PETIKAN DARI PARLIMEN PADA TAHUN 2006

11/11/2008 10:17:00 PTG at 11/11/2008 10:17:00 PTG

DEWAN RAKYAT
PARLIMEN KESEBELAS
PENGGAL KETIGA
MESYUARAT KEDUA
Bil. 36 Selasa 27 Jun 2006

Datuk Haji Astaman bin Abdul Aziz [Titiwangsa] minta Perdana Menteri menyatakan apakah status tanah Kampung Baru Kuala Lumpur yang tidak mempunyai geran hak milik serta menerangkan sama ada peraturan Penempatan Pertanian Melayu 1951 (Malay Agricultural Settlement Rules 1951), Warta Negeri Selangor No. 50/1951, masih lagi berkuat kuasa pada hari ini setelah mengambil kira Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 1974 yang telah memindah milikBandar raya Kuala Lumpur dari Kerajaan Negeri Selangor kepada Kerajaan Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri [Dato' Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz]: Tuan Yang di-Pertua, The Malay Agricultural Settlement (MAS) Kampung Baru Kuala Lumpur adalah merupakan satu kawasan penempatan pertanian bagi orang-orang Melayu di Kampung Baru Kuala Lumpur yang diwujudkan melalui perizaban di bawah seksyen 6 Enakmen Tanah 1897 sebagai The Malay Agricultural Settlement seluas lebih kurang 221.5 ekar. Bagi mengawasi tanah-tanah ini secara teratur, pada tahun 1950 telah diwujudkan pula by law bagi MAS ini iaitu The Malay Agricultural Settlement Kuala Lumpur Rules 1951 dan juga peraturan (Pindaan) 1994 melalui kuasa Land Code 1962, CAP 138, seksyen 246 (4). Mulai tahun 1964, Kerajaan Negeri Selangor telah mula meluluskan pengeluaran hak milik bagi tanah-tanah di dalam kawasan ini. Exercise tersebut diteruskan oleh Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mulai tahun 1974, apabila Kuala Lumpur diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan sehingga sekarang. Dari segi bilangan lot yang terdapat di Kampung Baru adalah seperti berikut:
(i) lot untuk kediaman - 835;
(ii) lot bagi padang ataupun kawasan lapang ialah empat lot;
(iii) masjid satu lot dan
(iv) untuk surau ada lima lot.
Daripada 835 lot kediaman, sebanyak 827 lot telah dikeluarkan hak milik dan bakinya di dalam pertimbangan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Bagi tapak surau dan kawasan lapang, hak milik belum dikeluarkan lagi. berhubung dengan persoalan sama ada Peraturan Penempatan Pertanian Melayu 1951, (The Malay Agricultural Settlement Rules 1951), Warta Negeri Selangor No. 50/1951 masih lagi berkuat kuasa. Jabatan Peguam Negara memaklumkan bahawa mengikut seksyen 6 Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 1974, Akta A 2006, “Mana-mana undang-undang bertulis yang sedia ada dan sedang berkuat kuasa dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hendaklah terus berkuat kuasa dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sehinggalah undang-undang bertulis itu dimansuhkan, dipinda atau digantikan oleh undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen”. Seksyen tersebut juga memperuntukkan bahawa, “Apa-apa fungsi atau kuasa yang terletak hak kepada raja bagi negeri Selangor atau pada mana-mana pihak berkuasa negeri, itu oleh mana-mana undang-undang yang sedia ada berhubung dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hendaklah terletak hak itu kepada dan dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong atau Menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah Persekutuan atau mana-mana orang atau pihak berkuasa lain yang diarahkan oleh Yang di-Pertuan Agong melalui perintah”. Dengan itu, selagi kaedah-kaedah Peraturan Penempatan Pertanian Melayu 1951 tidak dibatalkan atau digantikan dengan undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen, kaedah-kaedah itu masih lagi berkuat kuasa pada hari ini.

Datuk Haji Astaman bin Abdul Aziz: Terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri. Memandangkan jawapan demikian, saya hendak tahu sama ada pihak DBKL yang mempengerusikan Majlis MAS itu adalah sahih daripada segi undang-undang atau tidak.
Dato' Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz: Tuan Yang di-Pertua, seperti mana yang telah saya sebut sebentar tadi iaitu di bawah akta ini, kalau sekiranya sebelum ini iaitu Kuala Lumpur diletak di bawah negeri Selangor, kalau disebutkan bahawa hak itu terletak kepada raja bagi negeri Selangor atau mana-mana pihak berkuasa negeri itu oleh mana-mana undangundang yang sedia ada berhubung dengan Wilayah Persekutuan, maknanya di Wilayah Persekutuan ini sekarang ini, yang berhak ialah Yang di-Pertuan Agong dan juga Menteri Wilayah Persekutuan. Jadi kalau sekiranya Dato’ Bandar yang mempengerusikan MAS, maka itu adalah sah kerana mengikut undang-undang ini, kuasa itu telah dipindah daripada mereka yang berkuasa di negeri Selangor kepada sekarang ini, mereka yang berkuasa di Wilayah Persekutuan.

6 comments:

noris helmi nordin berkata...

Saya pun ada membaca keterangan jelas dari Parlimen akan kedudukan Kg Baru berdasarkan undang-undang M.A.S.ini. Ini jelas menunjukkan sebarang pembangunan yang hendak dilaksanakan tertakluk kepada peruntukan undang-undang M.A.S. ini. Adakah pihak berwajib merujuk kepada peruntukan enakmen dan pentadbir Lembaga M.A.S. sebelum apa-apa cadangan di buat? Bagaimana dengan kedudukan bangunan-bangunan tinggi yang jelas melanggar undang-undang terkandung dalam enakmen ini?

noris helmi nordin berkata...

Tapak surau dan kawasan lapang belum ada hak milik? Mungkin pengusaha blog yang budiman boleh senarai kan tanah-tanah ini dalam ruangan komen ini?

KAMPONG BAHARU........ KAMPUNG KU berkata...

PELBAGAI CERITA BERKISAR DENGAN ENAKMEN INI ADA YANG MENGATAKAN BAHAWA TANAH KAMPUNG BARU TIDAK BOLEH DIBINA DENGAN BANGUNAN TINGGI BAGI MENJAGA KEINDAHAN KAMPUNG BARU. ADA JUGA MENGATAKAN TANAH DIKAMPUNG BARU MEMPUNYAI PAJAKAN 99 TAHUN. ADA YANG MENDAKWA TANAH KAMPUNG BARU TIDAK BOLEH DIMILIKI ATAU DISEWA OLEH BANGSA ASING TERMASUK PENDATANG ASING. TAPI KINI KITA LIHAT ADA SEGELINTIR BANGSA YANG DILARANG INI MENJALANKAN PENIAGAAN MEREKA DI KAMPUNG BARU. TIDAK DINAFIKAN PIHAK MAS TIDAK MEMBUAT PENELITIAN TERHADAP ISU INI.

noris helmi nordin berkata...

mungkin pihak tuan pengusaha blog boleh menjelaskan perkara sebenar dengan menemuramah pihak MAS untuk makluman ramai. Dan kenapa mereka tidak dapat bertindak.

noris helmi nordin berkata...

Atau tunggu kerajaan announce/martabatkan enakmen tu secara terbuka baru senang nak kuat kuasakan. Sekarang seolah-olah tiada siapa yang nak pedulikan enakmen ini kecuali mereka yang faham dan jelas.

noris helmi nordin berkata...

Sebenarnya orang ramai keliru kaitan Undang-undang M.A.S. dengan Lembaga Pentadbiran M.A.S.
Kekeliruan orang ramai di tambah lagi dengan merujuk terus kepada pihak DBKL sebagai sumber rujukan utama. Di dalam enakmen tu kalau di baca tiada langsung menyebut DBKL sebagai pihak yang meluluskan pembangunan, mengeluarkan lesen, menyaman dll. Yang faham kaitannya akan faham, yang tak faham akan terus keliru dengan pandangan yang berbeza-beza. Mungkin tuan punya blog boleh memainkan peranan yang ikhlas demi membantu menjelaskan kepada orang ramai agar mereka tidak keliru dan lebih jelas akan kedudukan dan kaitannya dua perkara asas yang penting untuk Kg Baru ini.