Perbadanan Kampung Baru diwujud

3/04/2009 01:11:00 PTG at 3/04/2009 01:11:00 PTG

KUALA LUMPUR 3 Mac - Kerajaan akan mewujudkan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru bagi memajukan penempatan orang Melayu itu yang terletak di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur.


Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique berkata, butir-butir lengkap mengenai perbadanan itu akan didedahkan kepada umum setelah Pelan Pembangunan Kampung Baru yang terkandung dalam Draf Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2020 diwartakan.


''Perbadanan ini akan diletakkan di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan maklumat lengkap akan didedahkan setelah pelan berkenaan dipersetujui semua pihak," katanya.


Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi peringkat kementeriannya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.


Menurut Zulhasnan, kerajaan juga telah menubuhkan Unit Khas Pembangunan Kampung Baru yang dianggotai pegawai DBKL, Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan kementerian itu.


Katanya, tujuan utama penubuhan unit itu ialah untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan pemilikan tanah di Kampung Baru.


''Antara masalah lain yang akan diatasi ialah pertukaran nama pada geran, masalah pindah milik dan waris meninggal dunia," katanya.


Tambah beliau, kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM100 juta sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi membangunkan tapak pasar minggu di Kampung Baru.


''Peruntukan ini juga akan digunakan bagi meningkatkan rangkaian jalan raya yang menghubungkan Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Tun Razak," jelasnya.


Dalam pada itu, menjawab celahan Dr. Lo' Lo' Mohamad Ghazali (Pas-Titiwangsa) ketika penggulungan itu, beliau berkata, tiada sebarang rancangan untuk melantik Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) sebagai pemaju bagi membangunkan Kampung Baru.

1 comments:

noris helmi nordin berkata...

Masalahnya bagaimana Pak menteri nak selesaikan masalah pusaka? Sedangkan Lembaga MAS mememgang segala rekod pewaris dari dahulu sehingga sekarang dan menyelesaikan sendiri masalah pusaka. Dan sejak menjadi menteri Pak Menteri tidak pernah menjengah atau menjejakkan kaki melihat bagaimana Lembaga MAS sedang berusaha mempertahankan khazanah tanah negara ini? Saya dengar Dato' Bandar telah mengadakan mesyuarat mereka di pejabat Lembaga MAS baru-baru ini. Mungkin dia sudah sedar peranannya sebagai Yang DiPertua Lembaga MAS Kg Baru KL. Alhamdulillah.Saya rasa penduduk kampung perlu kembali kepada Lembaga MAS akan segala masalah berkenaan pewaris harta,masalah kampung, masalah ditipu broker dan sebagainya. Merekalah Pentadbir yang sah mengikut undang-undang dan enakmen keramat itu!!!!!
Berkenaan pasar minggu ini, saya tidak pernah melihat cadangannya. Sekiranya cadangan nya itu menggunung tinggi, saya khuatir sekiranya bangsa lain akan menggunakan bangsa melayu sendiri untuk berniaga dalam Pasar Minggu nanti. Pastikan ini tidak berlaku. Anak tempatan harus diutamakan, barulah orang Melayu yang lain. Ingat ikut enakmen hanya orang Melayu sahaja yang dibenarkan berurusan di tanah Kg Baru ini.