KAMPUNG BARU : KEHIDUPAN TERATUR, MASYARAKAT MAKMUR...

2/05/2009 11:14:00 PTG at 2/05/2009 11:14:00 PTG

Oleh Rohana Mustaffa
Bahagian 2 daripada enam bahagian siri rencana Kampung Baru
KUALA LUMPUR, 30 Jan (Bernama) -- Tiada yang terlepas pandang di Kampung Baru Kuala Lumpur. Tiada butiran yang terlalu kecil untuk tidak dihiraukan dan tiada pula perkara besar yang lebih penting daripada yang lain kerana semuanya diambil kira di kampung ini sejak ia wujud pada 1899. Dahulu kehidupan harian di satu-satunya entiti Melayu di tengah-tengah ibu kota ini amat teratur dan rapi, pendek kata ia agak "regimented". "Kami anak-anak Kampung Baru sudah sedia tahu bila waktu ke sekolah dan bersekolah di mana, waktu mengaji Quran, waktu bermain bola, bila pula hendak ke masjid, dan menyertai aktiviti marhaban atau berzanji kerana semuanya diatur," kata Shamsuri Suradi, antara penduduk asal yang menceritakan zaman membesar di Kampung Baru.
Sebenarnya aktiviti teratur ini berpunca daripada peraturan lembaga yang mentadbir Kampung Baru yang ketika itu di bawah pengawasan Residen British Selangor. Kini Shamsuri merupakan Setiausaha Kehormat Lembaga Pentadbiran Malay Agriculture Settlement (Petempatan/Tanah Pertanian Melayu) atau MAS Kampung Baru yang kebetulan merupakan badan penyelia aktiviti di kampung ini mengikut tradisi kehidupan Melayu sejak diwartakan pada 1900. MAS diwujudkan untuk memindahkan Orang Melayu yang kebanyakannya menghuni di pinggir Sungai Gombak dan Sungai Kelang walaupun ketika itu mereka aktif dalam kegiatan perniagaan dan perlombongan kerana British berpendapat orang Melayu wajar bergiat dalam sektor pertanian.
Pentadbiran British menegaskan bahawa penempatan di sebuah kampung khas akan memudahkan anak-anak Melayu menerima pendidikan dan mengambil bahagian dalam pentadbiran dan membolehkan penduduk menikmati sebahagian daripada kemewahan hidup masa itu.
AKTIVITI HARIAN RAPATKAN HUBUNGAN
Dengan jadual teratur itu, para penduduk mengenali satu sama lain di samping mengambil tahu pergaulan dan kegiatan masing-masing sehinggakan jika ada orang luar masuk atau anak gadis kampung diganggu, Orang Melayu Kampung Baru akan bersatu dan bertindak.Dari situlah wujudnya gelaran Gengster Kampung Baru, kata Shamsuri yang berusia, 57 tahun. Seramai 27 orang Melayu dicatatkan pada Januari 1900 memilih beberapa lot yang disediakan di Kampung Baru untuk dijadikan tempat tinggal mereka selepas Pentadbiran British pada asalnya memperuntuk 223 ekar (89.2 hektar) sebagai kawasan khas rizab perkampungan orang Melayu di Kuala Lumpur. Lembaga MAS ditubuhkan untuk mentadbir kampung ini dengan kuasa melulus dan menetapkan syarat-syarat pemberian lot rumah dan menyimpan butiran pertukaran, meluluskan pelan bangunan, menjalankan projek kecil dan mengawal ketenteraman penduduk.
"MAS juga berkuasa menyingkir penduduk yang ingkar atau tidak patuh akan peraturan dan dianggap berbahaya kepada masyarakat Kampung Baru," kata Shamsuri. Anggota lembaga MAS dilantik dari kalangan pegawai tinggi penjajah, dan kerabat diraja (Raja Muda Selangor pada asalnya menjadi Yang Dipertua) sehinggalah selepas Perang Dunia Kedua dan di bawah Jepun barulah beberapa orang penduduk Kampung Baru dilantik menganggotai lembaga itu.Tujuh buah kampung di dalam Kampung Baru secara rasmiya diwakili oleh tujuh orang di dalam lembaga berkenaan -- Kampung Masjid (asalnya sekitar Masjid Jamek Kampung Baharu), Kampung Periuk (asal namanya ada perusahaan periuk tanah di situ), Kampung Atas A dan Kampung Atas B (kawasan tanah tinggi), Kampung Pindah dan Kampung Paya (kawasan rendah dan berpaya) dan Kampung Hujung Pasir (kebanyakan penduduk berasal dari Kampung Hujung Pasir di Melaka). Beberapa buah kampung kecil seperti Kampung Manggis dan Kampung Sungai Baru turut digabungkan ke dalam Kampung Baru dan dituruti beberapa kampung setinggan, iaitu Kampung Limau, Kampung Chendana dan Kampung Paya Baru dan ini melebarkan keluasan Kampung Baru kepada kira-kira 121 hektar.
RUMPUN BANGSA BERGABUNG DI DALAM SATU KAMPUNG
Tijah Salim, misalnya, memilih untuk menduduki satu lot di Kampung Baru pada 1900 dan beliau membuat pilihan itu sebenarnya mengikut trend suku kaum tertentu yang datang menduduki kampung-kampung ini dari kalangan orang Melaka, Rawa, Minangkabau, Bugis, Mendeling dan Jawa. Orang Melaka dikatakan memilih kawasan paling strategik iaitu di Kampung Hujung Pasir manakala Kampung Paya menjadi tumpuan Orang Jawa dan masyarakat Minangkabau yang suka berniaga pula menduduki kawasan sekitar masjid di Jalan Raja Alang yang terkenal sebagai bermulanya Bazar Ramadan Kuala Lumpur sehingga merebaknya ke seluruh negara. Setiap penduduk memilih satu lot atau tidak lebih 0.2 hektar dan nama mereka direkodkan di dalam buku.
Sebuah fail mengenainya dibuka dan semua rekod itu disimpan oleh lembaga itu sehinggalah sekarang.Fail 124, contohnya, mencatatkan nama Milap binti Pulau yang didaftar masuk pada 28 Julai 1903. Failnya kosong daripada catatan sehinggalah pada 1955, dia mahu membuat pertukaran nama pemilik tanah, maka lembaga ada merekodkan proses itu.Lembaga ini menggunakan kuasa di bawah peraturan atau undang-undang kecil MAS untuk menentukan penduduk kampung umpamanya, tidak meninggalkan tempat yang didiaminya lebih daripada tiga bulan tanpa izin lembaga atau mereka akan disingkirkan, memastikan hanya orang Melayu yang menetap di situ, meluluskan pembangunan atau ubahsuai rumah, menyelia aktiviti bercucuk tanam dan bersawah (yang enggan akan didenda), sekolah anak-anak Melayu, sakit, kematian dan sebagainya.
FAIL MENCATAT SEGALANYA
Di dalam fail pemilik lot tanah inilah dicatatkan segala-galanya, seperti urusan tukar hakmilik tanah, masalah keluarga, nasihat lembaga, perselisihan faham, kematian, kenduri kahwin dan sebagainya. "Ada fail mengandungi laporan seperti jalan cerita sebuah drama," kata Shamsuri sambil menunjukkan fail-fail lama tulisan tangan yang tersimpan elok di Dewan Serbaguna Kampung Baru, di Jalan Hamzah, pejabat lembaga MAS kini. Apa tidaknya, jika seorang penduduk bernama Maznah misalnya, kematian suami, ia akan dicatatkan. Jika Maznah menukar nama pemilik harta pesaka atau ada anak angkat atau anak lelaki terlibat, akan direkodkan pertanyaan dan nasihat pembahagian harta yang diberikan lembaga kepadanya.
Dan jika berlaku perselisihan faham dengan suaminya sebelum itu dan diadukan kepada ketua kampung, akan juga ditulis dan disimpan di dalam fail.Begitu juga sekiranya Maznah ada masalah dengan jiran, dan apabila perkara itu sampai ke pengetahuan ketua kampung, maka ia akan dilaporkan dan direkodkan dalam fail berkenaan.Pendek kata, laporan tulisan tangan ini memperinci segalanya, daripada masalah yang timbul hinggalah kepada proses penyelesaiannya.
ORANG MELAYU AMBIL ALIH LEMBAGA SELEPAS PERANG DUNIA KEDUA
Orang Melayu hanya mengambil alih lembaga pentadbiran MAS selepas Perang Dunia Kedua kerana sebelumnya kebanyakan anggotanya ialah pegawai Pentadbiran British. Tidaklah menghairankan apabila wujud nama-nama jalan sempena pegawai penjajah itu di Kampung Baru seperti Watson, Perkins, Hale dan Stoney. Lembaga akan bermesyuarat dua bulan sekali dan mengikut cerita John Hands, seorang daripada setiausaha kehormat lembaga itu, mesyuarat pertama lembaga itu diadakan pada 11 Mac 1900 dan dihadiri Raja Muda Selangor. Dalam beberapa mesyuaratnya selepas itu perbincangan bertumpu kepada perkara mengenai pembukaan padang permainan, pembinaan sekolah, jalan, masjid, mengupah tukang, pelantikan guru mengaji Quran, guru besar, penyaluran air, pemasangan lampu dan segala perbelanjaan yang berkaitan dengannya.
Shamsuri kini tinggal di Jalan Raja Muda Musa, tanah asal datuknya di kawasan Pasar Minggu. Pasar Minggu pada asalnya dinamakan Saturday Fair, merupakan tempat tumpuan penduduk Jawa terutamanya, yang menjual hasil pertanian dan makanan mereka seperti keropok dan tapai. Sekolah untuk anak-anak Kampung Baru dari usia 5 hingga 12 tahun ditentukan oleh lembaga sementara kawasan kediaman hendaklah bersih dan petak bercucuk tanam mesti diusahakan.
WUJUD KESEDARAN POLITIK, IBU PEJABAT UMNO DI KAMPUNG BARU
Disebabkan eratnya para penduduk melalui aktiviti harian mereka, maka lahirlah beberapa persatuan di Kampung Baru seperti pada awalnya Persatuan Penduduk Melayu Minangkabau, Persatuan Anak Melaka dan Persatuan Peranakan Jawa dan kemudian beralih kepada persatuan sukan seperti Persatuan Seni Silat Cekak Kampong Bharu. Persatuan agama yang popular di Kampung Baru ketika itu ialah Persatuan Budi Pekerti Islam, antara persatuan yang pertama ditubuhkan. Kemudian perkembangan politik mempengaruhi penubuhan Ikatan Setia Kampong Bharu pada tahun 1946 sehinggalah anggotanya diserapkan ke dalam Umno Kampung Baru yang dikatakan memainkan peranan penting dalam Umno Malaya kerana ibu pejabat Umno terletak di sempadan kampung, di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Persatuan Pembangunan Kampung Baru Kuala Lumpur (PPKB) dan Persatuan Anak Melayu Kampung Baru (Pakam) hanya ditubuhkan beberapa dekad kemudian, iaitu pada 1994 untuk memperjuang isu pembangunan kampung ini.
Dalam pengkisahannya, Hands turut menceritakan bahawa lembaga pentadbiran MAS dari semasa ke semasa meluluskan beberapa undang-undang kecil mengikut keperluan, seperti melarang penyewaan rumah oleh penduduk tanpa kebenaran lembaga, tidak membenarkan mengupah pekerja bukan Melayu dan melarang penternakan lembu, kambing dan lain-lain. Penduduk kampung juga tidak dibenarkan melebarkan atau mengubahsuai rumah mereka tanpa kebenaran lembaga dan jika lembaga itu mendapati kelakuan atau kehidupan seseorang penduduknya bertentangan dengan tujuan baik petempatan itu dibuka, individu berkenaan boleh dihukum diusir keluar.
PERKEMBANGAN DI KAMPUNG BARU
Shamsuri berkata lembaga itu kini masih menguruskan hal ehwal urusan tanah dan sebagainya untuk penduduk ini, dalam dalam kalangan penduduk asal, mereka mengenali satu sama lain kerana masing-masing kebanyakannya ada talian kekeluargaan. Mantan Timbalan Menteri Penerangan dan Ketua Umno Bahagian Titiwangsa yang juga bekas anggota Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Dr Suleiman Mohamed dalam bukunya mengenai sejarah Kampung Baru pada 1999, menulis bahawa kampung itu menempuh tiga tahap perkembangan:
Tahap Pertama bermula dengan penubuhannya sebagai perkampungan Melayu pada abad ke-20 manakala
Tahap Kedua pula ketika berakhirnya zaman penjajahan dan negara merdeka pada 1957 dan Kampung Baru sudah menjadi kawasan kediaman Melayu yang kukuh.
Tahap Ketiga apabila ia termasuk ke dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan ditadbir secara langsung oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Lembaga MAS ketika itu menghantar memorandum menyatakan kebimbangannya Kampung Baru tidak akan dapat dipertahan sebagai satu-satunya kawasan entiti Melayu di pusat bandar Kuala Lumpur dan mendesak kampung setinggan Melayu yang terbentuk berhampirannya, seperti Kampung Chendana dan Kampung Limau turut tidak diketepikan.
TRANSFORMASI SOSIAL MELAYU BANDAR
Dr Suleiman menceritakan tujuan asal Pentadbiran British menempatkan orang Melayu di Kampung Baru, sebuah kawasan terbiar yang semak samun, sebenarnya ialah kerana mereka mahu mengenepikan orang Melayu daripada kegiatan kehidupan bandar seperti perlombongan dan perniagaan.Orang Melayu ketika itu ramai di Jalan Pudu dan Jalan Melayu atau tertumpu di sekitar kawasan pertemuan dua sungai - Sungai Gombak dan Sungai Kelang yang akhirnya membentuk nadi Kuala Lumpur. Sebuah daripada masjid sebagai mercu tanda orang Melayu menetap di tengah-tengah Kuala Lumpur ialah di Jalan Melayu/Masjid India dan sebuah istana di kawasan Bukti Nenas. Dr Suleiman yang membuat penyelidikan mengenai Kampung Baru dalam tesis "Transformasi Sosial Melayu Bandar" untuk ijazah Doktor Falsafahnya (Ph.D) pada 1999, menyatakan British memujuk Sultan Selangor Sultan Sulaiman ketika itu untuk menganugerahkan tanah di pinggir kota bagi petempatan Kampung Baru. "Ironinya, daripada tujuan untuk meminggirkan Orang Melayu ketika itu, kini Kampung Baru muncul sebagai petempatan di tengah-tengah ibu kota," kata beliau dalam satu temu bual.Arus pembangunan menyaksikan kampung ini kini berada di tengah-tengah bandar raya, bersebelahan kawasan segi tiga emas.
PERUBAHAN DI KAMPUNG BARU
Perubahan sebenar kehidupan di Kampung Baru tercetus selepas pelancaran Dasar Ekonomi Baru ekoran rusuhan kaum yang turut melibatkan kampung ini. Dari sini bermulanya peningkatan penyertaan orang Melayu di dalam pelbagai sektor ekonomi negara sehingga menggalakkan kedatangan orang Melayu ke Kuala Lumpur dan Kampung Baru dibanjiri mereka dari serata pelusuk tanah air. Kini 60 peratus daripada 45,000 penduduk Kampung Baru (bancian tahun 2000) bukan lagi penduduk asal, dan amalan regim rutin harian secara teratur di awal pembukaannya, terhakis ditelan zaman.Pun begitu, jika kita menjejak kaki ke Dewan Serbaguna Kampung Baru, masih ada aktiviti yang diuruskan lembaga MAS untuk penduduk kampung.Contohnya sempena Hari Wilayah 1 Feb, mereka menganjurkan pertandingan dam haji dan congkak besar-besaran, dan sebagai persediaan, sekumpulan anak remaja Kampung Baru berkumpul di sini membantu membuat beratus-ratus "buah dam" dan mengisi guli buah congkak di dalam bekas.
-- BERNAMA

1 comments:

noris helmi nordin berkata...

Tahniah juga kepada En Shamsuri sebagai Setiausaha Kehormat Lembaga MAS kerana bekerja keras untuk membina keyakinan orang kampung terhadap Lembaga MAS. Dan beliau nampak sangat berminat. Mudahan beliau dipimpin Allah SWT untuk membuat yang terbaik untuk orang kampung.