Kampung Baru ikut model Mekah

4/01/2011 08:08:00 PTG at 4/01/2011 08:08:00 PTG

MELAKA - Projek pembangunan Kampung Baru, Kuala Lumpur di kawasan seluas 90 hektar berkemungkinan dibangunkan mengikut model perniagaan di Mekah, Arab Saudi.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, Lambaga Tabung Haji (LTH) adalah antara dua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang akan membangunkan Kampung Baru telah mengemukakan cadangan itu.

Sebuah lagi GLC yang menyatakan persetujuan ialah Permodalan Hartanah Berhad (PHB) manakala Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang turut dipelawa sebagai pemaju telah menyatakan persetujuan secara dasar.

"Pembangunan di Kampung Baru kelak yang diibaratkan sebagai permata bagi penduduk Melayu di sebuah kawasan di tengah-tengah Kuala Lumpur diharapkan dapat menandingi pembangunan di kawasan sekitarnya termasuk kawasan segi tiga emas yang menempatkan Menara Berkembar Petronas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Lab Undang-Undang Perbadanan Kampung Baru di sini semalam.

Lab bagi merangka draf undang-undang yang akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk menunjangi penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru dijangka berfungsi pada tahun depan.

Raja Nong Chik berkata, selain Perbadanan Pembangunan Kampung Baru, Pemaju Pembangunan Kampung Baru yang berfungsi sebagai penyediaan dana dan melaksanakan pembangunan fizikal Kampung Baru juga akan diwujudkan.

Kerajaan juga akan membantu pembangunan infrastruktur di kampung itu.

Mengenai penilaian tanah di Kampung Baru, beliau berkata ia akan dilakukan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Kementerian Kewangan dan sebuah syarikat swasta, Rahim & Co.

"Kita jangkakan penilaian tanah di Kampung Baru akan dapat diselesaikan dalam tempoh dua atau tiga bulan yang akan bermula dalam masa terdekat," katanya.

0 comments: