Memaparkan catatan dengan label kosmo. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kosmo. Papar semua catatan

Kampung Baru ikut model Mekah

4/01/2011 08:08:00 PTG at 4/01/2011 08:08:00 PTG

MELAKA - Projek pembangunan Kampung Baru, Kuala Lumpur di kawasan seluas 90 hektar berkemungkinan dibangunkan mengikut model perniagaan di Mekah, Arab Saudi.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, Lambaga Tabung Haji (LTH) adalah antara dua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang akan membangunkan Kampung Baru telah mengemukakan cadangan itu.

Sebuah lagi GLC yang menyatakan persetujuan ialah Permodalan Hartanah Berhad (PHB) manakala Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang turut dipelawa sebagai pemaju telah menyatakan persetujuan secara dasar.

"Pembangunan di Kampung Baru kelak yang diibaratkan sebagai permata bagi penduduk Melayu di sebuah kawasan di tengah-tengah Kuala Lumpur diharapkan dapat menandingi pembangunan di kawasan sekitarnya termasuk kawasan segi tiga emas yang menempatkan Menara Berkembar Petronas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Lab Undang-Undang Perbadanan Kampung Baru di sini semalam.

Lab bagi merangka draf undang-undang yang akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk menunjangi penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru dijangka berfungsi pada tahun depan.

Raja Nong Chik berkata, selain Perbadanan Pembangunan Kampung Baru, Pemaju Pembangunan Kampung Baru yang berfungsi sebagai penyediaan dana dan melaksanakan pembangunan fizikal Kampung Baru juga akan diwujudkan.

Kerajaan juga akan membantu pembangunan infrastruktur di kampung itu.

Mengenai penilaian tanah di Kampung Baru, beliau berkata ia akan dilakukan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Kementerian Kewangan dan sebuah syarikat swasta, Rahim & Co.

"Kita jangkakan penilaian tanah di Kampung Baru akan dapat diselesaikan dalam tempoh dua atau tiga bulan yang akan bermula dalam masa terdekat," katanya.


Read More

Nilai tanah Kampung Baru RM20b - Penduduk ada hak tentukan corak pembangunan semula (laporan Kosmo)

2/08/2010 11:04:00 PG at 2/08/2010 11:04:00 PG

pemandangan dari atas penempatan tapak pasar minggu Kampung Baru yang akan dimodenkan.


KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan cadangan konsep pembangunan semula Kampung Baru di sini yang antara lain akan memastikan penduduk serta pemilik tanah tidak perlu berpindah ke tempat lain.
Perdana Menteri berkata, di bawah kaedah pembangunan itu, yang akan dicadangkan untuk persetujuan pemilik tanah dan penduduk, kerajaan memberi jaminan akan melaksanakan pembangunan baru itu selepas mendapat persetujuan mereka.
Menurut beliau, kerajaan juga bercadang untuk mewujudkan sebuah badan khas dikelolakan oleh badan amanah kerajaan tanpa penyertaan swasta supaya penduduk Kampung Baru yakin dengan pembangunan itu yang dijalankan demi kepentingan mereka.
"Saya harap bila kita sudah buat cadangan yang mantap, penduduk di sini ada peluang teliti cadangan serta konsep yang akan digunakan. Saya harap selepas itu penduduk terutama pemilik tanah di sini boleh menerima dan memberi persetujuan kepada cadangan kerajaan ini," katanya.


Read More

LEWAT MALAM LAGI MERIAH

7/23/2009 04:49:00 PTG at 7/23/2009 04:49:00 PTG

Oleh NUR AISHAH MOHD AMIN

Di sebalik pelbagai isu yang mewarnai Kampung Baru terutama berkaitan tanah, sehingga hari ini, lokasi itu masih menjadi tumpuan warga kota untuk menjamu selera pada waktu dinihari.




JAM di tangan sudah menunjukkan pukul 2 pagi. Ini bermakna sudah hampir empat jam kami berada di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Namun, kemeriahan lautan manusia mengharung pekat malam menyebabkan atmosfera malam minggu di Kampung Baru tidak pernah membosankan.
Berdasarkan pemerhatian Urban, semakin malam menjemput dinihari, semakin ramai orang yang datang melepak di lebih 100 buah warung dan gerai yang terletak di sepanjang Jalan Raja Muda Musa, Jalan Daud, Jalan Raja Uda dan Jalan Raja Alang.


Walaupun tidak banyak bezanya wajah dan landskap Kampung Baru sejak lebih sedekad lalu, namun masih ramai warga ibu kota setia menjadikan Kampung Baru sebagai destinasi larut malam untuk menjamu selera dan bersantai. Alasannya, Kampung Baru menawarkan kepelbagaian dan keunikan tersendiri. Keunikan yang dimaksudkan itu adalah kedudukannya yang terletak di tengah-tengah pusat ibu kota yang menjadi lokasi strategik pertemuan di antara rakan-rakan, selain variasi makanan yang ditawarkan di situ. Namakan, apa sahaja semuanya ada di Kampung Baru. Bahkan, beberapa menu terkenal seperti Nasi Lemak Antarabangsa juga berakar umbi di kampung tersebut.


Pelbagai koleksi khusus untuk para peminat kelab sukan antarabangsa.


Seorang pengunjung yang ditemui berkata, Kampung Baru menjadi pilihan remaja kerana ia terletak di tengah ibu kota dan menawarkan pelbagai jenis makanan pada harga yang sangat berpatutan. Paling penting walaupun jam sudah menunjukkan pukul 3 atau 4 pagi, Kampung Baru masih hidup dengan aneka gerai yang tetap menanti para pelanggan termasuk pelancong asing.


"Saya lepak dengan kawan-kawan pada setiap hujung minggu. Inilah masa yang ada untuk keluar bersama mereka. Maklumlah, masing-masing sibuk dengan kerja di pejabat pada hari biasa. "Biasanya, pada malam minggu, saya akan lepak atau tengok wayang di KLCC dahulu. Selepas itu, barulah saya bawa rakan-rakan singgah makan di Kampung Baru sehingga awal pagi," kata Iskandar Yamman Sulaiman, 33, ketika ditemui Urban di Kampung Baru.


Mohd Syharrin, 25, dari Kampung Cheras Baru pula berkata, dia datang ke Kampung Baru pada waktu dinihari sekadar untuk berjalan-jalan.
"Saya tidak makan atau beli apa-apa, tapi saja jalan-jalan tengok orang ramai sekali gus menikmati pemandangan waktu malam di KLCC dengan lebih dekat," katanya yang merupakan seorang pekerja swasta di Kuala Lumpur.


SELIPAR getah turut mendapat perhatian pengunjung.


Apa yang pasti, kehadiran lautan manusia untuk mengisi perut serta menghirup atmosfera dinihari di Kampung Baru, secara tidak langsung menjadikan lokasi itu sebagai lubuk rezeki yang menguntungkan para peniaga. "Membuka gerai lebih lama pada malam minggu membantu menambah rezeki kami. "Bukan sahaja muda-mudi, malah pengunjung yang berkeluarga juga tidak melepaskan peluang untuk jalan-jalan cari makan di sini," kata pemilik gerai LA Medan Selera yang hanya mahu dikenali dengan nama Zulkarnain.


Tambahnya, Kampung Baru boleh dikatakan sebuah syurga makanan. Pelbagai jenis makanan ada disediakan di situ. "Pengunjung yang datang bukan sahaja rakyat tempatan, malah pelancong dari pelbagai negara termasuk Jepun, Korea dan China juga singgah di sini," ujarnya bangga walaupun hanya menetap di Kampung Baru kurang daripada 10 tahun. Beliau berasal dari Kelantan. Apabila berkunjung ke Kampung Baru, terpulanglah kepada selera anda untuk memilih juadah apa yang ingin dinikmati.


"Rata-rata pengunjung berkeluarga akan datang di antara pukul 8 hingga 10 malam. Selepas waktu itu dan sehingga pukul 3 pagi, pelanggan golongan muda pula tidak akan putus-putus singgah makan di sini," katanya.


PELANCONG asing turut membanjiri gerai-gerai di sekitar Kampung Baru.


Dalam banyak-banyak warung makan di situ, sebuah gerai yang menjual selipar turut menarik perhatian Urban. "Apakah relevan anda menjual selipar di pusat tumpuan makanan sehingga lewat malam?" soal penulis.
"Nampak macam pelik, tetapi saya memilih untuk menjual selipar kerana ramai pengunjung memerlukan selipar bagi keselesaan sewaktu menjamu selera di Kampung Baru.


"Kalau yang perempuan, ada yang beli selipar untuk dipakai kerana dah tak tahan pakai kasut tumit tinggi selepas balik dari kelab atau pusat beli-belah. "Yang lelaki pula, ada yang datang untuk ganti kasut atau selipar yang putus ketika berjalan-jalan," kata Eka Suriani Erwan, 32, yang menjual pelbagai selipar getah pelbagai corak.


DUA rakan baik, Norhayati (kanan) dan Salwa dijamu rakan mereka di LA Medan Selera Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Selain menjual selipar, Eka juga membuka sebuah kios menjual pelbagai barang untuk peminat sukan bola sepak antarabangsa. Bukan barangan tulen, namun ia sekadar untuk golongan peminat sukan yang mungkin kurang berkemampuan. Bagi Urban sendiri, keunikan tempat makan di Kampung Baru ini bukan sahaja pada namanya, malah bangunan sekitarnya turut memikat hati. Begitu juga gaya 'persembahan' warung itu sendiri atau lebih tepatnya dekorasi di bahagian luar dan dalamnya.


Selain itu, setiap warung di situ menyediakan pelbagai hidangan asli pelbagai negeri dari seluruh negara. Antaranya laksa Pulau Pinang, laksa Johor, tom yam, nasi kerabu, nasi dagang dan nasi Padang.



KERANG bakar yang dicicah dengan sos istimewa, ketam goreng cili dan keropok lekor menjadi tumpuan ramai antara yang menjadi tarikan pengunjung.

Pernah mendengar kata-kata 'makanan di gerai lebih enak daripada di hotel'? Beberapa sajian lazat di Kampung Baru antara yang membenarkan kata-kata itu. Inilah yang menyebabkan warga kota memilih Kampung Baru sebagai pusat makanan. Walaupun berkonsepkan gerai, tetapi ia tetap mendapat pengiktirafan peribadi bagi sesiapa sahaja yang pernah singgah di Kampung Baru.


Read More