Pertama kelab itu ialah Tuan Stoney, kemudian CJ Perkins dan Watson. Selepas itu barulah terdiri daripada orang-orang melayu seperti Haji Hussein, Mohd Amin Pasar dan Datuk Mahmud Ambak.

SEJARAH BANGUNAN KELAB

Bangunan pertama kelab itu didirikan pada tahun 1909 secara bergotong royong oleh penduduk kampung. Rekabentuknya berunsurkan senibina melayu yang berbentuk Minang dengan struktur pembinaannya daripada kayu cengal, berdinding papan dan beratapkan daun nipah. Terdapat beberapa buah bilik bacaan dan ruang untuk mesyuarat. Pada tahun 1914, penduduk Kampung Baru memohon ditambah struktur asal bangunan terutama yang melibatkan ruang bacaan memandangkan ia menerima kunjungan ramai.

Bagaimanapun bangunan itu tidak dapat digunakan lama kerana pada disember 1930, ia musnah dalam kebakaran menyebabkan aktiviti kelab terhenti seketika. Yang dipertua kelab, berusaha mendirikan semula bangunan kelab pada 1932 yang berdindingkan papan dan beratapkan genting. Setelah bertahan selama 35 tahun, keadaan yang kian uzur menyebabkan ia ditinggalkan tanpa sebarang aktiviti untuk sekian lama dan akhirnya pada 1967, bangunan itu dirobohkan.

Usaha untuk membina semula kelab diteruskan oleh Kerajaan Negeri Selangor melaui surat
permohonan Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris (gambar), pada April 1967 kepada Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein. Akhirnya bangunan baru yang dinamakan Dewan Sultan Sulaiman menjadi kenyataan hasil bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor. Ia dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak pada 30 April 1969.

Banguna baru itu terbahagi kepada dua, Dewan orang ramai dan Kelab Sultan Sulaiman. Dewan Orang Ramai boleh memuatkan 1000 orang dan mempunyai sebuah pentas. Ia digunakan untuk aktiviti sukan seperti badminton, sepak raga dan bola keranjang. Sebuah bilik perpustakaan turut disediakan untuk kegunaan ahli dan orang ramai. Dibahagian kelab terdapat sebuah restoran, kantin bilik billiard, bilik mesyuarat, bar dan asrama untuk anggota pemain atau pelawat daripada luar.

PERANAN KELAB

Kelab Sultan Sulaiman memainkan peranan penting didalam sejarah Negara. Selain daripada tempat pencetus semangat orang-orang melayu menentang Malayan Union, peristiwa yang paling bersejarah, pastinya Kongres Melayu Pertama yang membawa kepada penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Kongres yang dipengerusikan Datuk Onn Bin Jaafar ini diadakan dari 1 hingga 4 Mac 1946 dan dihadiri oleh 107 orang wakil daripada 41 pertubuhan melayu dari seluruh Tanah Melayu.

Turut hadir ialah 56 orang pemerhati dari setiap negeri di Tanah Melayu dan ribuan rakyat yag membanjiri padang Kelab untuk mendengar perbincangan para perwakilan mengenai nasib bangsa melayu.

Sejak penubuhannya, kelab ini sering dijadikan tempat bermesyuarat oleh pelbagai persatuan. Antaranya ialah Sahabat Pena, Persatuan Penulis-Penulis Melayu Malaya, Persatuan Melayu Selangor dan sebagainnya. Ia juga digunakan untuk mengadakan kongres Wartawan bagi menubuhkan Kesatuan Wartawan Se Malaya pada 18 Ogos 1940. penggunaan kelab amat aktif sebelum dan selepas perang dunia kedua. Umno sering mengadakan mesyuarat agongnya di kelab ini, begitu juga pemuda umno yang mengunakan untuk mesyuarat tahunan mereka

Selepas kemerdekaan, ia jarang digunakan kerana kebanyakkan persatuan mempunyai bangunan mereka sendiri. Pada 1960 an dan 1970 an kelab tidak lagi aktif. Namanya hanya muncul sekali sekala iaitu apabila terdapat apa-apa perjumpaan penting, umpamanya perjumpaan umno menjelang pilihanraya khasnya.

Sewaktu pendudukan Jepun ditanah melayu, aktiviti kelab juga terhenti untuk sementara waktu. Bangunan kelab digunakan sebagai markas tentera jepun, tempat menyimpan barang-barang dan tempat tinggal pegawai-pegawai tentera jepun. Padang kelab pula digunakan oleh tentera jepun untuk menanam ubi keldek dan ubi kayu bagi bekalan makan mereka.

Sewaktu Tragedi 13 mei 1969, bangunan kelab dijadikan tempat perlindungan orang melayu yang lari dari kawasan berdekatan dan sekitar Chow Kit sebagai markas tentera dan polis hutan. Pada akhir tahun 1970 dan awal 1971, ia digunakan sebagai tempat perlindungan mangsa-mangsa banjir Kampong Baru ketika banjir besar melanda Kuala Lumpur. Jasa kelab kepada masyarakat kampong baru pasti tidak dapat dilupakan.

Apabila Negara memulakan siaran televisyen pada 1963, kelab ini menyediakan sebuah televisyen pada 1964 di bahagian luar bangunannya untuk tontonan ahli-ahli kelab dan orang ramai. Secara tidak langsung, ia memberi hiburan kepada masyarakat setempat yang belum mampu membeli televisyen ketika itu. Bagaimanapun, tidak lama kemudian sekumpulan budak nakal membaling batu dan merosakkan televisyen itu. Selepas kejadian itu televisyen tidak lagi disediakan, lagipun masyarakat sudah mampu membelinya.

AKTIVITI KELAB

Aktiviti kesukanan seperti bola sepak, tenis, kriket, badminton dan ragbi turut digiatkan di
kelab. Ia melahirkan beberapa jaguh bola sepak seperti Mokhtar Dahari, Zainal Abidin Hasan, Hanafiah Ali, Kang Hang Meng, Zulkifli Nobit dan Ghani Minhat. Melalui tenis, ia menonjolkan kehandalan Almarhum Sultan Pahang Sultan Abu Bakar yang merupakan orang melayu pertama melopori permainan tenis. Selain itu, acara kesenian seperti pertunjukkan bangsawan dan permainan muzik tradisional seperti ghazal serta aktiviti belajar menjahit, mamasak dan menguruskan rumahtangga turut diadakan.

Zaman kegemilangan kelab itu adalah hasil titik peluh pemimpin dan anggota kelab serta masyarakat sekeliling, dan ia disegani oleh persatuan-persatuan lain di Kuala Lumpur. Namun kini, gah dan kehebatan telah dimamah usia dan waktu. Bangunannya dipandang sepi. Anggota kelab dan masyarakat perlu mengkaji semula peranan Kelab Sultan Sulaiman agar ia kembali mekar seiring dengan peredaran masa disamping menyedarkan rakyat terutama generasi muda tentang peranannya dalam sejarah Negara.

kredit kepada
BERNAMA

5 comments:

noris helmi nordin berkata...

Saya dengar tukang jahit diraja yang juga ikon tukang jahit melayu pertama mendapat kelulusan perjahitan dari London West End diarahkan keluar dari Kelab Sulaiman, betul ke? Saya rasa dalam apa keadaan pun, orang lama itu patut dikekalkan ditempat itu.

Tanpa Nama berkata...

MAYA ADVANCED TAILORING ACADEMY M.A.T.A TELAH LAMA MENJALANKAN PERNIAGAAN DI KELAB SULTAN SULAIMAN

noris helmi nordin berkata...

'FIRST MALAY' tu perkataan yang besar! Pertahankanlah ia di tempat asal dia mula berniaga. Seperti bangsa cina, walau ke mana ia berkembang, tempat asalnya tidak akan di tinggalkan. Contoh Keluang Station. Di stesen keretapai keluang Johor masih ada kedai kopi mereka, walaupun ia telah berubah ke fasa era moden.

Tanpa Nama berkata...

bagi saya untuk mengimarah kan semula kelab ini..pihak kelab terlebih dahulu haruslah memainkan peranan.. perbanyakan lah, perbaru kan lah aktiviti2 untuk org ramai.. seperti adakan pusat genusium dan sebagainya.. war-war kan program2 yang boleh dijalan kan di kelab ini. wujudkan lah sesuatu yang baru untuk org awam, tidak lah kelab ini tertumpu pada golongan2 tertentu sahaja. seperti saya sendiri pun tertanya-tanya.. apa peranan kelab sultan sulaiman itu? apa yg terdapat dalam kelab itu? cuba fahami kehendak semasa..

Tanpa Nama berkata...

Salam.. Tak paham kenapa kelab ini tidak ada pihak yang berani nak bentras tempat judi yang ada bilik bawah tanah kelab ini? apakah kebal sangat orang yang menguruskan kelab untuk orang MELAYU (ISLAM KAH? kalau ada mini casino)- renung-renungkan lah..