SEJARAH MASJID JAMEK KAMPUNG BARU

1/23/2009 07:01:00 PTG at 1/23/2009 07:01:00 PTG




Menyelusuri sejarah, Masjid Jamek Kampung Baru asalnya dibina hasil kerjasama penduduk yang mahukan sebuah masjid didirikan di pusat bandar Kuala Lumpur. Sejarah pembinaannya bermula dengan sumbangan sebidang tanah seluas empat lot oleh pedagang Melayu, Bachik Abdullah pada 1880-an. Bachik yang berasal dari Melaka dan menetap di Jalan Melayu, Kuala Lumpur terkenal sebagai ketua orang Melayu Kampung Ujong Pasir yang dermawan. Tanah sumbangan Bachik itu kemudian diwakafkan kepada Lembaga Pentadbir Kampung Baru (MAS) pada akhir 1920-an untuk dibangunkan sebuah masjid. Masjid pertama dibina berbentuk seperti sebuah balai sekadar memenuhi keperluan tempat sembahyang. Lantai balai berkenaan diperbuat daripada kayu , manakal tiang daripada batang pokok nibong. Selain masjid, tanah perkuburan, bagi penduduk Kampung Baru disediakan di kawasan berkenaan. Sejak itu, kawasan berkenaan menjadi tumpuan masyarakat setempat dan pedagang yang berdagang ke Kuala Lumpur melalui Sungai Klang. Disebabkan pertumbuhan penduduk begitu pesat, beberapa pengubahsuaian dijalankan khususnya bagi memperelokkan seni bina masjid. Ketika proses pengubahsuaian kedua, reka bentuk masjid berkenaan seolah-olah seperti seni bina rumah Melayu Melaka. Tidak berapa lama selepas itu, keadam masjid kembali berubah wajah apabila bangunan baru didirikan. Usaha membangunkan bangunan baru hasil bantuan dan gotong-royong penduduk kampung itu. Bagi membiayai pembinaan itu, setiap keluarga disaran menderma RM60 secara tunai atau beransur-ansur. Pada 1955, jumlah kutipan yang dibuat melalui kaedah itu berjaya mengumpulkan RM30,OOO. Bagaimanapun, proses kutipan dilihat perlahan dan berkemungkinan boleh membantutkan usaha membina bangunan baru. Justeru, satu jawatankuasa ditubuhkan bagi mempercepatkan kempen kutipan derma.Akhirnya, jawatankuasa berkenaan berjaya mengumpulkan RM214,000 iaitu RM90,000 sumbangan Kerajaan Selangor manakala bakinya hasil derma dan tabungan masjid. Wang itu digunakan membiayai pembinaan masjid termasuk membina ruang sembahyang lebih luas dan tempat wuduk yang selesa.




Sehingga kini Masjid Jamek Kampung baru terus mengalami perubahan dan pengubahsuaian dari segi luaran dan hiasan dalaman bagi memperindahkan kawasan masjid berkenaan.


FAKTA MASJID JAMEK KAMPUNG BARU, MALAYSIA

Tanah untuk masjid disumbangkan pedagang Melayu Bachik Abdurlah pada 1880-an.

Masjid Jamek Kampung Baru disenaraikan dalam The Malaysia Book of Records bagi acara memasak bubur lambuk terbesar.

Setiap kali menjelang Ramadan Masjid Jamek Kampung Baru akan menyediakan bubur lambuk untuk diagihkan kepada umat Islam.

Sebahagian besar penduduk Kampung Baru dan Kuala Lumpur dikatakan pernah menikmati bubur lambuk masjid.

Masjid itu juga terkenal kerana sering dikunjungi tokoh agama dari luar negara.

SUMBER DARI
http://demo.cat.com.my/i-komunitiV2/media/content/document/SKBaru001.pdf

4 comments:

Unknown berkata...

Dari sumber mana dapat cerita ini? Asal masjid tersebut di bina pada tahun bila? Siapa kah pemilik musmalakma villa sebelah masjid tersebut? (Tahun terakhir 1968) No 128,jalan Hale (jalan Raja Abdullah) - jalan Perkin (jalan Raja Alang) = (jawapannya..tolong jangan buta sejarah dan menjadi penghapus sejarah..siasatlah dengan teliti siapa Raja Muda Mahmud Ibni Almarhum Sultan Muhammad Sultan Selangor ke-3. Siapa Raja Petra Ibni Almarhom Raja Muda Mahmud.Dimana beliau bersemayam (rumah kediaman beliau di kampung baru, kuala lumpur) dapatkan maklumat yang benar dan tepat sebelum menulis apa apa artikel. Carilah siapa yang sebenarnya pemilik tanah yang mewakafkan tapak masjid tersebut dan pemilik asal tanah disekitar masjid tersebut.
Yang pasti bukan saudagar Bachik atau siapa siapa pun yang cuba mengaku sebagai tuan punya tanah yang asal. Saya ingin mengingatkan bahawa waris pemilik asal tanah yang mewakafkan tapak masjid jamek kampung baru masih ada di sekitar kuala lumpur dan selangor.

Tanpa Nama berkata...

Salam Rul Rul,

Bolehkah saya ingin mendapatkan emel en/pn untuk berbincang mengenai sejarah Raja Mahmud bin Sultan Muhammad?

Serba sedikit yang saya tahu mengenai sejarah keluarga Raja Mahmud yang tidak ditonjolkan oleh sesiapa sebelum ini adalah:
1]Penghulu Mukim Ulu Semenyih, 1883-1891
2]Penghulu Mukim Semenyih, 1891-1900
3]Penghulu Mukim Semenyih dan Beranang, 1891-1895
4]Ahli Lembaga Kebersihan (Sanitary Board) Hulu Langat, 1892-1895
5]Penghulu Mukim Kuala Lumpur, 1900-1915
6]Ahli Lembaga Malay Agricultural Settlement Kuala Lumpur, 1901-1914

Putera sulung Raja Mahmud, Raja Jaffar, dan putera kedua Raja Mahmud, Raja Haji Abdul Rahman, pernah berkhidmat sebagai Penghulu.
Raja Jaffar sebagai:
1]Penghulu Mukim Beranang, 1895-1900
2]Penghulu Mukim Semenyih, 1900-1916

Raja Haji Abdul Rahman sebagai Penghulu Mukim Rawang, 1912-1916. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Kathi Rawang, 1934-1938, dan Kathi Sabak Bernam, 1938-1942.

Raja Petra pula berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir yang mendapat Skim Malay Administrative Service (MAS).

Antara cucu Raja Mahmud yang berkhidmat dalam pentadbiran Selangor adalah:
Raja Ariff bin Raja Jaffar:
1]Penolong Penghulu Mukim Batu, 1931-1932
2]Penolong Penghulu Mukim Kapar, 1932-1933
3]Penghulu Mukim Beranang, 1933-1937
4]Penghulu Mukim Jeram, 1937-1939
5]Penghulu Mukim Sungai Panjang, 1939-1940
6]Penghulu Mukim Petaling, 1940-1949

Raja Paris bin Raja Haji Abdul Rahman:
1]Penolong Penghulu Mukim Rawang, 1929-1930

Kedua, saya ingin bertanya mengenai Musmalakma Villa, adakah ia masih ada atau sudah takda? Saya hendak mengetahui hal ini kerana ia amat penting untuk sejarah negeri Selangor.

Insyaallah.

Royal Image berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
Royal Image berkata...

Putera sulung Raja Mahmud, Raja Jaffar, dan putera kedua Raja Mahmud, Raja Haji Abdul Rahman, pernah berkhidmat sebagai Penghulu.
Raja Jaffar sebagai:
1]Penghulu Mukim Beranang, 1895-1900
2]Penghulu Mukim Semenyih, 1900-1916

Antara cucu Raja Mahmud yang berkhidmat dalam pentadbiran Selangor adalah:
Raja Ariff bin Raja Jaffar:
1]Penolong Penghulu Mukim Batu, 1931-1932
2]Penolong Penghulu Mukim Kapar, 1932-1933
3]Penghulu Mukim Beranang, 1933-1937
4]Penghulu Mukim Jeram, 1937-1939
5]Penghulu Mukim Sungai Panjang, 1939-1940
6]Penghulu Mukim Petaling, 1940-1949

Raja Ibrahim bin Raja Jaffar merupakan cucu kepada Raja Muda Mahmud juga telah dilantik memegang jawatan dalam pentadbiran istana negeri selangor sebagai Dato Bentara Kiri.