KAMPUNG BARU : JAUH LAGIKAH PEMBANGUNANNYA?...

2/05/2009 10:53:00 PTG at 2/05/2009 10:53:00 PTG

Oleh Rohana Mustaffa

Bahagian 3 daripada 6 siri rencana Kampung Baru

KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Beliau pernah dikecam hanya kerana menyebut "hendak membangunkan Kampung Baru", pernah kecewa setelah tiga tahun berusaha cuba membangunkannya, dan pernah membawa rajuknya ke Universiti Kebangsaan Malaysia membuat tesis mengenainya dalam usaha membuka mata orang Melayu Kampung Baru untuk maju. Namun, semangat Datuk Seri Dr Suleiman Mohamed, nama yang sinonim dengan Kampung Baru Kuala Lumpur, tidak pernah luntur untuk melihat kampung ini maju dan setaraf dengan kawasan sekelilingnya. "Mata saya akan lelap, tertutup rapat bila mati nanti jika Kampung Baru dibangunkan," katanya kepada Bernama ketika membincangkan rancangan pembangunan Kampung Baru di bawah pelan pembangunan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020.



Begitulah sentimen beliau terhadap Kampung Baru. Dr Suleiman, Ketua Umno Bahagian Titiwangsa dikecam hebat ketika pertama kali membentangkan kertas kerja mengenai pembangunan Kampung Baru pada Konvensyen Umno Bahagian Setapak, 1982. Mantan Timbalan Menteri Penerangan dan anggota Parlimen Titiwangsa ini juga pernah kecewa kerana usahanya selama tiga tahun sejak 1990 untuk membangunkan Kampung Baru gagal kerana tidak mendapat sokongan semua pihak walaupun direstui perdana menteri ketika itu Datuk Seri (Tun) Dr Mahathir Mohamad yang melantiknya Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Semula kampung berkenaan. Antara usahanya ialah mengadakan pelbagai perjumpaan dengan seramai 1,923 tuan tanah kampung ini dan jawatankuasa itu pernah mengemukakan pelan tempatan pembangunan di situ, namun kata sepakat tidak dapat dicapai dan akhirnya penyelesaian menemui jalan buntu. Dr Suleiman kemudian membawa rajuknya ke Universiti Kebangsaan Malaysia, melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah doktor falsafah (Ph.D) dengan menghasilkan tesis bertajuk "Transformasi Sosial Melayu Bandar", hasil penyelidikan yang dijalankannya di Kampung Baru dan menulis buku mengenai kampung ini.

ASAL JOHOR NAMUN JIWANYA TETAP DI KAMPUNG BARU

Walaupun dilahirkan di Johor Baharu pada tahun 1947, beliau membesar di Jalan Mahmud Kampung Baru dan sehingga kini sinonim sebagai anak Kampung Baru. Beliau pernah menjadi anggota Parlimen Titiwangsa selama tiga penggal. Haji Khatib Koyan, Penghulu Gombak yang kawasan jajahannya dari Batu 2 (kini Chow Kit) hingga ke Gombak, adalah datuk Dr Suleiman yang suka memburu di Kampung Baru, dan antara pemimpin awal kawasan petempatan Melayu di tengah-tengah ibu kota ini. Justeru, sebuah jalan di kampung kini diabadikan dengan nama beliau. Bagi Dr Suleiman yang begitu bersemangat apabila bercakap mengenai Kampung Baru, entiti Melayu di Kuala Lumpur yang sudah berusia 110 tahun ini, kampung ini boleh dibangunkan jika ada semangat politik yang serius yang dilandaskan kepada perubahan minda. "Pernah suatu hari saya ternampak beberapa bas pelancong menyusuri pinggir Kampung Baru, di kawasan setinggan Kampung Chendana dan mereka sibuk mengambil gambar."

Bayangkanlah kawasan Melayu di ibu kota hanya setaraf setinggan di mata pelancong sedangkan ia bersebelahan dengan kawasan segi tiga emas. Sampai bila kita nak biarkan Kampung Baru macam ni? Inikah taraf Kampung Baru?, Setinggan di tengah-tengah Kuala Lumpur," tanya beliau. Dr Suleiman mencadangkan Perbadanan Kampung Baru ditubuhkan sepertimana Perbadanan Putrajaya atau Perbadanan Labuan yang boleh menjadi pusat sehenti menyelesaikan pelbagai masalah hak milik dan pelan pembangunan. "Pemilik tanah perlu realistik semasa membuat tuntutan nilai tanah, hak milik tanah beramai hendaklah diselesaikan cara elok dan halangan undang-undang kecil Malay Agriculture Settlement (Petempatan/Tanah Pertanian Melayu) mengenai pentadbiran tanah di Kampung Baru perlu dihapuskan," kata Dr Suleiman.

Para pemilik tanah Kampung Baru juga lebih yakin kalau usaha pembangunan ini dilakukan oleh kerajaan berdasarkan pengalaman sesetengah mereka yang ditipu oleh invididu atau syarikat sebelum ini, semuanya atas alasan "ingin membangunkan Kampung Baru".

PENDUDUK PERNAH DITIPU, HAKMILIK TANAH TERGADAI

Beliau menceritakan bagaimana 44 keping tanah Kampung Baru pernah tergadai selepas seorang ahli korporat/politik memujuk pemilik menyerahkan tanah kepadanya untuk dimajukan, sedangkan tanah itu dicagar bagi membiayai projeknya di tempat lain, yang kemudian gagal. Nikmat yang diperoleh tuan tanah hanyalah tambang pergi menunaikan haji yang diberikan tokoh korporat itu sebelum tanah mereka tergadai, menurut Dr Suleiman. MAS Melayu Berhad, satu konsortium 11 syarikat Melayu, yang ditubuhkan selepas Dr Mahathir membubarkan jawatankuasa pimpinan Dr Suleiman, turut gagal membangunkan Kampung Baru kerana mereka hanya mampu membeli kelompok-kelompok berasingan tanah disebabkan tuntutan harga tinggi tuan tanah dan pemilikan tanah beramai, adakalanya lebih 20 penama untuk tanah tidak sampai 0.2 hektar.

Dr Suleiman menyarankan supaya dihapuskan undang-undang MAS yang menyekat penyewaan hartanah Kampung Baru kepada bukan Melayu (tanah masih milik Melayu) bagi memudahkan kemasukan modal, dan tanah milik beramai dinilai dan dibahagikan dalam bentuk saham kepada tuan punya supaya mereka akan menikmati keuntungannya dalam jangka panjang. Nilai tanah juga hendaklah seimbang tanpa mengira tanah yang diambil sama ada untuk kawasan taman rekreasi, perumahan atau industri untuk berlaku adil kepada semua pemilik tanah. Bagi yang boleh mencapai kata sepakat, katanya, patut digalakkan menubuhkan syarikat sendiri, seperti mana adik beradik beliau seramai lapan orang yang menubuhkan syarikat menguruskan sebidang tanah mereka di Jalan Mahmud. Pembahagian keuntungan adalah dalam bentuk saham. "Sudah tiba masanya Kampung Baru dibangunkan secara harmoni dengan semangat politik yang kuat dan penduduk atau pemilik tanah pula terbuka untuk menerima perubahan," katanya mengulas Draf Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 yang menyediakan rancangan pembangunan menyeluruh Kampung Baru itu oleh DBKL.

PENDUDUK TUNTUT HARGA TINGGI

Datuk Abdul Rahim Mohd Ibrahim pula merupakan pemilik Plaza RAH di Jalan Raja Abdullah, satu-satunya bangunan 300 unit kondominium setinggi 23 tingkat yang berdiri megah di tengah-tengah Kampung Baru.Beliau membangunkan tanah keluarga sebanyak dua lot bersama tiga lot tanah sebelah yang dibeli daripada Dewan Perniagaan Melayu Malaysia dan satu lot lagi tanah jiran yang menjadikan kawasan yang dibangunkan seluas 0.48 hektar. Purata harga tanah yang dibeli ialah RM150 kaki persegi sementara nilai kasar pembangunan Plaza RAH semasa pelancarannya pada 2005 ialah lebih RM60 juta termasuk kos tanah. "Kami jual seunit kondominium tiga bilik tidur, dua bilik mandi dan dua dapur dari RM170 kaki persegi atau nilainya antara RM177,540 hingga RM284,759," katanya dan 50 peratus unit dijual sebaik pelancarannya. Kini unit kondominium yang masih ada untuk dijual bernilai lebih RM300,000 seunit. Ada sebuah restoran makanan Barat di tingkat bawahnya, Hale's Kitchen, (sempena nama lama Jalan Raja Abdullah), usaha Abdul Rahim memperkenal konsep ruang makan kemas dan selesa.Abdul Rahim berkata beliau tidak menghadapi masalah semasa mendapatkan kelulusan membangunkan tanah itu kerana semua pihak memberikan kerjasama dari segi serah kuasa tanah hinggalah kepada hak milik strata.

Baginya masalah yang sering menjadi halangan untuk sesuatu hartanah itu dimajukan di Kampung Baru ialah sikap pemilik yang mahukan keuntungan berlebihan. "Contohnya pemaju baru sahaja menawarkan harga, pemilik sudah pun mengira keuntungan pemaju itu dan kerana itu dia mahukan yang lebih sekurang-kurangnya antara RM3 sehingga RM6 juta"."Mereka tidak fikir mengenai syarat tanah Melayu Kampung Baru mesti dibeli orang Melayu dan mesti dijual hanya kepada orang Melayu. Kalau sudah dijual kepada pemaju Melayu pada harga sebegitu tinggi, berapa pula pemaju itu hendak jual untuk dapatkan semula modal atau keuntungan, dan berapa pula harga yang mampu dibeli oleh orang Melayu lain?". Beliau juga tidak setuju sekiranya DBKL dalam pelan pembangunannya melarang bangunan tinggi dimajukan di Kampung Baru kerana kalau kawasan sekelilingnya dipenuhi bangunan pencakar langit, kenapa tidak di Kampung Baru? Dr Suleiman yang menyifatkan Plaza RAH sebagai pemangkin kepada pembangunan Kampung Baru, berkata plaza itu adalah bukti bahawa segalanya mungkin sekiranya penduduk mencapai kata sepakat.

Kondominium itu ialah antara contoh pembangunan yang wajar diikuti orang lain di Kampung Baru, seperti juga Menara Naza dan kawasan sekitarnya yang dimajukan allahyarham Tan Sri S.M Nasimuddin, seorang lagi tokoh korporat Melayu yang memilih Kampung Baru sebagai pusat operasinya.

PEMBANGUNAN KAMPUNG BARU HENDAKLAH BERPERINGKAT

Setiausaha Kehormat Lembaga Pentadbiran MAS Shamsuri Suradi, turut mencadangkan pembangunan di Kampung Baru dilaksanakan secara berperingkat. "Bangunkan satu kawasan dulu, kalau berjaya, boleh dijadikan contoh untuk majukan sekelompok kawasan lagi. Ini bagi mengelakkan pembangunan secara menyeluruh daripada gagal dan legasi Kampung Baru terhapus," katanya. Beliau memberi contoh kegagalan 44 lot tanah dimajukan oleh seorang tokoh korporat, kegagalan MAS Melayu Berhad dan pembangunan Bandar Wawasan di Jalan Sultan Ismail. "Ini semua menakutkan pemilik tanah dan penduduk yang sayangkan Kampung Baru. Mereka patut diajak berbincang mengenai satu-satu kawasan yang mahu dibangunkan dan bagaimana masalah tuntutan tanah boleh diselesaikan," katanya. Anggota Parlimen Titiwangsa Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali sebagai penasihat Badan Bertindak Pembangunan Kampung Baru yang turut meneliti draf pembangunan Kampung Baru itu sebelum ini berkata: "Bagi orang Kampung Baru, yang paling penting mereka mahu hak mereka terjaga, mereka mesti menjadi sebahagian daripada pembangunan dan mereka diberi peluang menentukan konsep pembangunan yang mereka mahukan.""Saya berharap semua pihak jujur dalam menyelesaikan isu ini," katanya.

Anak jati Kampung Baru, Abdul Rahman Hussin tidak mahu pembangunan yang dilakukan menyebabkan penduduk asalnya terpinggir. "Saya lahir dan membesar di sini. Kalau boleh memang tidak mahu pindah ke mana-mana. Rumah yang saya tinggal sekarang ini adalah rumah pusaka yang diperturunkan moyang saya, jadi saya mahu ia kekal selama-lamanya di sini," kata penduduk yang menetap di Jalan Raja Muda Musa. Menurutnya, sungguhpun DBKL mengadakan beberapa perjumpaan dengan penduduk kampung mengenai draf pembangunan Kampung Baru itu, tetapi ia sekadar membentangkan pelan yang sudah tersedia.

PENDUDUK TIDAK MENOLAK PEMBANGUNAN

Nor Faridah Abdul Rashid, seorang lagi anak Kampung Baru yang lahir dan masih menetap di sini berharap pembangunan yang dilaksanakan tidak menghilangkan ciri-ciri sejarah dan warisan Kampung Baru. Beliau tidak menolak pembangunan, kerana sudah melihat kemajuan satu persatu bangunan tinggi didirikan di sekeliling kampung ini, dan Kampung Baru seperti ditinggalkan. "Pembangunan di Kampung Baru tidak boleh mengabaikan pemilik tanah," kata Nor Faridah, seorang profesional. Beliau yang tinggal di rumah pusaka keluarganya di Kampung Periuk di Jalan Dewan Sultan Sulaiman berkata walaupun menjadi kawasan baru yang moden kelak, diharapkan ciri-ciri kampung yang menjadi tarikan pelancong akan dikekalkan. Lain pula kisahnya dengan Sutiah Ahmad yang menduduki sebuah rumah kayu di Jalan Raja Muda Musa sejak 80 tahun lalu di mana sebidang tanah seluas 0.4 hektar dibahagi dua dengan adiknya yang turut menetap di situ.

Sepanjang tinggal di rumah pusaka itu, pelbagai peristiwa bersejarah dilaluinya dan antara yang meninggalkan kesan ialah Zaman Pendudukan Jepun, Peristiwa 13 Mei dan banjir besar Kampung Baru. "Disebabkan dari kecil sudah tinggal di sini, saya tidak berhasrat meninggalkan rumah ini. Kalau boleh, biarlah ia kekal seperti hari ini sampai bila-bila. Biarlah anak cucu saya tahu rupa bentuk asal rumah ini".

KAMPUNG BARU DEKAT DI HATI ALMARHUM SULTAN SELANGOR

Malah rumah kayu ini juga pernah dikunjungi Almarhum Yang di-Pertuan Agong ke-11 Sultan Sallahuddin Abdul Aziz Shah kerana "baginda pernah bermain di sini sewaktu zaman kanak-kanaknya," katanya. Sultan Salahuddin melawat Kampung Baru pada 5 Sept 1999 sempena 100 tahun pembukaan kampung ini. Seri Paduka juga pernah menjamu rombongan penduduk Kampung Baru di Istana Negara, dan menurut Dr Suleiman, pada pertemuan itu Almarhum menawarkan sebuah kawasan di Putrajaya untuk dihuni penduduk Kampung Baru bagi membolehkan kampung ini dimajukan. Jalan Raja Muda Musa yang terletaknya Pasar Minggu Kampung Baru sedang dalam proses dibangunkan, namun sekumpulan peniaga di situ masih bertahan walaupun sudah menerima tiga surat pemberitahuan untuk berpindah ke kawasan baru di Kampung Baru Air Panas.

Mereka khuatir akan kehilangan pelanggan tetapi akur bahawa pembangunan tidak dapat tidak akan berlaku dan yang menjadi kegusaran mereka ialah sama seperti penduduk lain Kampung Baru, mereka mengharapkan kemajuan di kampung ini tidak akan meminggirkan mereka. Mereka masih mahu menjadi sebahagian penduduk Kampung Baru yang baru wajahnya.

-- BERNAMA

(Rencana ditulis dengan kerjasama Nurul Halawati Mohamad Azhari)

0 comments: