Draf Rancangan Kuala Lumpur 2020 :

7/08/2009 12:23:00 PTG at 7/08/2009 12:23:00 PTG

Kampung Baru, MELAYU TERPINGGIR

oleh: Rusnizam Mahat

Pembangunan Semula Kampung Baru untuk menjadikanya 'segi tiga emas kedua' di Kuala Lumpur, sepertimana yang terkandung dalam Draf Rancangan Bandar Kuala Lumpur 2020 mendapat tentangan banyak pihak terutama anak jati di kawasan itu sendiri. Cadangan tersebut, yang mula diutarakan sejak dua dekat lalu mendapat bantahan daripada sebilangan besar penduduk yang mahukan Kampung Baru yang merupakan satu-satunya perkampungan yang diasaskan kepada masyarakat Melayu sejak seabad lalu, kekal dengan identitinya sebagai warisan tunggal perkampungan melayu di tengah bandaraya Kuala Lumpur.
Selain itu penduduk Kampung Baru mempersoalkan nilai hartanah bagi tujuan pembangunan semula yang jauh lebih rendah berbanding nilai hartanah di kawasan berdekatan seperti KLCC dan segi tiga emas yang tidak kurang dari RM 2000.00 satu kaki persegi mengikut nilai semasa. Sebagai contoh, Laluan Komersial seperti dicadangkan dalam draf terbabit hanya meliputi Jalan Raja Abdullah yang dinamakan Presint B, bagi dibangunkan dengan projek komersial, berbeza dengan jalan-jalan lain seperti Jalan Raja Alang yang nilai hartanahnya jauh lebih rendah.
Salah seorang anak jati Kampung Baru, Roslan Abu, 56, berkata, persoalan utama yang dibangkitkan oleh penduduk itu ialah mengenai hak pemilikan tanah yang sepatutunya dikekalkan kepada golongan bumiputera berdasarkan statusnya yang digazetkan sebagai Penempatan Pertanian Melayu (MAS). "Tanah Kampung Baru digazetkan untuk melindungi dan memelihara warisan pemilikan masyarakat Melayu di mana tanah tersebut tidak boleh dipindah milik kepada golongan bukan melayu. Sekiranya kerajaan membangunkan kawasan ini, kita khuatir, melayu akan hilang pegangan (hak)", katanya.
Katanya, seluas 225.89 ekar tanah di kampung baru merangkumi lebih dari 378.93 ekar digazetkan sebagai kawasan Penempatan Pertanian Melayu (MAS) sejak 1897 dan diletakkan dibawah Enakmen Tanah 1897 merangkumi Kampung Periuk, Kampung Masjid, Kampung Atas A, Kampung Atas B, Kampung Hujung Pasir, Kampung Paya dan Kampung Pindah seluas 225.89 ekar (90.35 hektar).
Bagi Asri Yazid, 40, pula, soal nilai hartanah dikawasan itu tidak menjadi persoalan besar tetapi apa yang lebih penting ialah Warisan Kampung Baru yang sepatutunya dikekalkan sebagai Warisan Penempatan Melayu. Beliau melihat kaedah pengambilan kawasan penempatan Kampung Baru merupakan satu helah politik yang tidak bermoral untuk mengambil tanah penduduk melayu di kawasan bandar. "Boleh dikatakan 90 peratus penduduk di kawasan ini setuju dengan idea pembangunan dari kerajaan, tetapi kami tidak setuju dengan pengambilalihan tanah bagi tujuan pembangunan kerana nilai sentimental Kampung Baru kepada kami jauh lebih tinggi," ujarnya.
Beliau berkata, sebuah badan bertindak penduduk diwujudkan bagi mengkaji semula cadangan itu dimana Ahli Parlimen Titiwangsa dilantik sebagai penasihat dan beliau sendiri dipilih selaku Ahli Jawatankuasa. Katanya, memorandum turut diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri Wilayah Persekutuan dan DBKL untuk mengkaji semula cadangan draf pelan terbabit.
Manakala bagi Jumaah Haji Hussien, beliau menganggap idea kerajaan untuk membangunkan kawasan Kampung Baru adalah usaha yang baik, namun mempersoalkan mengenai nilai pampasan yang dicadangkan DBKL dan nilai hartanah semasa di kawasan itu yang lebih rendah berbanding di kawasan sekitar. "Bedasarkan rungutan penduduk di sini, tanah yang mahu diambil oleh kerajaan dibayar dengan harga yang lebih rendah dan murah berbanding dengan kawasan berhampiran seperti KLCC. Kita khuatir projek pembangunan yang dijalankan adalah indah khabar dari rupa", ujarnya.

4 comments:

noris helmi nordin berkata...

Saya tak faham kenapa Enakmen keramat Malay Agricultural Settlement ini tidak dibaca oleh pemimpin kita. Berlandaskan enakmen ini tanah Kampong Baharu ini ditadbir oleh Lembaga Pentadbiran Malay Agricultural Settlement Kampong Baharu Kuala Lumpur yang terletak dipejabatnya di Jalan Haji Hashim. Mereka masih bertahan menjalankan tugas mereka sepeti termaktub dalam enakmen. Seperti yang telah saya nyatakan dahulu SEGALA PERANCANGAN YANG DIBUAT TIDAK MERUJUK KEPADA KANDUNGAN ENAKMEN DAN PENTADBIRNYA. Itulah ASAS utama yang perlu di buat oleh semua. Setiap generasi Kampong Baharu perlu faham dan tahu akan kewujudannya enakmen keramat yang telah bertahan 110 tahun menyelamatkan tanah ini dari hilang ditelan kemodenan. KITA PATUT BERSYUKUR DENGAN ADANYA ENAKMEN INI. Kembalilah kepada asas.

Tanpa Nama berkata...

ada pihak yang cuba mengetepikan eknakmen tanah tersebut untuk mengelirukan penduduk dengan mengandaikan enakmen tersebut tidak wujud. pihak tertentu cuba untuk tidak menimbulkan isu enakmen ini supaya penduduk tidak tahu akan kewujudanya.

noris helmi nordin berkata...

Terima kasih Tanpa Nama 1.08pm, kita bantulah mengembangkan isu enakmen keramat ini, sesungguhnya kita tidak berdosa menyelamatkan tanah ini dari di kaut oleh mereka yang rakus. Pewaris , anak2 muda Kg Baru di sana, diperantauan atau dimana saja mereka berada patut di SEDAR kan akan kewujudannya dan ia masih SAH disisi undang2 negara. Terlalu banyak kesilapan yang telah dibuat, janganlah dilepaskan tanah ini, dicaca marbakan dengan pembangunan bercampur. INI LAH 'LIFE'dan jantung MELAYU di Kuala Lumpur.

orang lama berkata...

apa kata kalau boleh TUAN NORIS HELMI bagi salinan enakment tersebut kepada pengusaha blog ini agar boleh di baca oleh semua orang