SEJARAH WUJUDNYA LEMBAGA PENTADBIR KAMPONG BHARU (M.A.S)

11/19/2008 01:30:00 PTG at 11/19/2008 01:30:00 PTG

LEMBAGA PENTADBIR KAMPONG BHARU KUALA LUMPUR
DI AMBIL DARI ARKIB NEGARA

Tarikh Siaran: 12.01.2000
Tarikh Peristiwa: 12.01.1900

Kampong Baru Kuala Lumpur yang terletak di tengah-tengah kesibukan ibu kota adalah merupakan perkampungan Melayu yang telah lama diwujudkan. Penubuhannya banyak menceritakan tentang sejarah perjuangan orang-orang Melayu dari zaman penjajahan Inggeris sehinggalah zaman memperjuangkan kemerdekaan.
Penubuhannya bermula pada hari ini apabila satu Warta Kerajaan Negeri Selangor No. 20 bertarikh 12 Januari 1900 dikeluarkan mengenai `The Malay Agricultural Settlement' dan pada tarikh yang sama satu lembaga untuk mentadbirkannya dilantik. Perlantikan Ahli Lembaga Malay Agricultural Settlement telah dibuat oleh Pemangku Resident British pada masa itu H. Conway Belfield.
Lembaga ini dipengerusikan oleh Raja Muda, Naib Pengerusi D.G. Campbell dan ahli-ahli lain ialah J.H. M. Robinson, A. Hale dan Tamby Abdullah. Mengikut Warta Kerajaan Negeri Selangor tersebut, Lembaga Pentadbir ini adalah bertanggungjawab kepada Residen British bagi menguruskan pentadbiran Kampong Bharu yang luas kawasannya lebih kurang 89.63 Hekter. Luas kawasan ini kemudiannya telah dipinda kepada lebih kurang 89 hekter sahaja.
Pindaan ini telah diwartakan di dalam Warta Kerajaan No. 530 bertarikh pada 20 September 1901.Di antara tugas-tugas Lembaga Pentadbir Kampong Bharu ini adalah:
1. Lembaga Pentadbir ini boleh membenarkan sesiapa saja yang berbangsa Melayu memohon untuk tinggal di Kampong Bharu. Luas kawasan yang diperuntukkan adalah tidak melebihi 0.8 hekter bagi tiap-tiap seorang pemohon.
2. Adalah hak Lembaga Pentadbir mengarahkan penduduk Kampong Bharu ini agar mengerjakan tanah mereka serta menjaganya terutama- nya dari segi kawalan kebersihan.
3. Lembaga Pentadbir berhak mengarahkan anak-anak penduduk Kampong Bharu belajar di sekolah-sekolah yang telah dipilih oleh Lembaga, Penduduk yang engkar boleh diperintah pindah.
4. Penduduk yang ingin pindah dari Kampong Bharu ke tempat lain boleh memberikan lot tempat tinggalnya kepada orang lain dengan mendapat kelulusan dari pihak Lembaga Pentadbir.
Oleh itu dengan tertubuhnya Lembaga Pentadbir Kampong Baru maka kawasan penempatan pertanian di Kuala Lumpur ini telah dapat dimajukan.
Skrip: SULASTERI ABD. HAMID
Sumber: Warta Kerajaan Selangor 1900
Hak Cipta Terpelihara Arkib Negara Malaysia
DARI LAMAN WEB ARKIB NEGARA
Pada hari ini dalam tahun 1900, Warta Kerajaan Negeri Selangor Bil. 20 mengenai ‘The Malay Agricultural Settlement’ dibawah Seksyen 6, Land Enactment 1897 telah diterbitkan. Malay Agricultural Settlement (M.A.S) atau Kampung Baharu ini merupakan Penempatan Perkampungan Rezab Melayu yang telah diwujudkan pada tahun 1897 dengan tujuan menggalakkan pertanian, kesenian dan pertukangan tangan dikalangan orang Melayu. Berikutan dengan penerbitan warta ini satu Lembaga Pentadbiran telah dibentuk dengan Raja Muda di lantik sebagai Pengerusi dan D.G. Campbell sebagai Naib Pengerusinya. Manakala ahli-ahli Lembaga yang lain pula ialah J.H.M. Robinsin, A. Hale dan Tamby Abdullah. Perlantikan Lembaga Pentadbiran ini telah dibuat oleh Pemangku Residen British H. Conway Belfield. Lembaga Pentadbiran (M.A.S) telah diberi kuasa penuh untuk meluluskan pemberian lot-lot kediaman yang tidak melebihi 0.8 hektar bagi setiap permohonan. Antara lain tugas Lembaga Pentadbir Kampung ialah mengarahkan penduduk Kampung Baharu agar mengerjakan tanah mereka serta menjaganya terutamanya dari segi kawalan kebersihan. Selain daripada itu Lembaga ini juga menyimpan rekod-rekod pendaftaran penduduk yang telah diluluskan serta permohonan termasuk butir-butir mengenai pertukaran dan pindah milik secara syariah.

2 comments:

noris helmi nordin berkata...

Maknanya , tanah kat kampung baru tu semuanya di bawah Lembaga MAS? Tiada pemilik individu mutlak? Sebab siapa yang nak keluar boleh bagi lot tu kat orang lain dengan persetujuan Lembaga MAS.

KAMPONG BAHARU........ KAMPUNG KU berkata...

semua syarat ini adalah semasa penubuhan Lembaga MAS. tapi sekarang tak dapat dipastikan kesahihan satus tanah kampung baru. berkaitan perkara sensitif tanah ini hanya pihak MAS sahaja yang mengetahui.