Pembangunan Kampung Baru : Penduduk Pilih Kerajaan Selangor

8/28/2008 07:44:00 PTG at 8/28/2008 07:44:00 PTG

Rintihan penduduk Kampung Baru Kuala Lumpur berhubung mekanisme pembangunan kawasan tanah mereka yang dicadangkan dalam Draf Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 mendapat perhatian Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo’Lo’ Mohamad Ghazali.



Walaupun ada pihak berpendapat isu itu dijadikan permainan politik untuk kepentingan pihak tertentu, Dr Lo’Lo’ menyifatkan sudah menjadi tanggungjawab beliau sebagai wakil kepada penduduk Kampung Baru untuk membawa suara penduduk-penduduk kampung.Mengikut laporan dalam draf pelan itu, Kampung Baru yang berkeluasan 378.93 ekar terdiri daripada dua kawasan iaitu kawasan Malay Agricultural Settlement (MAS) dan kawasan luar MAS.Keluasan kawasan MAS adalah 225.89 ekar, terdiri daripada 874 buah lot melibatkan tujuh buah kampung iaitu Kampung Periok, Kampung Masjid, Kampung Atas A, Kampung Atas B, Kampung Hujong Pasir, Kampung Paya dan Kampung Pindah.
Sementara kawasan luar MAS pula dianggarkan seluas 153.04 ekar dengan 918 lot terdiri daripada lima kawasan iaitu Chow Kit, Dang Wangi, Sultan Ismail, Kampung Sungai Baru dan Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).Bagaimanapun draf yang dikemukakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu disifatkan penduduk, tidak mengambil kira suara mereka. Ada yang berpendapat DBKL tidak mendapatkan pendapat penduduk kampung sebelum merangka cadangan itu.Apa yang menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penduduk ialah mekanisme pembangunan yang dirancang seolah-olah membelakangkan hak penduduk Kampung Baru.Antara pendekatan yang dicadangkan menurut draf berkenaan, dalam pelaksanaan pembangunan tanah Kampung Baru, dalam kes tanah-tanah MAS, pemilik-pemilik yang kesemuanya Melayu mesti menggunakan tanah milik mereka sebagai kekuatan yang sedia ada supaya dapat membangunkan tanah-tanah mereka dengan segera dan digunakan secara optima.
“Masyarakat Melayu tidak boleh membiarkan harta yang dimiliki dipeti sejukkan manakala bangsa lain berkembang memajukan tanah mereka. Orang Melayu hendaklah mengubah paradigma pemilikan hartanya secara ‘sentimental’ kepada yang lebih praktikal,” menurut draf itu.Ia turut mengesyorkan tanah-tanah MAS yang masih belum dibangunkan dan yang telah dikenalpasti untuk dibangunkan dilaksanakan oleh satu badan kerajaan atau syarikat kerajaan (GLC).Beberapa cadangan kaedah digariskan dalam pelaksanaan strategi itu antaranya mengambil balik tanah-tanah MAS yang telah dikenalpasti di bawah Seksyen 3 (1) (b) APT 1960. Pemilik-pemilik tanah boleh memilih sama ada ingin menerima pampasan dalam bentuk wang tunai atau sebahagian wang tunai dan sebahagian harta tanah yang hendak dibangunkan oleh pemaju.Bagaimanapun, satu lagi mekanisme pengurusan dan pelaksanaan melibatkan satu lagi pendekatan di kawasan pengekalan pemilikan tanah melibatkan kawasan MAS dan luar MAS.
Bagi kawasan MAS, kaedah yang dicadangkan ialah pembangunan mengikut lot, pembangunan tanah bersepakat dan Transfer of Development Right (TDR).Sementara bagi kawasan luar MAS, kaedah yang dicadangkan ialah Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) dan pembangunan tanah bersepakat.Lantaran itu, penduduk menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap antara mekanisme pembangunan yang dicadangkan dalam draf itu dan membawa perkara itu untuk perhatian Dr Lo’Lo’.Menurut Dr Lo’Lo’, walaupun Kampung Baru telah diambil alih secara pentadbirannya oleh Wilayah Persekutuan, namun tanahnya masih kekal di bawah peraturan Malay Agricultural Settlement atau MAS yang mana Yang Dipertuanya adalah Menteri Besar Selangor.Justeru dalam satu majlis penerangan dengan penduduk kampung pada 3 Ogos lalu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah dijemput mengadakan sesi dialog.Dr Lo’Lo’ menafikan yang isu Kampung Baru ini dipolitikkan dan sengaja meminta campur tangan kerajaan negeri Selangor.
“Mereka yang mengatakan Menteri Besar Selangor hendak campur tangan itu maknanya mereka orang yang buta sejarah. Sejarah Selangor dengan Kampung Baru ini adalah satu sejarah yang sangat panjang dan termaktub dalam Enakmen Tanah Selangor yang masih lagi kekal dan tidak pernah dimansuhkan,” katanya.Katanya, penduduk sendiri menawarkan kerajaan negeri Selangor membangunkan kampung mereka berdasarkan rekodnya yang terbukti pernah membangunkan Kampung Baru.“Jadi orang Kampung Baru ini yang paling penting mereka mahu, yang pertama hak mereka terjaga, yang keduanya mereka mesti menjadi sebahagian daripada pembangunan dan ketiganya mereka diberi peluang menentukan konsep pembangunan yang mereka mahukan,” ujar beliau.Dr Lo’Lo’ memberitahu Badan Bertindak Pembangunan Kampung Baru telah ditubuhkan anak-anak kampung itu.
Beliau selaku penasihat berharap badan itu dapat menentukan konsep pembangunan yang akan memberi manfaat secara langsung kepada penduduk kampung.“Saya berharap semua pihak jujur dalam menyelesaikan isu ini termasuklah yang mengatakan hendak memastikan kepentingan orang Melayu. Kita harap perkara ini tidak menjadi permainan lidah sebab penduduk di sini sudah menghadapi pelbagai cabaran dan situasi seperti ini sejak dahulu lagi.“Saya juga percaya dengan keikhlasan Tan Sri Abdul Khalid sebagai Menteri Besar dan YDP MAS serta pengerusi PKNS yang penduduk boleh letakkan kepercayaan,” katanya.
Dalam pertemuan dengan penduduk Kampung Baru, Dato’ Menteri Besar Selangor menyatakan kesediaan membantu penduduk mencari jalan terbaik dalam pelaksanaan pembangunan di kampung itu.Dalam sesi dialog hampir dua jam di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru, Abdul Khalid juga mengumumkan yang PKNS melalui unit perancangannya akan membantu Dr Lo’Lo’ membuat kajian dan cadangan berhubung pembangunan di kampung itu.Melalui PKNS, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM50,000 untuk kajian berkenaan yang dijangka siap dalam tempoh sebulan.Langkah Selangor membantu penduduk Kampung Baru bagaimanapun disalah anggap sesetengah pihak sebagai berunsur politik dan campur tangan.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique dilaporkan berkata kenyataan Tan Sri Abdul Khalid itu tidak akan membantu menjayakan pembangunan Kampung Baru malah akan menimbulkan kekeliruan.Manakala Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M.Saravanan pula mahu Dato’ Menteri Besar menumpukan perhatian untuk menyelesaikan masalah di Selangor, bukan cuba bermain politik dengan menawarkan diri untuk menyelesaikan masalah penduduk Kampung Baru.


Namun begitu penduduk yang ditemui berpendapat kerajaan negeri Selangor tidak campur tangan dalam isu itu sebaliknya mereka sendiri yang menawarkan kerajaan negeri membantu membangunkan Kampung Baru melalui anak syarikatnya, PKNS.Menurut mereka, rekod baik yang ditunjukkan PKNS dalam pembangunan beberapa kawasan perumahan di situ memberi keyakinan kepada penduduk untuk PKNS memajukan kawasan mereka.Azhar Hashim, 47, yang sudah menetap di Kampung Baru sejak lahir berkata tidak timbul soal campur tangan kerana penduduk mempunyai alasan untuk memilih kerajaan negeri.

“Kami penduduk Kampung Baru yang menawarkan kepada kerajaan negeri untuk membangunkan Kampung Baru. Tidak timbul soal campur tangan dan sebagainya. Tanyalah kepada penduduk kenapa kami memilih kerajaan negeri.“Sejarah juga menunjukkan yang kerajaan negeri terbukti pernah membangunkan Kampung Baru dengan rekod yang baik. Kita berhasrat kerajaan negeri melalui PKNS dapat membangunkan kampung ini,”ujar Azhar.Beliau juga kecewa apabila draf berkenaan dibuat tanpa mendapat pandangan penduduk Kampung Baru terlebih dahulu yang juga menyebut beberapa badan yang dicadangkan untuk melaksanakan pembangunan tersebut.“Kenapa draf ini penduduk kampung kena beli dengan harga RM50, padahal tanah kami hendak dibangunkan dan kami langsung tidak diberitahu. Tiba-tiba saja draf pembangunan ini dikeluarkan dan sudah sampai 4 jilid,” soal Azhar.

Beliau berkata selain yakin dengan kemampuan kerajaan negeri Selangor, pihaknya curiga dengan pihak-pihak tertentu yang mendakwa dapat membangunkan kampung itu.“Mereka mempunyai kepentingan sendiri. Apa yang dijanjikan mereka nampak cantik di atas kertas sedangkan mereka tidak berupaya, kalau tidak 20 tahun lalu mereka sudah bangunkan Kampung Baru,” tambahnya.Menurut Azhar, tidak timbul persoalan penduduk kampung hendak menjual tanah mereka seperti yang diwar-warkan pihak luar. “Soal yang penting ialah bagaimana hendak membangunkan kampung ini, tetapi pihak luar hari ini lebih cenderung membincangkan nilai harga tanah di sini, itu yang mereka risaukan. “Orang Kampung Baru tak bincangkan perkara ini, mereka lebih berminat nak tahu bagaimana Kampung Baru dapat dibangunkan,” katanya.Zakaria Yahaya, 62, juga menyambut baik komitmen kerajaan negeri membantu penduduk Kampung Baru.Jelas Zakaria, antara perkara yang menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pewaris ialah draf yang dikeluarkan itu agak mengelirukan.

“Pewaris pun tak mampu baca draf itu, kalau betul-betul hendak menolong, dia mesti datang kampung kita berdialog, tanya apa yang kita hendak. “Tiada manusia yang menolak pembangunan, tapi tanyalah kepada pewaris-pewaris ini dahulu,” katanya.Beliau berharap pelan struktur yang dirangka itu dapat diperbaiki dengan bertemu penduduk yang mahu mempertahankan warisan, budaya, kebajikan dan hak milik mereka sebagai penduduk Kampung Baru.“Kami tidak mahu menang sorak, kampung tergadai,” tambahnya.Zakaria berkata anak-anak Kampung Baru sendiri mempunyai keupayaan membangunkan kampung mereka dan berharap kerajaan negeri Selangor dapat menghulurkan bantuan.Bagi Hashidah Abd Razak, 50, pengalaman keluarganya yang menjadi mangsa penipuan pihak tertentu untuk memiliki tanah milik keluarga mereka tidak menyakinkan beliau dengan pembangunan yang dicadangkan.“Ia memberi satu pengalaman buruk dan bukan kami saja yang menjadi mangsa.

Kami memang tidak rela hendak bagi tanah kami ini,” katanya.Aishah Mohamad Tawil yang sudah berusia 70 tahun juga tidak menyokong jika tanah penduduk diambil alih.Menurut Aishah, rakan-rakan seusianya juga menyatakan perkara yang sama dan berharap pihak berwajib dapat mengadakan perbincangan dengan mereka.“Tiba-tiba datang nak minta geran, tak bolehlah. Ramai kawan-kawan makcik yang menangis apabila tahu perkara ini, dan ada juga yang terlantar sakit kerana bimbang dengan nasib mereka selepas ini,” katanya.Beliau bersyukur kerana masalah penduduk Kampung Baru mendapat perhatian kerajaan negeri Selangor dan Dr Lo'Lo' yang menjadi tempat penduduk kampung mengadu masalah mereka.

– NOOR ALLIA KASSIM/ Foto AR ROHIM AHMAD
LAPORAN ASAL BOLEH DIDAPATI DI LAMANA DIBAWAH

3 comments:

noris helmi nordin berkata...

Saya rasa kita baliklah kepada 'bapak' kita yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kampung kita mengikut peruntukan undang-undang iaitu Lembaga.

Adukan sekiranya ada yang nak ambil geran tanah dan sebagainya. Mereka di dahulukan baru cari orang lain. Banyak penambah baikan yang positif sedang dilakukan oleh mereka. Ke orang kampung tidak yakin dengan mereka?

Ikmal berkata...

Saya sebagai anak jati kg baru merasa kecewa terhadap DBKL yg tidak memberi sepenuh perhatian kpd warga kota kg baru.

Mereka sepatutnya memberi perhatian bknnya membuat statement sesuka hati spt ini.

Fisya Zy berkata...

Semua pihak sama ada DBKL, mana-mana kerajaan mahupun penduduk kampung haruslah berbincang and merujuk kepada Lembaga MAS sebelum membuat apa-apa keputusan berkenaan dengan tanah Kampung Baru. Janganlah kita memandai-mandai untuk melakukan sebarang urusan tanpa berbincang dan mengambilkira pendapat dan cadangan daripada pihak lembaga yang telah hampir 110 tahun mentadbir Kampung Baru.